Friday, May 30, 2008

Jangan samakan hidup kita dengan hidup orang politik ..

Apakah benar kita tidak boleh samakan hidup kita dengan hidup orang politik. Sila baca dan renungkan kenyataan Ezam ini dan bagaimana pulak dengan senario Ezam apabila dia membuat kenyataan semasa memasuki UMNO 2 hari lepas ....

FAC News - Wednesday, August 7, 2002 2:35 PM

Kenyataan Mohamad Ezam Mohd Nor Di Mahkamah Sesyen Petaling Jaya selepas dijatuhkan hukuman di bawah Akta Rahsia Rasmi (OSA)

Yang Arif,

Beberapa tahun lalu, saya dilantik menjadi Setiausaha Politik kepada Menteri Kewangan Malaysia. Dalam usia belum mencecah 30, saya menjadi setiausaha politik termuda ketika itu. Saya dipilih oleh Menteri Kewangan manakala perlantikan dibuat oleh Perdana Menteri. Majlis angkat sumpah jawatan diadakan di hadapan Perdana Menteri dengan disaksikan oleh Ketua Setiausaha Negara. Tentunya saya merasa bertuah diberi peluang berkhidmat dalam kerajaan di kedudukan yang cukup penting dalam usia yang semuda itu. Seorang Setiausaha Politik dikehendaki hadir mesyuarat pasca – kabinet (post-cabinet). Mesyuarat ini dipengerusikan oleh menteri dan dihadiri oleh semua pegawai tertinggi di kementerian tersebut. Ianya merupakan mesyuarat terpenting selepas mesyuarat kabinet dan diadakan sebaik selepas mesyuarat kabinet setiap Rabu.

Pada penghujung tahun 1997, ekonomi mula merudum. Saban minggu mesyuarat pasca kabinet menjadi medan pertarungan. Antara mempertahan amanah dan memunggah khazanah. Menteri Kewangan dan pegawai-pegawai tinggi kerajaan yang masih setia dengan amanah rakyat berhempas pulas menepis tekanan Perdana Menteri dan kroni mahu dipunggah khazanah negara untuk menyelamat syarikat milik kerabat dan kroni. Kepentingan pemilik utama Perwaja, MAS, Renong, Projek Bakun, Projek Monorel, Syarikat Perkapalan kesemuanya mesti diselamatkan. Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Kumpulan Wang Amanah Pencen (KWAP), Petronas, Lembaga Tabung Haji (LTH), Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) adalah sumber dana awam yang menjadi mangsa.

Kesemua kita tahu kesudahan pertarungan ini. Menteri yang mempertahankan kepentingan rakyat dipecat. Saya lebih memahaminya kerana seminggu sebelum dipecat, Dato’ Seri Anwar Ibrahim telah memberitahu saya “Bersedia menghadapi sebarang kemungkinan. Saya dilihat sebagai penghalang. Mereka mahu saya keluar dari kerajaan. Saya tidak boleh kompromi”. Peristiwa ini cukup signifikan bukan sahaja kepada diri saya tetapi juga kepada kelangsungan negara. Saya ditakdirkan berada di satu kedudukan untuk melihat apa sebenarnya yang berlaku. Ianya bukan perhitungan peribadi. Ianya adalah pertarungan antara ketelusan dan penyelewengan, amanah dan rasuah.

Di situ tekad saya bermula. Bertolak dari dhamir (conscience) yang jelas untuk berjuang menentang rasuah dan penyelewengan yang berlaku di depan mata. Di sini saya berdiri hari ini untuk terus mempertahan tekad dan keyakinan saya. Tekad untuk terus berjuang, meminjam kata-kata seorang sasterawan negara “Berjuang dalam satu era keras dan panas bagi menyanjungi amanah dan ketakhalobaan”.

Yang Arif,

Dengan tekad dan keyakinan tersebut, saya berjuang dengan menyertai sebuah parti yang berdaftar secara sah, Parti Keadilan Nasional keADILan. Saya menggunakan segala ruang yang dibenarkan oleh perlembagaan untuk menyatakan yang haq (benar) kepada rakyat. Melalui ceramah-ceramah politik saya mendedahkan secara khusus penyelewengan yang berlaku, bagaimana wang rakyat dan dana awam diguna untuk menyelamat kerabat dan kroni yang sedang nazak. Rakyat berhak tahu kerana ini persoalan hak dan masa depan mereka. Sudah tentu media perdana negara tidak menyiarkan pendedahan saya. Sebaliknya pula serangan dibuat terhadap saya. Saya digelar penderhaka, pengkhianat, pengganas, penghasut!

Matlamat mereka ialah untuk memburukkan imej saya dan menghancurkan kredibiliti pendedahan saya. Mereka gagal. Semakin ramai rakyat hadir mendengar penjelasan saya. Justeru ceramah disekat. Segala ruang untuk menyampai maklumat dinafikan. Perjumpaan di dalam rumah pun diganggu oleh polis. Kononnya kerana kami memfitnah dan memecah-belahkan rakyat. Kalau itu alasannya mengapa tidak diambil tindakan undang-undang atas dakwaan fitnah? Tidak sukar untuk menyaman dan mendakwa saya kerana pendedahan saya spesifik dan khusus – menyebut nama projek, nama syarikat, nama kroni, nama kerabat, nama dana dan jumlah wang rakyat yang disamun.

Saya tetap mengikut saluran undang-undang dan perlembagaan. Saya membuat laporan polis supaya siasatan rapi boleh dilakukan terhadap dakwaan penyelewengan tersebut. Saya hadir di balai polis bila dipanggil untuk memberi keterangan. Ada kalanya memakan masa berjam-jam. Saya tetap akur dan gigih memberi kerjasama. Tetapi saya ditipu. Keterangan hanya diambil dari saya. Polis tidak pernah mengambil keterangan daripada individu yang disabitkan di dalam laporan polis saya kerana mereka adalah Perdana Menteri, Timbalan Perdana Menteri, Menteri-menteri serta kerabat dan kroni mereka. Lebih malang lagi apabila tindakan saya membuat laporan polis menyebabkan saya dilihat sebagai musuh negara. Saya bukan musuh negara. Saya musuh kepada pemimpin-pemimpin negara yang rasuah dan menyeleweng. Akibatnya saya yang ditahan. Tuduhan direka agar saya ditahan berkali-kali di lokap balai polis dan akhirnya di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA). Kononnya kerana mengancam keselamatan negara. Sebenarnya saya ditahan hanya untuk mempastikan saya tidak tampil lagi ke balai polis untuk membuat laporan polis. Laporan polis yang akan mengancam kedudukan pemimpin rasuah bukannya keselamatan negara!

