Tuesday, September 9, 2008

Pak Samad - Satu Pemikiran Malaysia

Membaca' pemikiran A. Samad Ismail

Allahyarham A. Samad Ismail adalah seorang manusia pelbagai dimensi yang mempunyai bermacam warna dalam hidupnya.


NEGARA kini kehilangan seorang tokoh wartawan dan pejuang.


PETANG khamis lalu, 4 September 2008, negara kehilangan seorang tokoh wartawan dan pejuang kemerdekaan, Tan Sri A. Samad Ismail atau lebih akrab dengan panggilan Pak Samad. Selama hayatnya yang sudah menjangkau 84 tahun, Allahyarham Pak Samad telah mengabdikan diri sebagai wartawan dan sasterawan lebih daripada 61 tahun meliputi zaman sebelum perang, zaman pendudukan Jepun, zaman selepas perang dan setelah negara mencapai kemerdekaan. Keluasan pengalaman dan kesempatan berada serta menyaksikan peristiwa-peristiwa penting dalam sejarah pembinaan negara menjadikannya seorang tokoh Melayu dan pejuang 'multi-warna' yang mempunyai kekuatan fikiran dan analisis yang tajam serta dikagumi oleh anak bangsanya. Allahyarham Pak Samad bukan sekadar tokoh wartawan negara tetapi juga terbabit dalam politik, budaya, kesusasteraan dan bahasa serta sering menjadi mastermind bagi meneroka pelbagai hal dalam pelbagai dimensi. Pernah diberi pelbagai 'label' oleh musuh-musuhnya, namun tidak pula mengurangkan sanjungan orang terhadapnya. Novelis terkenal Amerika, James A. Mitchener mengaguminya sebagai seorang intelektual Melayu terulung. Itulah Allahyarham Pak Samad dengan segala keunikannya tersendiri. Benarlah apa yang diperkatakan oleh bekas Naib Canselor UKM, Tan Sri Prof. Dr Abd. Hamid Abd. Rahman ketika mengumumkan A. Samad Ismail sebagai penerima Ijazah Kehormat Doktor Persuratan Melayu pada 1987. Pada pengumuman itu, Allahyarham Pak Samad dinobatkan sebagai seorang wartawan yang pintar, intelektual yang tajam pemikirannya, nasionalis tulen, pejuang bahasa dan kesusasteraan Melayu, penulis kreatif yang giat, pembimbing bakal penulis dan wartawan, pengasas beberapa pertubuhan penulis dan parti politik. Dan lebih daripada segala-galanya ialah Allahyarham Pak Samad adalah seorang Melayu yang perjuangannya sangat kompleks dan tidak dapat dilupakan daripada sejarah perkembangan keintelektualan negara ini.

Bertolak daripada kenyataan ini, A. Karim Abdullah telah menyelenggara buku bertajuk Antara Pemikiran A. Samad Ismail yang mengumpul esei-esei dan pemikiran tersebar Allahyarham Pak Samad dari tahun 1980 hingga 1997 yang menyentuh pelbagai aspek kewartawanan, media, politik, sosial, kesusasteraan dan komunikasi. Antara esei menarik dalam buku ini ialah Pak Samad menceritakan hubungannya dengan Abd.Rahim Kajai di Utusan Melayu. Dikisahkan bagaimana keinginan Pak

ALLAHYARHAM A. SAMAD ISMAIL


Samad untuk menulis rencana bagi dimasukkan di dalam akhbar dan Pak Samad menulis rencana panjang dan diberikan kepada Kajai. Lalu, Kajai meneliti rencana itu tanpa berkata apa-apa kepada Pak Samad yang berdiri di hadapannya menunggu komen Kajai sama ada rencana itu sesuai atau tidak untuk disiarkan. Tiba-tiba Kajai merobek-robek rencana itu dan begitu cepat pula melontarkannya ke dalam bakul sampah. Kerana terlalu kaget dengan reaksi Kajai, Pak Samad tidak dapat berkata apa-apa melainkan hairan melihat keganjilan perbuatan Kajai itu. Kemudian Kajai tersenyum lebar lalu bertanya kepada Pak Samad secara terus terang. "Samad,…kau pernah tiduri betina?" Pak Samad tersipu-sipu malu menjawab: "Belum pernah, Pak Kajai". "Kau tahu, mengapa aku buang artikel kau ke dalam bakul itu?" tanyanya tersenyum lebar. "Tak tahu, Pak Kajai?", jawab Samad. "Sebab…otak engkau masih lembut, hingus engkau masih hijau….tapi kau nak beri nasihat kepada orang seperti aku…kau mahu jadi tukang khutbah, tukang nasihat kepada bangsa tetapi ilmu engkau masih cetek, kau belum tahu erti dunia lagi, masih mentah…budak muda macam engkau perlu belajar lagi. Kau mahu jadi wartawan tetapi wartawan bukan pengarang, bukan tukang artikel, tukang tulis rencana…wartawan mesti harus cari berita…dah pandai cari berita, barulah tulis rencana…".