Di bawah peruntukan Akta Rahsia Rasmi (OSA) ini ada dinyatakan kewajiban menyerahkan kepada polis sebarang dokumen rahsia yang diperolehi. Dalam ertikata lain, untuk tidak dihukum saya sepatutnya menyerahkan dokumen yang saya perolehi ini kepada polis. Persoalannya, polis yang bagaimana? Polis yang setia kepada negara dan menjunjung prinsip keadilan atau polis yang setia kepada penguasa rasuah dan sanggup menjadi alat dan perkakas mereka?

Puluhan laporan polis membabitkan penguasa yang rasuah pernah saya buat bersama rakan-rakan lain. Kesemuanya lenyap begitu sahaja. Ada laporan polis seperti kes kenyataan bekas Ketua Pengarah BPR, Dato’ Shafie Yahya terhadap Perdana Menteri dilaporkan oleh ribuan rakyat Malaysia di seluruh balai polis utama setiap negeri. Tiada tindakan diambil. Sebaliknya apabila satu laporan polis dibuat terhadap saya, tindakan serta- merta diambil. Pernah laporan polis dibuat oleh Pemuda Umno terhadap saya dan dalam tempoh kurang 2 jam polis telah menyerbu dan menggeledah rumah saya di hadapan anak-anak saya tanpa saya di rumah. Hari yang sama saya ditahan, disumbat di lokap pada malam saya seharusnya berada bersama keluarga dan umat Islam lain melafazkan takbir menyambut Eidul Adha keesokan harinya. Apakah masih belum cukup alasan untuk saya meragui kewibawaan polis?

Mahkamah hari ini juga membuktikan hakikat bagaimana polis diperalat untuk melindungi penguasa rasuah. Pada 9 Julai 1999, satu laporan polis telah dibuat terhadap pemimpin kerajaan yang sama, Dato’ Seri Rafidah Aziz dan beberapa menteri kabinet lain. Laporan polis tersebut dibuat oleh Dato’ Seri Anwar Ibrahim, bekas Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan. Sebahagian daripada asas laporan polis beliau merujuk kepada kandungan dokumen yang sama yang menjad asas kes hari ini. Persoalannya mengapa sehingga ke hari ini tiada siasatan dibuat terhadap laporan polis tersebut? Laporan polis terhadap saya dibuat oleh seorang pegawai polis 4 bulan selepas laporan polis dibuat oleh bekas Timbalan Perdana Menteri itu. Kes terhadap saya selesai hari ini manakala kes yang membabitkan laporan polis terhadap pemimpin kerajaan masih belum bermula!

Baru-baru ini Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Jamil Johari membuat kenyataan memberi jaminan setiap laporan polis akan mula disiasat dalam tempoh 7 hari selepas laporan polis dibuat. Dalam kenyataan yang sama beliau juga memperakukan hak pelapor untuk dimaklumkan dari masa ke semasa perkembangan siasatan. Saya cadangkan kepada beliau, untuk mengelakkan beliau dilihat sebagai seorang penipu besar beliau seharusnya membuat sedikit perubahan kepada kenyataan tersebut. Beliau seharusnya berkata, “kenyataan tersebut hanya membabitkan laporan polis yang tidak melibatkan pemimpin-pemimpin kerajaan seperti Perdana Menteri, Timbalan Perdana Menteri, menteri-menteri Kabinet serta kerabat dan kroni mereka. Sebagai alat dan perkakas kepada penguasa-penguasa rasuah sudah tentu polis tidak akan melayan laporan polis yang dibuat terhadap salah laku rasuah dan penyelewengan mereka!” Seorang Menteri Kabinet, Dato’ Rais Yatim juga membuat kenyataan untuk cuba mengurangkan kerosakan (damage control). Beliau menggesa siasatan dibuat dengan segera tanpa pilih bulu setelah laporan polis dibuat. Beliau juga pernah mengumumkan penubuhan sebuah unit di kementeriannya untuk memantau laporan-laporan polis yang memakan masa lama untuk disiasat. Ia hanya berakhir sebagai satu kenyataan akhbar. Tiada satu tindakan pun yang diambil selepas itu. Seharusnya beliau meletakkan jawatan samada kerana berbohong atau pun menjadi seorang menteri yang gagal menterjemah kenyataan kepada tindakan.

Yang Arif,

Hari ini saya dijatuhkan hukuman. Mahkamah ini menjadikan saya seorang pesalah, seorang penjenayah. Sekiranya mendedahkan salah laku rasuah dan salah guna kuasa pemimpin kerajaan menjadikan saya seorang penjenayah, saya rela untuk seribu kali lagi dihukum dan digelar penjenayah. Saya hanya melaksanakan tanggungjawab moral saya. Rasa tanggungjawab yang lahir dari dhamir (conscience) yang benci dan jijik melihat perlakuan rasuah. Apatah lagi bila melihat perlakuan rasuah itu dilakukan tanpa rasa takut. Saya melihat dan membaca laporan BPR tersebut dan saya merasa jijik. Malangnya tidak ramai yang sempat membacanya. Di dalam sidang mahkamah ini, hanya pihak polis yang menyiasat bersama pihak pendakwa dan peguambela dibenarkan menatap laporan itu selain daripada Yang Arif sendiri. Apakah mereka tidak merasa jijik? Saya percaya setiap jiwa yang masih ‘hidup’ akan merasa jijik.

Tentunya kita merasa jijik membaca laporan siasatan terhadap seorang menteri yang mempengerusikan mesyuarat dan meluluskan peruntukan berjuta saham kepada menantunya sendiri. Lebih menjijikkan bila membaca pengakuan menteri itu bahawa beliau terus mempengerusikan mesyuarat itu walaupun sedar ianya merupakan satu kesalahan kerana diarah oleh Perdana Menteri. Perdana Menteri arahkan beliau pastikan anak beliau (Perdana Menteri) juga diberikan peruntukan saham dalam mesyuarat yang sama. Terlalu jijik untuk kita mempercayainya sebagai satu dokumen yang benar. Tetapi sesungguhnya ia merupakan satu kisah benar. Proses mahkamah ini membuktikan bahawa dokumen itu bukan dokumen palsu. Dokumen-dokumen itu adalah laporan siasatan BPR yang telah diperakukan oleh Peguam Negara dalam sidang mahkamah ini sebagai dokumen yang benar. Laporan siasatan BPR itu menampilkan bukti dan asas-asas yang kukuh mengenai perlakuan rasuah dan salah guna kuasa dua pemimpin kerajaan. Dato’ Seri Rafidah Aziz dan Tan Sri Abdul Rahim Tamby Chik. Dalam laporan itu BPR mencadangkan agar kedua-dua pemimpin kerajaan ini didakwa di mahkamah. Bahagian Pendakwaan, Jabatan Peguam Negara di dalam laporan yang sama turut menyokong dan memperakukan cadangan BPR itu. Persoalannya, bagaimana seorang individu yang telah disiasat dan dibuktikan oleh BPR dan Jabatan Peguam Negara mempunyai asas kukuh untuk didakwa masih terus lepas bebas? Bagaimana individu ini bukan sahaja bebas tetapi masih menjadi menteri? Bagaimana menteri ini boleh terus menjadi menteri di kementerian yang sama dan meluluskan peruntukan berjuta-juta saham kepada menantu beliau berkali-kali selepas itu?

Kisah begini hanya boleh berlaku di dalam sebuah negara yang rosak (a rotten state). Yang mendedahkan salah laku rasuah dipenjarakan manakala si perasuah terus lepas bebas, kekal menteri dan terus melakukannya berkali-kali lagi! Seharusnya kita mengambil iktibar daripada peristiwa beberapa tahun lalu. Bagaimana seorang Timbalan Perdana Menteri yang bersungguh-sungguh mahu memecahkan rantaian yang melindungi penguasa rasuah dan membentangkan sendiri pindaan akta rasuah di Parlimen akhirnya dipecat dan merengkok di penjara. Seharusnya kita sedia maklum di negara ini yang akan ke penjara ialah orang yang melawan rasuah manakala si perasuah akan terus lepas bebas dengan syarat beliau seorang pemimpin politik parti pemerintah dan cekap membodek dan mengampu. Oleh yang demikian, kita tidak seharusnya merasa terlalu hairan menerima keputusan hari ini.

Yang Arif,

Saya tidak berminat mempertikai keputusan mahkamah ini. Sejak awal lagi saya sedar pertarungan saya bukan di ruang ini. Jantung dan nadi kes ini bukan di sini. Saya berjuang di medan yang lebih luas. Saya berjuang menentang penguasa yang rasuah. Saya menentang mereka yang menggunakan kuasa untuk melakukan rasuah dan menggubal undang-undang untuk melindungi perbuatan rasuah mereka. Mahkamah ini sendiri tidak punya banyak pilihan. Undang-undang telah digubal untuk menyempitkan ruang agar usaha mencari kebenaran di mahkamah terbatas. Akta Rahsia Rasmi (OSA) yang digubal di Parlimen oleh penguasa-penguasa rasuah ini digunakan untuk melindungi penyelewengan mereka. Atas nama ‘keselamatan negara’ mereka menutup segala ruang bagi maklumat rasuah mereka diketahui umum. Mereka berlindung di sebalik perkataan RAHSIA BESAR, RAHSIA, SULIT dan TERHAD untuk menggerunkan jiwa setiap pegawai dan kakitangan pentadbiran negara yang terpaksa berdepan dengan perangai jijik mereka. Media sebagai institusi masyarakat terpenting di dalam menghubungkan maklumat antara negara dan rakyat menerusi wartawan-wartawan sentiasa dihantui dengan Akta Rahsia Rasmi (OSA) ini. Kita dapat melihat dengan jelas dilema mereka melalui kenyataan wartawan yang tampil menjadi saksi di dalam kes ini. Pada tahun 1986 akta ini digubal lagi untuk menguatkan lagi cengkaman pemerintah dengan hukuman mandatori penjara menanti sesiapa yang cuba menjadi berani.

Institusi mahkamah sendiri tidak berdaya untuk berbuat apa-apa selain menghukum sesiapa yang ditangkap menyebar kertas yang dicop RAHSIA. Isi kertas tidak relevan. Yang penting ialah perkataan RAHSIA di atas kertas tersebut. Justeru, tiada beza antara kertas tandas dan kertas maklumat rasuah kerana yang penting hanyalah cop RAHSIA. Saya bukan menghina mahkamah. Yang menghina mahkamah ialah penguasa-penguasa rasuah yang membataskan kuasa mahkamah. Mereka menggubal undang-undang bukan untuk memberi kuasa kepada mahkamah tetapi hanya untuk mempastikan mereka terus berkuasa. Pastikan peruntukan akta yang ada cukup untuk menutup maklumat sampai kepada rakyat. Lincoln pernah berkata, “Let the people know the facts and the country will be safe. If given the truth, they can be depended on to meet any national crisis” (Biar rakyat tahu fakta yang benar dan negara akan selamat. Sekiranya diberi fakta yang benar, mereka boleh diharapkan untuk menghadapi apa jua krisis negara)’. Lincoln seorang pemimpin yang mendakwa, “I’m a firm believer in the people”. (Saya seorang yang berkeyakinan penuh kepada rakyat). Tentu jauh untuk kita mengharapkan semangat yang sama di negara ini kerana di sini pemimpinnya asyik menyalahkan rakyat. Rakyat punca masalah – tidak boleh dipercaya, mudah percaya fitnah, malas, mudah lupa, bodoh, taksub, ekstremis dan haprak. Walaupun hakikatnya yang menjahanamkan negara ini bukan rakyat tetapi pemimpin yang rasuah dan menyeleweng kerana berlumba-lumba mengejar kemewahan tanpa batas.