Demikian sekelumit kisah Allahyarham Pak Samad dan Kajai di Utusan Melayu. Allahyarham Pak Samad memang mengagumi Kajai. Daripada Kajai, Allahyarham Pak Samad belajar disiplin sebagai editor, pemberita dan wartawan. Lebih daripada itu, Allahyarham Pak Samad pernah berkata: "Kajai ialah seorang complete journalist, the first Malay professional journalist yang menerapkan nilai-nilai profesionalisme pada bidangnya". Dalam sudut lain, Allahyarham Pak Samad memberi tanggapannya yang tersendiri terhadap perjuangan Ibrahim Yaakob yang merupakan perintis awal perjuangan kemerdekaan yang akhirnya menimbulkan pelbagai kontroversi mengenai peranannya. Menurut Allahyarham Pak Samad: "Ibrahim adalah satu 'figura legenda'. Banyak teka-teki menyelubungi perjuangannya yang masih belum terjawab. Tanggapan pengkaji Barat termasuk pengkaji kita cenderung memberikan imej warna hitam putih kepada beliau iaitu Ibrahim adalah collaborator atau 'tali barut' Jepun dan yang demikian tidak layak dianggap sebagai pejuang nasionalis dan kemerdekaan tulen". Untuk itu, Allahyarham Pak Samad berpendapat perlu dijalankan kajian mendalam, adil dan objektif mengenai perjuangan Ibrahim Yaakob.

Memang Allahyarham Pak Samad merupakan tokoh istimewa yang berkesempatan menyaksikan peristiwa-peristiwa penting dalam sejarah pembinaan negara sama ada sebelum merdeka mahupun selepas kemerdekaan. Yang paling menarik sekali Allahyarham Pak Samad bukan sahaja menyaksikannya, bahkan turut terlibat secara aktif dalam peristiwa-peristiwa penting tersebut.

Satu Bisnis Satu ibadat - semua yang memerlukan.


KERANDA buatan Pak Ya turut dibekalkan sehingga ke daerah Hulu Terengganu, Kuala Terengganu dan Dungun.


SESIAPA sahaja yang terpandang sebuah rumah di tepi jalan di Kampung Padang Mengkuang, Marang, Terengganu pasti teringatkan ajal dan maut.Bukan niat penulis mahu menakut-nakutkan sesiapa, cuma di bahagian depan rumah dua tingkat milik Wahab Salleh, 48, atau lebih dikenali sebagai Pak Ya, tersusun deretan kira-kira 60 buah keranda kayu.

Walaupun ada beranggapan 'tidak manis' meletakkan keranda yang dianggap 'kenderaan terakhir jenazah' di halaman rumah, namun bagi pembuat keranda seperti Pak Ya, beliau mempunyai sebab tertentu untuk berbuat demikian.Selain tidak cukup ruang di bahagian lain rumahnya, Pak Ya berharap langkahnya itu sedikit sebanyak menimbulkan rasa insaf dalam kalangan pengguna jalan raya termasuk mat rempit yang selalu berlumba di depan rumahnya.Jika kebiasaannya, kebanyakan pembuat keranda adalah mereka yang pandai bertukang, lain pula ceritanya dengan Pak Ya yang tidak mempunyai kemahiran dalam bidang itu sebelum ini.

Semuanya berlaku secara kebetulan. Pak Ya terlebih dahulu membuka sebuah bengkel membaiki motosikal di kampungnya.Segalanya bermula apabila beliau menyambung tradisi bapanya, Salleh Jusoh yang menguruskan kerja-kerja pembuatan keranda. Meskipun tidak pandai bertukang, Pak Ya tergerak hati untuk mengambil-alih kerja orang tuanya yang mula uzur pada tahun 1993.

"Masa itu, saya berumur 33 tahun dan pada mulanya, bapa kurang setuju kerana bimbang hasil kerja saya tidak sempurna memandangkan saya tidak pernah bertukang, apatah lagi membuat sebuah keranda," katanya.Pak Ya dahulu sekadar memerhatikan sahaja dua bapa saudaranya bekerja dengan bapanya membuat keranda dan mengakui tidak pernah benar-benar serius melibatkan diri."Pada peringkat awal memang susah dan saya terpaksa lukis bentuk keranda di atas kertas dan selepas itu, barulah saya potong papan dan memakunya," kata bapa kepada enam orang anak itu kepada Kosmo! baru-baru ini.Menurut Pak Ya, ramai yang tidak peduli atau mahu ambil tahu tentang keranda kerana ia hanya digunakan apabila ada kematian dan ketika itu, barulah orang akan tercari-cari si pembuat keranda sepertinya.

Jelasnya, sama seperti pakaian, keranda juga mempunyai saiz tertentu iaitu L untuk jenazah bertubuh sederhana; XL bagi bertubuh sederhana besar dan XXL khusus untuk bertubuh besar.


KERANDA dimasukkan ke dalam van untuk dihantar kepada pembeli.


Secara mudah, katanya, keranda bersaiz L sesuai untuk memuatkan jenazah wanita, manakala XL biasanya untuk jenazah lelaki."Saiz XXL pula untuk mereka yang berbadan besar, macam Big Show (ahli gusti WWE)," katanya menerangkan kepada penulis perbezaan saiz keranda tersebut.Beliau yang juga bilal di Masjid Binjai Rendah, Marang memberitahu ukuran biasa bagi keranda ialah panjangnya enam kaki dan tinggi serta lebar masing-masing satu setengah kaki.Menyentuh mengenai harga, setiap keranda yang dihasilkannya daripada kayu durian atau kayu sentul berharga antara RM150 hingga RM250, bergantung kepada saiz."Saya percaya ramai yang tidak tahu harga keranda. Mungkin ada yang tak sempat tahu langsung walaupun ketika mereka dah dimasukkan ke dalam keranda," katanya penuh makna.

Berbanding semasa zaman ayahnya dulu, Pak Ya lebih beruntung kerana kemajuan teknologi membolehkan pelbagai peralatan moden digunakan sekali gus memudahkan kerja-kerjanya.

"Masa bapa saya dulu, sehari hanya dua buah keranda boleh dibuat, tetapi sekarang dah moden. Jadi, dalam satu hari boleh buat hingga enam buah keranda," ujarnya yang mendapat gelaran 'Pak Ya Keranda' dalam kalangan penduduk kampung.Tidak seperti agama lain, keranda umat Islam mempunyai reka bentuk yang sama dan tiada ukiran atau lain-lain aksesori tambahan."Cukup tiga keping papan sahaja untuk buat sebuah keranda," katanya yang membuat sehingga 200 buah keranda setahun.Menyentuh mengenai pantang larang, Pak Ya tidak melakukan sebarang amalan tertentu kecuali membaca Bismillah dan ayat Seribu Dinar sebelum memulakan kerja.

Beliau juga mengakui tiada kejadian mistik berlaku sepanjang lebih 15 tahun bekerja sebagai pembuat keranda walaupun ada pembuat keranda lain mendakwa merasa petanda tertentu apabila berlaku sesuatu kematian.Oleh kerana tidak ramai pembuat keranda pada masa ini, beliau menjadi pembekal utama bukan sahaja bagi jenazah sekitar kampungnya, malah ke beberapa daerah lain seperti Hulu Terengganu, Kuala Terengganu dan Dungun.Memandangkan permintaan yang tinggi setiap bulan, Pak Ya terpaksa membuat keranda dalam jumlah yang banyak sebagai stok simpanan untuk digunakan sekiranya ada kematian.


PERNIAGAAN bengkel motosikal Pak Ya tetap beroperasi walaupun beliau sibuk dengan tugas membuat keranda.


Sepanjang Ramadan pula, beliau tidak membuat keranda, maka sebab itulah kira-kira 60 buah keranda dibuat lebih awal dan diletakkan di depan rumahnya."Kadangkala pukul 12 tengah malam pun, ada yang datang kejutkan kami daripada tidur sebab mereka hendak keranda untuk kebumikan jenazah pada awal pagi esoknya," katanya yang merupakan anak tunggal.

Ekoran itu, Pak Ya dan isterinya, Nik Hanizam Nik Mat, 46, jarang-jarang sekali meninggalkan rumah dalam tempoh yang panjang kerana tidak mahu menghampakan orang yang datang untuk mendapatkan keranda.Baginya, apa yang dilakukan bukanlah kerana mahu mendapat keuntungan tetapi merupakan tanggungjawab sosial terhadap orang ramai yang dilanda kesusahan apabila berlaku kematian ahli keluarga.Tidak hairanlah, Pak Ya sedikit terganggu apabila penulis menyebut tentang 'perniagaan keranda' kerana baginya, ia bukannya satu jenis perniagaan dan bukan wang ringgit menjadi keutamaannya.

"Saya hanya nak memudahkan masyarakat. Bayangkan orang yang sedih apabila ahli keluarga meninggal dunia terpaksa pula sediakan keranda dan lain-lain perkara."Sekurang-kurangnya khidmat yang saya berikan ini dapat meringankan beban dan kesedihan mereka," katanya yang turut menyediakan kain kapan dan pelbagai keperluan untuk si mati sebelum dikebumikan.

Namun, dalam nada bergurau Pak Ya memberitahu, selama ini keranda yang dibuatnya tidak pernah bermasalah kerana tidak ada 'pelanggan' (jenazah) yang merungut tentang hasil kerjanya itu.Namun, membuat keranda bukanlah sumber pendapatan utamanya kerana dengan bengkel motosikal di bahagian depan rumah yang dibuka sejak tahun 70-an lagi sudah mampu menampung hidup mereka sekeluarga.Dalam kalangan enam orang anaknya, Pak Ya memberitahu hanya anak bongsu, Mohd. Aiman Hafizi, 6, menunjukkan minat bertukang dan kerap 'campur tangan' setiap kali bapanya mula bekerja."Dia memang suka tengok dan dah pandai pegang tukul besi. Sesekali dia akan paku papan keranda," katanya yang mempunyai tiga anak lelaki dan tiga anak perempuan.