Pemimpin-pemimpin rasuah ini langsung tidak mempunyai kekuatan moral untuk menggubal akta yang mampu mempertahan prinsip keadilan dan kebenaran. Di Parlimen Britain, sebuah akta diberi nama ‘Public Interest Disclosure Act’ digubal dengan semangat ‘to encourage people to blow the whistle about malpractice and to ensure the authority respond by acting on the message rather than against the messenger’ (untuk menggalakkan rakyat mendedahkan penyelewengan dan mempastikan pihak berkuasa bertindak ke atas isu yang dibawa bukan si pembawa isu). Akta seperti ini tidak digubal di Parlimen Malaysia kerana tidak ada keazaman politik (political will) untuk mempertahankan kebenaran atas prinsip keadilan dan pertanggungjawaban.

Tan Sri Harun Hashim, bekas Ketua Pengarah dan pengasas BPR menyatakan bahawa “Corruption can only be prevented, even eradicated to a large extent, if there is political will” (Rasuah hanya dapat dielakkan malah dihapuskan sekiranya ada keazaman politik). Dalam sebuah ucapan di suatu majlis anjuran MIM (Malaysia Institute of Management) beliau menyatakan, “In 1967, when I was appointed to establish the ACA, the PM Tunku Abdul Rahman, gave me a free hand to prevent corruption from spreading in the country. I was allowed to choose and pick officers for the agency from the public service and the police, and unlimited funds from the treasury. There was no interference from the government in the workings of the agency. Even the Attorney-General was not allowed to interfere with prosecutions of corruption cases. As it is now, under the new corruption law, the Director General has no legal power”. (Pada tahun 1967, apabila saya dilantik untuk menubuhkan BPR, Perdana Menteri Tunku Abdul Rahman memberi saya sepenuh kebebasan untuk membendung rasuah daripada berleluasa di negara. Saya dibenarkan untuk memilih pegawai untuk badan ini daripada kalangan anggota pentadbiran dan polis, bersama peruntukan yang tidak terhad daripada Kementerian Kewangan. Tidak ada campurtangan daripada kerajaan di dalam urusan BPR. Peguam Negara sendiri pun tidak dibenarkan campurtangan dalam urusan pendakwaan kes-kes rasuah. Tapi dengan undang-undang baru rasuah hari ini, Ketua Pengarah BPR tiada langsung kuasa undang-undang).

Beliau akhirnya mengungkap, “The eradication of corruption in the public and private sectors should be everybody’ s concern. The corrupt should be looked upon as enemies of the public. We do not want corruption to be a way of life. The ACA should be independent, reporting directly to the Parliament”. (Usaha membanteras rasuah di dalam perkhidmatan awam dan swasta harus menjadi tanggungjawab semua. Perasuah harus dilihat sebagai musuh rakyat. Kita tidak mahu rasuah menjadi amalan hidup. BPR mesti bebas dan melapor terus kepada parlimen).

Yang Arif,

Hukuman ke atas saya hari membuktikan hakikat tersebut. Dokumen yang menjadi asas kepada hukuman saya hari ini membuktikan bahawa kebimbangan pengasas BPR tersebut berasas. BPR hari ini bukan sahaja tidak bebas malah diikat dan kuasa habis dicabut. Dokumen yang saya edarkan dan ditangkap kerananya bertajuk Laporan Siasatan BPR ke atas Datuk Seri Rafidah Aziz dan Tan Sri Abd Rahim Tamby Chik. Sesiapa yang meneliti kandungan laporan ini pasti dapat melihat betapa gigihnya pegawai-pegawai BPR menyiasat salah laku rasuah yang membabitkan dua pemimpin kerajaan ini. Bukti yang ditampilkan kukuh. Maklumat khusus termasuk beberapa akaun bank milik mereka bernilai jutaan ringgit ditampilkan. Maklumat khusus berjuta saham yang diperuntukkan dan pemilikan harta peribadi bernilai jutaan ringgit juga disenaraikan dengan terperinci. Bagaimana pun ianya tidak membawa apa-apa makna kerana keputusan akhir terletak di tangan Perdana Menteri. Laporan siasatan BPR menjadi komoditi untuk dinilai sebagai tukaran kesetiaan politik. Kalau kamu setia, pendakwaan tidak akan berlaku. Bukan sekadar itu, dia dijamin selamat. Kertas laporan siasatan akan dicop RAHSIA agar tiada siapa tahu. Inilah yang menjadi asas kepada budaya impuniti – kebal dari tindakan undang-undang - di kalangan elit politik negara ini. Sebab itulah mereka melakukan rasuah dan penyelewengan tanpa batas dan tanpa rasa takut. Saya berani menyatakan di sini hampir kesemua menteri kabinet di negara ini mempunyai asas untuk didakwa atas kesalahan rasuah dan salah guna kuasa. Saya mengambil tanggungjawab penuh berhubung dakwaan ini dengan syarat BPR diberikan kebebasan untuk menyiasat dan mengemukakan laporan siasatan kepada umum. Jangan gunakan cop RAHSIA di atas semua laporan siasatan tersebut.

Baru-baru ini seorang lagi bekas Ketua Pengarah BPR membuat kenyataan memperkukuh kewujudan budaya impuniti yang berleluasa. Sebagai seorang saksi dalam kes Dato’ Seri Anwar Ibrahim, Dato’ Shafie Yahya menyatakan kepada Mahkamah Tinggi bagaimana Perdana Menteri menghalang beliau meneruskan siasatan kes rasuah yang membabitkan seorang pegawai tinggi kerajaan. Kenyataan ini amat penting kerana ianya daripada seorang Bekas Ketua Pengarah BPR sendiri dan membabitkan secara langsung Perdana Menteri. Kenyataan ini pula dibuat di Mahkamah Tinggi. Seluruh negara seharusnya bersedih dengan kenyataan ini. BPR sebuah badan terpenting dalam membanteras rasuah, penyakit paling bahaya bagi sesebuah masyarakat dan negara, telah dicabut segala kuasa untuk bertindak dengan berkesan dan adil. Episod perbicaraan ke atas saya ini hanya memperkukuhkan hakikat tersebut.