ANAK bongsu Pak Ya, Mohd. Aiman mungkin bakal mewarisi tugas lelaki itu sebagai pembuat keranda.


Di akhir pertemuan dengan penulis, Pak Ya sempat memberikan satu ingatan yang cukup menarik untuk direnungkan."Satu hari nanti, saya pun akan dimasukkan ke dalam keranda dan mungkin ia adalah keranda yang saya sendiri buat. Cuma saya tak tahu yang mana satu keranda itu.

"Yang pastinya, setiap manusia akan dapat satu keranda masing-masing, tak ada sesiapa yang akan dapat dua atau tiga keranda," katanya.

Tindak tegas terhadap pihak sentuh isu perkauman - Panglima ATM
09-09-2008 02:59:10 PM

(Mutakhir) PETALING JAYA: Panglima Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Jen. Tan Sri Abdul Aziz Zainal menyarankan agar kerajaan mengambil tindakan tegas ke atas mana-mana pihak yang membangkitkan isu-isu berbaur perkauman kerana perbuatan sedemikian boleh mencetuskan keadaan huru-hara.

Beliau menyatakan demikian pada majlis menyampaikan sumbangan Hari Raya Aidilfitri kepadaATM dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) di Dewan Tun Hussein Onn, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) Kuala Lumpur sebentar tadi.

Turut hadir Ketua Pergerakan Wanita Umno Tan Sri Rafidah Aziz.

Jelas Abdul Aziz, isu-isu perkauman tidak seharusnya disentuh kerana ia boleh mencetuskan keadaan tidak aman di negara ini.

"Perkauman merupakan isu yang paling dikhuatiri pasukan keselamatan kerana ia boleh mencetuskan huru-hara. Ia ancaman terhadap keselamatan," kata beliau.

Beliau menggesa demikian berikutan banyaknya polemik kebelakangan ini yang membangkitkan isu perkauman.

Tambahnya, isu perkauman dikhuatiri akan menimbulkan ketegangan sekiranya tidak dibendung awal.

"Secara realitinya, isu perkauman menjadi ancaman utama pada negara dan ia patut dielakkan," tegasnya.

Dalam perkembangan berkaitan, Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar pula memberitahu, politik jalanan masih dalam kawalan dan pihaknya dapat memelihara keamanan.

Bagaimanapun tegas beliau, pasukan polis berada dalam keadaan berjaga-jaga untuk menghadapi keadaan huru-hara sekiranya tercetus.

"Kami bersedia untuk bekerja siang dan malam, (tanpa mengira) hujan atau panas, tanpa makanan dan minuman untuk menangani ancaman-ancaman sedemikian," katanya.

Dalam pada itu, Rafidah pula menasihatkan rakyat Malaysia supaya tidak membangkitkan soal latar belakang asal usul mana-mana kaum dan kesetiaan mereka.

Malah, kata beliau, demonstrasi jalanan dan politik jalanan seharusnya ditolak sama sekali demi keamanan dan keselamatan negara.

Sebelum ini Ketua Umno Bahagian Bukit Bendera Datuk Ahmad Ismail didakwa mengeluarkan kenyataan berbaur perkauman pada satu ceramah di Permatang Pauh pada 23 Ogos lepas dengan menyatakan masyarakat Cina hanya menumpang di negara ini dan adalah mustahil untuk mereka mendapat hak yang sama dengan kaum Bumiputera.

Kenyataan itu menimbulkan kemarahan pemimpin Gerakan dan MCA yang menuntut Ahmad meminta maaf secara terbuka.

Perlukah Paklah tunggu hingga keadaan semakin mendesak

Amaran Dr. Khir 13 Mei boleh berulang, Dr. M perlu kembali Umno?
09-09-2008 12:06:12 AM
Oleh G. MANIMARAN

PETALING JAYA: Umno memerlukan pemimpin baru? Bekas Presidennya, Tun Dr. Mahathir Mohamad perlu kembali ke Umno?

Ia antara beberapa isu yang ditimbulkan oleg bekas Menteri Besar Selangor, Dr. Mohd. Khir Toyo dalam blognya hari ini."UMNO memerlukan pemimpin baru bagi memberi nafas baru kepada parti dan juga rakyat. Bagi saya antara pemimpin dan parti, parti perlu lebih penting. Namun sanggupkah kita di bawah ini bersama melakukan perubahan?" kata Dr. Khir.

Kata beliau, "suka atau tidak, saya berpandangan peralihan kuasa perlu disegerakan."

Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dan timbalannya, Datuk Seri Mohd. Najib Tun Razak mempersetujui pelan peralihan kuasa Jun 2010.

Jelas Dr. Khir, Umno perlu diutamakan manakala keresahan rakyat perlu diredakan dengan pembaharuan dijalankan dengan segera.Krisis yang bermula dalam Umno kini telah merebak dalam Barisan Nasional (BN), kata beliau dan menambah, "saya bimbang ledakan ini tidak dapat ditampung dengan kekuatan yang ada sama ada dalam Umno mahupun dalam BN."

Abdullah merupakan Presiden Umno dan Pengerusi BN.

Sambil menggariskan nama empat pemimpin dalam tulisannya itu, Dr. Khir berkata, beliau berharap agar Dr. Mahathir menggunakan pengalaman beliau selama 22 tahun menjadi Perdana Menteri, terlibat sendiri dengan peristiwa 13 Mei dan melibatkan diri sama pada krisis kepimpinan yang ada pada hari ini memainkan peranan yang lebih jelas untuk menyelamatkan parti dan juga negara. "Saya berharap Tun Dr. Mahathir akan kembali kepada UMNO bagi membantu pemulihan parti."Saya bimbang jika kita lewat melakukan sesuatu, peristiwa rakyat berada di jalan akan berulang dan ia akan mengeruhkan lagi keadaan," katanya.Dr. Mahathir keluar Umno Mei lalu.

Tambah Dr. Khir, beliau berharap pucuk pimpinan sedar dan mengambil langkah yang lebih berani dalam memastikan parti akan terus kukuh, negara akan dapat diselamatkan dari ketidakstabilan politik.

Nora kini bukan spt dahulu lagi ...

Ketenangan Nora selepas 'berhijrah'...
09-09-2008 11:56:10 AM
oleh WAHIDA ASRANI

NAMPAK anggun sekali penyanyi kelahiran negeri Cik Siti Wan Kembang ini yang tampil dengan imej barunya, bertudung.

Transformasi imej yang dilakukan oleh Nora sempena hari lahirnya yang ke-35 pada Julai lalu sememangnya dilihat penyanyi itu sebagai satu fasa baru dalam kehidupannya.Malah, akui isteri kepada komposer terkenal Johan Nawawi ini, dia berasa cukup tenang dengan 'penghijrahan' tersebut apatah lagi tatkala ini umat Islam sedang mengerjakan ibadah puasa."Saya tampil dengan imej seperti ini sejak 26 Julai lalu. Tapi kalau diikutkan sebenarnya, sejak 10 tahun dulu hati saya sudah terdetik untuk pakai tudung...ketika mula-mula berkahwin lagi.

"Tetapi, perkara ni kita tak boleh main-main. Saya ingin lakukan secara ikhlas. Sewaktu usia saya sudah menghampiri 35, saya bertanya lagi pada diri sendiri sama ada saya sudah bersedia atau tidak."Akhirnya saya rasa inilah masa yang sesuai untuk saya lakukan. Malah, Johan juga tidak mengetahui niat saya ini sehinggalah pada hari lahir saya lebih sebulan yang lalu."Begitu juga dengan anak-anak saya. Pada awal dulu, saya tidak begitu tahu cara nak

Nora akui dirinya lebih 'tenang' setelah melalui transformasi imej
(Foto The Star oleh Mohd Sahar Misni)

memakai tudung dengan betul. Jadi, anak-anaklah yang menjadi 'pengkritik' saya," ujar Nora yang ditemui pada rakaman program Akademi Nasyid Aidilfitri, baru-baru ini.

Menurut penyanyi ini lagi, dia tetap bersyukur kerana transformasi dirinya itu diterima ramai. Malah, tawaran untuk menjayakan show juga cukup banyak diterima oleh Nora ketika ini."Saya tidaklah kekok sangat dengan imej baru ini. Tapi, memang mana-mana saya pergi sebelum ini ada yang bertanya sama ada saya pakai tudung betul-betul atau hanya kerana majlis-majlis tertentu.

"Apapun, saya harap selepas ini peminat mahupun mereka di luar sana sudah tahu tentang perubahan imej saya. Saya pun bukanlah buat perubahan yang mendadak sangat.

"Alhamdulillah, show raya tahun ini agak banyak. Saya akui, sejak bertudung ni, saya lebih banyak terlibat di dalam program-program di saluran TV9 kerana mungkin bersesuaian dengan konsep stesen televisyen itu," tutur Nora.

Katanya, dia tidak menghadkan mana-mana program untuk disertainya. Malah, dari segi lagu juga, Nora tidak membataskan sebarang lagu asalkan ianya kena dengan imej barunya sekarang."Bagi saya, jika lagu-lagu tersebut boleh mendatangkan kesedaran, saya memang akan lakukan. Cuma sekarang ini, saya tidak bolehlah seperti dulu...nyanyi lagu yang rancak-rancak sangat.