Usaha yang bersungguh-sungguh harus dilakukan untuk membendung masalah rasuah dari terus berleluasa. Penguasa yang bergelumang dengan rasuah tidak akan mampu untuk melakukan bentuk perubahan atau reformasi yang diperlukan. Penguasa seperti ini pernah digambarkan oleh Ibn Khaldun sebagai "penguasa yang terlalu asyik dan berkeinginan hidup mewah”. Mereka hanya sekadar berpura-pura menangis di perhimpunan parti mereka. Sebenarnya sebagai parti pemerintah mereka mampu untuk menangani masalah rasuah tanpa perlu menangis di khalayak ramai sekiranya mereka benar-benar punya keazaman politik (political will).

Dua tahun lalu, di negara jiran, Thailand, kita menyaksikan bagaimana parti pemerintah yang mempunyai political will melakukan reformasi membanteras rasuah. Parti Demokrat yang memerintah ketika itu melakukan reformasi sehingga tertubuhnya sebuah badan pencegah rasuah (National Counter-Corruption Comission) yang diberi kuasa penuh untuk bertindak ke atas perasuah. Dunia menyaksikan bagaimana Setiausaha Agung parti pemerintah itu sendiri disiasat dan dihukum. Keadaannya berbeza di Malaysia. Setiausaha Agung Umno, parti pemerintah di Malaysia kebal dari tuduhan rasuah. Sudah lebih setahun laporan polis dibuat terhadapnya oleh seorang ahli Dewan Undangan Negeri membabitkan salah laku rasuah bernilai lebih 2 ribu juta ringgit khazanah negeri (kayu balak) semasa beliau menjadi Menteri Besar Pahang. Tiada berita samada siasatan polis sudah bermula atau berakhir. Beliau masih terus menjadi menteri dan setiausaha agung parti. Malah baru-baru ini beliau yang mengumumkan proses peralihan kuasa di negara ini dan pengganti Perdana Menteri. Apakah kita masih belum faham jenis apa negara kita hari ini?

Yang Arif,

Biar saya tegaskan di sini, walau apa pun hukuman yang dijatuhkan terhadap saya ianya tidak akan merubah pendirian dan keyakinan saya. Saya dihukum hari ini bukan kerana membocorkan rahsia yang menggugat keselamatan negara. Saya bukan perosak negara. Saya ingin menyelamatkan negara. Saya bertindak di atas pendirian dan keyakinan saya bahawa rasuah dan penyelewengan kuasa adalah asas kepada keruntuhan negara. Saya bertindak dengan dhamir (conscience) yang jelas melihat kerakusan penguasa kepada harta. Saya menjunjung perintah Allah dalam surah Al-Hasyr, Ayat 7:

Supaya harta itu jangan hanya beredar di antara orang-orang kaya sahaja di antara kalian.

Sejarah bangsa dalam karya agung Sejarah Melayu atau Sulalat-al-Salatin banyak memberi pengajaran. Terlalu banyak kisah di dalamnya mengenai hilangnya pertimbangan moral penguasa akibat pengaruh wang dan kemewahan sehingga diungkap perkataan ‘hilangnya budi akal kerana harta’. Wang Ann Shih, tokoh perubahan dan falsafah Cina mengungkapnya sebagai ‘sifat manusia durjana dan undang-undang yang lemah’. Tentu ramai yang pernah mendengar bila Ghandi mengungkap bagaimana sifat tamak haloba yang menyempitkan dunia yang luas.

Di dalam kesunyian terasing di Kem Tahanan Kamunting, buku menjadi teman rapat saya termasuk sebuah novel karya Hamka bertajuk ‘Tuan Direktur’. Kisah tamak haloba penguasa dan kroninya. Yang lebih menyentuh dhamir saya ialah sebuah hadis Rasulullah s.a.w riwayat Tarmizi yang terpampang di muka depan novel. “Sesungguhnya setiap umat ditimpa oleh cubaan dan cubaan bagi umatku ialah harta”.

Hari ini saya telah melaksanakan tanggungjawab moral saya. Sebagai seorang pemimpin politik yang kerdil, saya hanya melaksanakan tanggungjawab kepada rakyat dan negara. Sebagai seorang hamba Allah,. saya melaksanakan tanggungjawab ini atas tuntutannya. Islam melihat kebebasan bersuara – hurriyyat al-bayan atau hurriyyat al-mu’aradah bukan sahaja persoalan hak individu tetapi kewajipan yang wajib dilaksanakan demi menegakkan kebenaran. Saya yakin kepada kekuatan kebenaran. Saya tidak ragu sedikit pun bahawa kebenaran akan tertegak dan sejarah akan membuktikan saya benar.

Saya juga yakin apa yang berlaku hari ini akan memperkukuh iltizam teman-teman khususnya anak-anak muda, generasi baru negara ini untuk terus berjuang berasaskan dhamir mereka untuk menentang rasuah dan penyelewengan dari terus berleluasa di negara ini. Generasi muda mesti pastikan budaya impuniti di kalangan elit politik ini dihapuskan di zaman mereka. Kita sebenarnya tidak punya banyak pilihan. Dalam era globalisasi budaya impuniti ini akan menghancurkan negara jika tidak dihapuskan sekarang.

Yang Arif,

Sudah lebih setahun saya di penjara. Saya faham makna penjara. Saya tahu kesengsarannya terutama kepada keluarga dan anak-anak saya yang masih kecil. Derita mereka bukan kepalang. Saya hanya mampu berdoa bila mereka besar nanti mereka akan faham makna pengorbanan ini.Mengapa saya tetap teguh mempertahan keyakinan saya. Mengapa saya tidak serik-serik. Mengapa saya terus berjuang dan berjuang. Dari mahkamah ke mahkamah, dari lokap ke lokap, dari penjara ke penjara. Ianya adalah untuk masa depan mereka, anak-anak saya dan juga anak-anak tuan-tuan.