Bercerita mengenai perkembangan seninya ketika ini, kata Nora, tiga buah single telah pun disiapkan yang mana dua daripadanya sudah pun dikeudarakan di stesen-stesen radio iaitu Cinta Sebenarnya dan Oh Asmara.Sebuah lagu lagi, Puisi Hidup pula merupakan hasil ciptaan buat pertama kalinya oleh Nora dan liriknya nukilan suaminya sendiri.

"Kali ini, saya pula yang buat melodinya dan Johan yang menulis lirik. Sebenarnya, Johan ingin menghasilkan sebuah lagu untuk ayahnya, tetapi dia cukup sukar untuk mendapatkan idea bagi melodi lagu tersebut.

"Secara kebetulan, saya terfikir melodinya dan daripada situ, kita masukkan muzik dan Johan menghasilkan liriknya," kata Nora.Pada masa yang sama, penyanyi ini juga sedang ligat menjalankan perniagaan kuih-muihnya yang sudah tujuh tahun dilakukannya."Sebelum ini, saya buat secara kecil-kecilan saja. Tetapi setelah saya muncul di dalam program Wanita Hari Ini tidak lama dulu memperkatakan tentang bisnes tersebut, sambutan yang saya terima memang di luar jangkaan."Saya jalankan bisnes itu bersama seorang partner dan kami menjual kek lapis dan cookies yang ada diantaranya saya lakukan sendiri.

"Untuk tempahan atau sebarang maklumat tentang bisnes ini, boleh layari www.nora.com.my ," kata Nora yang akan pulang beraya ke Kelantan pada Hari Raya kedua nanti.

Aziz Berbahagia.

BULAN puasa yang mulia ini biasanya lebih seronok diraikan bersama-sama orang tersayang lebih-lebih lagi pasangan yang baru mendirikan rumah tangga.Namun tidak bagi pengarah dan produser terkenal Aziz M. Osman lantaran jarak yang memisahkan dia dan isterinya, Nor Radhiah Ramli, 22.Isterinya yang baru dinikahinya pada 16 Ogos lalu kini sedang bertugas sebagai guru subjek Kelas Agama dan Fardhu Ain (KAFA) di Sekolah Rendah Sultan Sulaiman II, Kuala Terengganu.

Meskipun begitu, hubungan jarak jauh ini, kata Aziz, akan berakhir juga pada hujung tahun ini apabila isterinya akan mula mengajar di Kuala Lumpur kelak."Sejak orang kata masih hangat bercinta ni, jarak dari Kuala Lumpur (KL) ke Kuala Terengganu (KT) saya ibaratkan seperti dari Sri Pentas, Bandar Utama ke Taman Tun Dr. Ismail saja."Semuanya tak mustahil bagi kami untuk berjumpa. Memandangkan Dhia pun sibuk dengan tugasannya di sana. Jadi, kalau saya ada masa terluang kami akan ulang-alik seperti mana kami lakukan ketika pulang dari umrah dulu.

Aziz dan Dhia ketika menghadiri Festival Filem Malaysia ke-21 baru-baru ini. (Foto The Star)

"Sejak Dhia datang ke KL pada Rabu lalu, kami sempat bersahur, berbuka puasa dan melakukan solat jemaah bersama-sama. Kemudian selepas tiga hari di KL, saya hantar dia pulang ke KT," beritahu Aziz yang sedang sibuk membuat Sitkom Fara musim ketiga yang disiarkan di TV3.

“Dugaan kami ibarat garam di laut, asam di darat. Maksudnya, kontras antara karier kedua-duanya dan suasana kami iaitu seorang di KL dan seorang lagi di KT.

“Lebih-lebih lagi saya di sini bekerja dengan orang-orang seni, kenal dengan artis manakala dia di sana pula dikelilingi oleh cikgu sekolah dan murid-murid. Apabila dipertemukan itulah yang menariknya.

“Cabarannya adalah masing-masing cuba mengenali dunia antara satu sama lain kerana antara kami tidak tahu dunia yang kita ingin teroka. Itu yang membuatkan sesuatu perkara itu lebih mencabar.

“Alhamdulillah, kematangan saya membuatkan Dhia berasa selesa dengan saya dan bukanlah memberikan kejutan kepada dia. Tidak bermakna saya hidup dalam dunia artis ini maka saya dedahkan 100 peratus dunia ini kepada dia. Saya mendirikan rumah tangga ini kerana saya mahu beristeri dan bukannya mencari pelakon filem atau artis.

“Benda tu adalah peribadi bagi saya dan tidak semestinya saya ingin mendedahkan dia kepada dunia seni ini. As long as saya dah berumah tangga ini, yang penting saya nak tahu yang saya ada isteri yang tunggu saya di rumah selepas dia tinggal bersama saya di KL selepas tiga bulan nanti untuk membina rumah tangga yang sempurna.“Bagi saya dunia artis ini hanyalah sebuah karier dan akhirnya kami sama juga, masing-masing adalah manusia biasa serta tiada bezanya,” tutur Aziz.Aziz turut menambah tentang hubungan antara Dhia dan anak-anaknya yang tidak langsung timbul sebarang masalah.