Rasulullah s.a.w pernah bersabda:

“Akan selalu ada dalam umatku, orang yang berpegang teguh pada kebenaran, mereka tidak merasa berat dengan gangguan yang datang pada mereka. Demikian hingga perintah Allah datang."

(Hadith Riwayat Muslim/Bukhari)

Semoga kita termasuk di dalam golongan tersebut.

Sekian.

7 Ogos 2002

Mahkamah Sesyen

Petaling Jaya, Selangor

Entah kini pening dibuatnya.

Dunia dan senario politik Malaysia semakin mengelirukan rakyat..Bukan dipersoalkan siapa yang betul atau salah. Apa yang disuarakan disini adalah bagaimana untuk memperkatakan sesuatu itu benar atau tidak betul ? Dulu diluar kem mengatakan dia dan sianu bersalah... tetapi apabila aje masuk kem dia pula mengatakan sianu bersalah dan dia adalah pemimpin sejati.

Disini bukan dipersoalkan kenyataan-kenyataan politik tersebut tetapi apakah manusia kini sudah hilang soal moral dan maruah ? benarkah rakyat mengatakan orang politik semuanya hanya bertopeng untuk kemenangan diri sendiri ... susah utk dinyatakan. Namun apa yang penting antara kita mampu menilai dengan pengetahuan dan pengalaman hidup masing-masing ... lihat keadaan terbaru Ezam .. diluar menentang habis-habis dan bila didlm semuannya ok ok sahaja .. lihat kenyataan yang pernah dikeluarkannya ..


Thursday, May 29, 2008

Tak mungkin saya diterima UMNO : Ezam

Seremban- "TIDAK mungkin saya diterima masuk dalam Umno kerana saya sudah buat tiga kali laporan polis dan BPR terhadap Presiden Umno Abdullah Ahmad Badawi dan anaknya Kamaludin," tegas Pengerusi Gerakan Demokrasi dan anti korupsi (GERAK) Mohamad Ezam Mohd Nor.

Ezam berkata demikian ketika melancarkan kempen 'Rasuah Musuh Nombor Satu Negara' peringkat Negeri Sembilan malam tadi di Taman Setia Jaya, Seremban.Di hadapan ribuan hadirin, Ezam yang juga bekas ahli Parti Keadilan Rakyat (PKR) berkata, khabar angin beliau akan masuk Umno itu diada-adakan untuk mengelirukan orang ramai."Mana mungkin saya diterima Umno, sejak Abdullah jadi Perdana Menteri, saya sudah buat tiga laporan polis dan BPR terhadap beliau dan anak kesayangannya Kamaluddin."Saudara fikir, saya akan diterima masuk Umno selepas habis-habisan belasah Abdullah? Tidak mungkin Umno boleh beri ruang kepada saya selepas ini?" soal beliau kepada hadirin.Ezam sebelum ini mengumumkan beliau keluar PKR untuk menumpukan perhatian kepada NGO yang diasaskannya GERAK.Beliau kini dalam rangka jelajah ke seluruh Malaysia untuk melancarkan kempen terbaru GERAK, 'Rasuah Musuh Nombor Satu Negara'.Sementara itu, menyentuh perkembangan terkini kes bekas Ketua Pengarah BPR Datuk Seri Zulkifli Mohd Noor yang siasatan rasuah ke atasnya diarah tutup oleh Perdana Menteri, Ezam berkata tindakan tersebut bakal menjejaskan ekonomi negara.

"Imej negara buruk dengan cara kes ini ditutup, pelabur asing was-was untuk melabur," katanya yang juga merupakan Sarjana Ekonomi lulusan UIAM.Menurut Ezam, Jawatankuasa Khas mengenai Integriti Parlimen mesti memanggil bekas Pengarah BPR Sabah Ramli Manan individu yang bertanggungjawab membuat pendedahan rasuah Zulkifli Mohd Noor."Saya sendiri sanggup beri keterangan jika dipanggil oleh mereka," kata Ezam.GERAK sebelum ini membuat pendedahan besar-besaran mengenai laporan rasuah Ramli Manan terhadap Ketua Pengarah BPR selepas laporan Ramli tidak diambil tindakan yang sewajarnya.Berikutan pendedahan GERAK itu kertas siasatan dibuka dan Zulkifli tidak lagi disambung kontrak sebagai boss BPR.Tetapi baru-baru ini Peguam Negara Tan Sri Abdul Ghani Patail memberitahu siasatan mendapati tuduhan rasuah tersebut tidak benar dan kertas siasatan ditutup.

Tuesday, May 27, 2008

Elak wanita penggoda'


Lelaki ramai teman keliling pinggang hilang fokus kepada isteri

LONDON: Kebimbangan sekian lama golongan isteri disokong dengan hasil kajian baru yang membuktikan lelaki yang dikelilingi wanita penggoda boleh membuatkan cinta mereka kepada pasangan semakin pudar. Menurut kajian, selepas menghabiskan masa dengan wanita yang bertindak seolah-olah mereka memang memerlukan perhatiannya, si lelaki akhirnya semakin kurang menghargai pasangan sendiri.Ia juga menunjukkan, lelaki yang kerap dikelilingi wanita muda seperti pensyarah lebih berkemungkinan untuk bercerai berbanding lelaki yang tidak ada minat ke arah itu.Pakar menunjukkan memang menjadi tuntutan biologi untuk berpasangan yang membuatkan lelaki melihat teman hidup kurang menarik selepas bertemu dengan wanita penggoda.


Penyelidik, Dr Sandeep Mishra, berkata: "Kejayaan tinggi reproduktif lelaki atau kecergasan biologi, bergantung kepada penemuan dan hubungan dengan ramai wanita."Sebaliknya, wanita mendapat lebih manfaat kerana memilih dan melihat kepada kualiti dalam perhubungan. Contohnya, seseorang wanita hanya menghasilkan seorang anak meskipun ada hubungan dengan beberapa lelaki pada satu masa." Kajian itu, yang dilakukan oleh Universiti McMaster di Ontario, Kanada, meminta sukarelawan lelaki dan wanita untuk melihat model pakaian dalam dan meletakkan nilai mereka dari segi daya tarikan manakala yang lain diminta memberi reaksi berdasarkan seni abstrak. Mereka kemudian menilai pasangan masing-masing dari segi daya tarikan, kepandaian, kemesraan dan keinginan. Kebanyakan lelaki yang melihat gambar model meletakkan pasangan mereka jauh lebih rendah berbanding sukarelawan yang ditunjukkan dengan seni abstrak. Sementara wanita tidak terjejas dengan gambar itu.

Sukarelawan kemudian ditunjukkan rakaman video anggota berlainan jantina ditemubual, dengan sebahagian penemubual diminta bertindak menggoda, dan diminta menilai daya tarikan mereka. Lelaki menilai wanita penggoda pada tahap amat tinggi manakala wanita sekali lagi terbukti tidak menunjukkan sebarang kesan dengan tindak tanduk penemubual. Dr Mishra, yang kajiannya disiarkan dalam jurnal 'Evolution And Human Behaviour', berkata: "Lelaki pada asasnya sukakan gadis menarik yang berminat kepada mereka dari segi seksual, dan wanita selalunya tertarik kepada lelaki yang mempunyai sumber material. "Apa yang 'semula jadi' dari segi biologi, tidak semestinya apa itu 'moral' atau 'baik'. Seseorang mesti sedar hakikat yang ia bukan kecenderungan luar biasa."

Bila Anak Duduk di Rumah Tapi Menghadap Komputer...


Kadang-kadang saya bangun malam pun, diorang masih chatting, nak marah mereka pun, sebab kalau saya tak ada di rumah, diorang masih boleh bukak kan? waktu dulu saya beri masa tapi bila waktu makan, memang saya panggil.

Anak anda lebih suka menghabiskan masanya di rumah daripada keluar dengan rakan-rakannya. Hai, tenang sikit hati si ibu. Tapi si anak lebih sering menghadap komputer, dan jarang berinteraksi dengan keluarga. Adakah ini akan menimbulkan sikap dan personaliti yang anti-sosial? Salahkah si anak yang kononnya mempunyai cara pergaulan sendiri di ruang siber?

Baru-baru ini, sekumpulan belia lelaki yang mengadakan bantahan terhadap pasangan-pasangan di kawasan beli belah mewah di Taipei, Taiwan, yang menyambut hari cuti bersama. Kumpulan belia ini dikenali sebagai home boys, atau belia lelaki yang lebih gemar duduk di rumah, menyertai permainan komputer online, menyepikan diri di dalam bilik dan sering merungut di ruang-ruang Forum Internet, tentang bagaimana mereka dipinggirkan masyarakat. Mereka menggunakan Internet untuk menghidupkan realiti alternatif, di mana watak-watak fantasi dan permainan digital menjadi keutamaan mereka daripada kehidupan nyata.

Masyarakat Singapura semakin bergantung kepada internet untuk melancarkan lagi kehidupan seharian, dan dengan itu, kian ramai remaja yang berdepan dengan komputer setiap hari, sama ada untuk kerja sekolah atau berinteraksi melalui kaedah chatting dan lelaman sosial lain seperti Facebook dan Friendster. Tetapi benarkah remaja lebih suka menghadap komputer daripada keluarga sendiri? untuk saya memang kalau saya balik rumah, memang saya selalu masuk online lagi banyak daripada saya bergaul dengan mak bapak saya tapi tak semestinya saya tidak tegur langsung dengan mak bapak saya sebab hari sabtu, hari ahad pun, memang kita luangkan masa untuk keluarga. jadi dari hari isnin hingga jumaat saya rasa tak salah kita masuk online kerana kita masuk pun nak buat kerja sekolah tapi pada masa yang sama jangan kita abaikan keluarga kitalah juga.

Menurut penilaian pakar sosiologi, obsesi remaja yang terlalu sangat menghabiskan masa dengan dunia siber ini menghambat kebolehan mereka untuk membangunkan hubungan sihat dengan orang lain. Namun di manakah salahnya? Adakah golongan ini menjadi seperti ni kerana pilihan sendiri atau memangkah masyarakat harus dipersalahkan kerana meminggirkan mereka? sejauh ini memang walaupun anak saya selalu di komputer, dengan saya, dengan suami saya, kami selalu berbual, tak pernah macam they in their own world, tak ada. dan kadang-kadang kalau kita jumpa sepupu yang dekat, mereka juga chatting antara mereka juga, jadi nak kata anak saya menyendiri, tu tidak, sebab mungkin dari kecil saya suka berbual dan tanya anak saya, jadi tak pernah anak saya duduk one corner diam gitu, tak pernahlah...

Namun, adakah benar mereka yang mendalami dunia alteranatif di alam siber ini mengingingkan kelainan dari kehidupan seharian? Atau adakah ini cara mereka mendapatkan penerimaan dari rakan-rakan yang mungkin belum pernah mereka temui di luar ruang internet? ada orang dia mengambil personaliti yang lain kalau diorang masuk online saya rasa maybe sebab budak-budak ini, mereka ingin menjadi orang yang lain dari peribadi sebenar mereka. kita kena pandai balance kalu nak masuk online dengan kalau kita nak ada social life kat luar juga kadang-kadang kalau ada orang masuk online, mereka lebih berani dari dalam diri mereka sebenar. diorang macam tak berani nak luahkan perasaan mereka jadi mereka luahkan online. jadi saya rasa gaya hidup kurang sihatlah untuk remaja.