“Alhamdulillah, Dhia rapat juga dengan anak-anak saya. Baru-baru ini, kami sempat berbuka puasa bersama-sama dan anak-anak saya pun dah panggil dia ‘umi’. Saya bersyukur kerana semuanya berjalan dengan baik," kata Aziz.Pasangan ini sempat berbulan madu di Bali, Indonesia sambil Aziz melakukan kerjanya bersama dua pengarah Afdlin Shauki, Mamat Khalid untuk filem terbaru mereka iaitu Tiga Jalan termasuk pelakon dan pengarah Hans Isaac.Selain itu, Aziz juga membawa isterinya berjumpa dengan bapa saudara dan saudara-maranya di Singapura sambil makan angin di sana.“Semasa nikah hari tu, majlis tersebut terhad kepada orang-orang tertentu. Selepas majlis nikah tu barulah saya bawa isteri berjumpa famili di KL,” kata Aziz.

Dalam pada itu, isteri Aziz yang mesra dengan panggilan Dhia berkata usia muda bukan penghalang untuk dia kahwin.“Saya masih boleh mengikut rentak dia. Walaupun dia pengarah, tetapi sebenarnya dia macam orang biasa juga,” ulas Dhia ringkas.Asalnya, Dhia tidaklah terlalu meminati Aziz tetapi dia ada juga terbaca cerita-cerita tentang suaminya itu sebelum ini.

Menurut Dhia, ada sesuatu perkara yang membuatkan dirinya nekad untuk menerima Aziz selepas mereka dipertemukan dalam tempoh perkenalan yang singkat sebaik kembali dari mengerjakan umrah di Mekah.“Saya nekad untuk menerima dia selepas keluarga saya bersungguh-sungguh dalam hal ini. Mereka pun banyak memberi nasihat kepada saya. Orang kata, orang tua ni boleh nampak karektor seseorang itu dan nampak Abang Aziz ni baik.“Saya pun nampak dia bersungguh-sungguh dan pandai ambil hati. Waktu tu memang hati saya dah terpikat dengan dia.“Setakat tiga minggu berkahwin dengannya saya rasa sangat bahagia. Alhamdulillah, semuanya ok sebab dia baik. Dengan anak-anak pun ok dan saya tidaklah berasa janggal sangat.“Memang saya tak sangka dan tidak terfikir langsung untuk bergelar isterinya lebih-lebih lagi berkahwin dengan orang terkenal sepertinya. Sudah jodoh, jadi saya terima sahaja,” beritahu Dhia dalam nada ceria.

Nikmat berpuasa Aziz dan Dhia

Perkahwinan mereka sudah memasuki usia kira-kira tiga minggu dan menyambut bulan puasa pada saat-saat ini bagaikan suatu nikmat bagi setiap pasangan yang baru mendirikan rumah tangga termasuk Aziz dan Dhia.“Seperti yang kita ketahui nikmat bersama isteri ketika bulan Ramadan ini adalah makan bersama, bersahur bersama, beribadat bersama. Tetapi ikutkan saya sebenarnya dah ‘lost contact’ benda ni sejak dua tahun lalu.“Tetapi mungkin orang kata saya baru sahaja bercerai setahun lalu tetapi sebenarnya proses berpisah tu memakan masa kira-kira dua tahun.

“Jadi, nampaknya saya kini kembali kepada asas seorang yang sudah berumah tangga dan menjadi seorang suami. Pada hari keempat kita puasa, barulah saya berpeluang untuk berbuka puasa bersama isteri kerana sebelum itu dia mengajar di Kuala Terengganu, Terengganu.

“Selama dua tahun, saya berbuka puasa dan bangun sahur sendiri tetapi kali ini ada isteri yang telefon menanyakan dah makan ke belum, dah bersahur atau tidak.“Macam baru-baru ini saya terbabas tidur. Dia dah kejutkan saya pada pukul 4 pagi tetapi sebab saya tertidur semula, nasib baiklah dia kejutkan balik dalam pukul 5.30, kalau tak meranalah puasa saya hari tu,” ujar Aziz.

Bercerita tentang kelainan Nor Radhiah menyambut puasa pada tahun ini, katanya, kalau dulu dia menjalankan ibadat tersebut bersama-sama keluarga tetapi kali ini berubah sama sekali.

"Memang lain sebab dulu dengan famili tetapi sekarang dengan suami dan anak-anak. Namun, setakat ini saya belum berpeluang untuk memasak," luah Dhia yang sebelum ini pernah menuntut di Universiti Darul Iman atau KUSZA, Kuala Terengganu.Katanya lagi, dia akan cuba untuk belajar memasak masakan Jawa yang digemari Aziz.Bertanya tentang anak, kata Dhia, “Tentang anak, kami belum terfikir lagi dan nak enjoy dahulu sebagai suami isteri. Lagipun, saya dah ada ramai anak. Insya Allah, kalau ada rezeki dalam masa terdekat ini kami terima dengan hati terbuka.”Menyentuh tentang sambutan Hari Raya yang bakal menjelma tidak lama lagi, kata Aziz, dia dan isterinya akan menyambut Hari Raya pertama dan kedua di KL. Kemudian mereka akan bertolak untuk beraya di Terengganu pula pada petang raya kedua itu.


Perjalanan politik Dr. Mahathir
19-05-2008 03:25:53 PM

Tun Dr. Mahathir Mohamad dilantik sebagai Perdana Menteri yang keempat pada 1981 dan memimpin Malaysia sehingga Oktober 2003, menjadikan beliau adalah orang paling lama menjawat jawatan tersebut.

Pada Pilihan Raya Ketiga dalam tahun 1964, Dr. Mahathir, seorang doktor perubatan, dipilih sebagai Ahli Parlimen Kota Setar selepas menewaskan calon Parti Islam Se-Malaysia (Pas) dengan majoriti sebanyak 60.2%.

Beliau menjadi ahli Majlis Tertinggi (MT) Umno pada tahun 1965. Dalam Pilihan Raya 1969, beliau ditewaskan oleh calon Pas, Haji Yusoff Rawa, dengan perbezaan 989 undi, selepas mengumumkan bahawa beliau tidak memerlukan undi-undi orang Cina untuk mencapai kerusinya.

Berikutan peristiwa 13 Mei 1969, Dr. Mahathir dipecat daripada Umno pada tahun 1969 selepas pengedaran umum surat terbuka beliau kepada Tunku Abdul Rahman (Perdana Menteri pertama Malaysia).

Bagaimanapun beliau diterima kembali menjadi ahli Umno pada 7 Mac 1972.

Beliau dilantik sebagai Perdana Menteri menggantikan Tun Hussein Onn pada Jun 1981. Kemudian sebagai Presiden Umno sehingga beliau bersara.

Dr. Mahathir dipilih sebagai salah seorang Naib Presiden Umno pada 1975. Kemudian Tun Hussein Onn melantik beliau sebagai Timbalan Perdana Menteri pada 15 September 1978.

Menerusi rombakan Kabinet, Dr. Mahathir turut dilantik sebagai Menteri Perdagangan dan Industri.

Pada tahun 1987, Dr. Mahathir menghadapi cabaran sengit dalam pemilihan parti tetapi berjaya menewaskan Tengku Razaleigh Hamzah yang berganding dengan Tun Musa Hitam (bertanding jawatan Timbalan Presiden).

Susulan pemilihan itu, kes tersebut dibawa ke mahkamah dan Umno diharamkan pada tahun 1988. Umno Baru ditubuhkan susulan itu.

Tun Musa meletakkan jawatan sebagai Timbalan Dr. Mahathir pada tahun 1986. Kedudukannya digantikan oleh Tun Ghafar Baba yang ditewaskan oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim pada tahun 1993.

Anwar dipecat pada tahun 1998. Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dilantik sebagai Timbalan Perdana Menteri pada 1999.

Pada 31 Oktober 2003, Dr. Mahathir mengumumkan untuk meletakkan jawatan sebagai Perdana Menteri dan semua jawatannya dalam Umno serta menamakan timbalannya ketika itu, Datuk Seri Abdullah Badawi sebagai pengganti.

Setahun selepas melepaskan jawatan, Dr. Mahathir mengecam kepimpinan Abdullah sehingga membawa kepada pertemuan bersemuka tertutup.

Dr. Mahathir lantang bersuara, mengecam Abdullah sehingga 17 Mei lalu ketika pertemuan di Johor Bharu.

Selepas pilihan raya umum lalu, Dr. Mahathir dengan lantang menyalahkan Datuk Seri Abdullah dan menggesa agar beliau memikul tanggungjawab sepenuhnya atas kekalahan teruk BN.

Dr. Mahathir melahirkan rasa terkejut berikutan BN tumbang di lima negeri sehingga mencatatkan prestasi terburuk parti itu.

Beliau turut menyarankan Abdullah untuk berundur kerana menganggap penggantinya itu telah ‘memusnahkan’ Umno dan BN.

Bekas Perdana Menteri itu turut menggesa agar Umno menghapuskan sistem kuota pencalonan untuk pertandingan pelbagai jawatan parti termasuk jawatan Presiden bagi menggalakkan persaingan sihat.

Baginya sistem pencalonan wajar dihapuskan sekarang kerana boleh disalah guna bagi menghalang orang lain bertanding secara bebas.

Dr. Mahathir berkata, semasa pemerintahannya, sesiapa sahaja bebas mengemukakan pencalonan termasuk Tengku Razaleigh yang pernah menentangnya sebagai Presiden parti.