Mungkin ramai ibu bapa yang bimbang jika anak muda remaja tidak meluangkan masa di rumah tetapi lebih suka keluar dengan teman-teman. Maklumlah, bimbangkan pergaulan di luar keselamatan rumah dan di luar pemantauan ibu bapa. Namun, antara si anak duduk di rumah tetapi menyendiri di dalam bilik dengan komputernya, atau keluar dengan rakan-rakan, pilihan Cik Monaliza Basri, ibu berusia 42 tahun yang mempunyai tiga anak muda remaja.

saya lebih suka mereka keluar dari rumah dan juga dengan keluarga sya. kalau duduk di rumah depan komputer saya tak suka, sebab jangan kata di luar rumah, di dalam rumah pun perkara boleh terjadi, diorang pun boleh bohong dengan saya sebab saya tak nampakkan, diorang boleh cakap oh mak, kita kat komputer buat projek. jadi saya lebih suka mereka keluar, bukan kata kat luar tu lebih selamat tapi di luar saya suka telefon, tanya kat mana, dah makan, dah sembahyang gitu. for example kalau saya jumpa kawan, secara bersemuka boleh ketawa bersama, lebih seronok dari online di mana kita taip haha! tapi saya tak rasa apa-apa kalau itu jadi kat saya.

Jadi, saudara, apa yang menjadi sebab bagi golongan belia yang digelar sebagai home boys ini memilih dunia siber yang penuh fantasi? Adakah penting untuk kita mencampurkan tangan jika ada yang mungkin menunjukkan kecenderungan untuk memencilkan diri seperti ini?

Wan Seng kongsi petua kejayaan peniaga Cina

BANGUN seawal Subuh kerana sumber rezeki bermula awal pagi. Suruhan ini dititikberatkan dalam Islam, tetapi masyarakat Cina turut mengamalkannya," kata pakar motivasi perniagaan, Ann Wan Seng ketika berkongsi petua kejayaan masyarakat Cina dalam perniagaan. Mereka yang tidak mempunyai pendidikan tinggi, tapi mempunyai semangat untuk terus maju juga boleh cemerlang dalam perniagaan dan yang penting jangan sekali-kali menjadikan kekurangan itu sebagai halangan untuk mengecapi kejayaan.

Beliau yang sudah menghasilkan 30 buku motivasi termasuk berjudul Rahsia Perniagaan Orang Cina berkata, petua lain ialah seseorang peniaga itu perlu bersikap mesra, ‘ringan mulut’, kemahiran berkomunikasi yang baik, hormat dan tidak kedekut senyum.Katanya, peniaga juga perlu sentiasa mesra ketika melayani kehendak pelanggan walaupun baru pertama kali bertemu kerana ia akan membuatkan pelanggan berasa selesa dan berminat mendapatkan perkhidmatan ditawarkan.Paling penting, katanya, peniaga perlu sentiasa meminta maaf kepada pelanggan jika terlambat, tersilap, kehabisan barang atau perkhidmatan kurang memuaskan supaya pelanggan ‘sejuk hati’ dan sedia bertolak ansur dengan peniaga.“Modal pula bukan faktor utama untuk berjaya dalam perniagaan kerana modal ada di mana-mana dan ia terpulang kepada kebijaksanaan dan keinginan individu mendapatkannya,” katanya ketika menyampaikan ceramah dalam segmen Bicara Tokoh - Rahsia Perniagaan Orang Cina sempena Gerak Usahawan peringkat Majlis Pembangunan Usahawan Daerah (MPUD) Parlimen Tanjung Karang, baru-baru ini.Wan Seng memeluk Islam kira-kira 12 tahun lalu dengan mendaftarkan Ann Abdullah sebagai nama Islam, tetapi selesa dikenali dengan nama Cina hingga kini. Beliau berkata, Allah SWT membekalkan sumber rezeki di sepanjang jalan seperti botol kosong yang boleh dijual bagi mendapatkan modal memulakan perniagaan dan batu di tepi jalan juga boleh mendatangkan hasil jika dikumpul dan dibuat jalan tar.

Katanya, begitu juga dengan minat orang ramai ketika ini yang mengumpul batu kristal dan batu berbentuk ganjil yang dijual di pasaran hingga sanggup mengeluarkan wang banyak untuk itu. Namun, batu itu diperoleh peniaga dari gua atau kawasan strategik secara percuma dan diproses bagi menonjolkan keindahannya. Beliau menegaskan kemahiran yang dipelajari secara teori iaitu melalui bahan bacaan serta tunjuk ajar semata-mata tidak akan membantu peniaga mencapai kejayaan sebaliknya kemahiran terbaik hanya diperoleh apabila teori itu dipraktikkan.

“Kemahiran akan bertambah jika seseorang peniaga pernah gagal kerana ia akan membantunya memperbaiki kesilapan dan 99 peratus ahli perniagaan yang berjaya ketika ini pernah gagal hingga ada yang hampir muflis. “Risiko dalam perniagaan sering ditakuti peniaga, tetapi mereka sebenarnya tidak patut takutkan risiko kerana ia amat membantu dalam perniagaan. Masyarakat Cina berani mengambil risiko dalam perniagaan dan bagi mereka, lebih banyak risiko bermaksud lebih banyak keuntungan akan diperoleh, tetapi kena bijak, ada perancangan serta sentiasa ingin maju,” katanya. Wan Seng berkata, bersaing secara sihat adalah faktor kejayaan dalam perniagaan, tetapi kebanyakan masyarakat lain gemar bersaing secara ‘kotor’ dan dengki melihat orang lain maju serta cuba menjatuhkannya hingga sanggup menggunakan ilmu hitam. Katanya, jika seorang sudah membuka gerai pisang goreng, keesokannya akan ada sebuah lagi gerai menjual pisang goreng di sebelah hingga wujud beberapa gerai menjual makanan sama selepas itu dan sikap ini perlu dikikis kerana ia mengehadkan pemasaran serta jualan. “Sepatutnya jika sudah ada gerai pisang goreng, peniaga kedua perlu menjual kuih lain dan gerai seterusnya menjual mi supaya kawasan itu menjadi tumpuan pelanggan kerana mereka ada banyak pilihan dan pada masa sama, pendapatan serta keuntungan akan diperoleh setiap peniaga di situ. “Berbeza dengan masyarakat Cina yang akan berusaha mencari bentuk perniagaan berlainan apabila ingin membuka premis di kawasan sama dengan peniaga lain,” katanya sambil memberi contoh apabila sebuah kedai di kawasan deretan bengkel Cina menawarkan perkhidmatan membaiki enjin, kedai sebelah membaiki pendingin hawa, kedai ketiga memasang tayar dan kedai seterusnya, membuat pendawaian.

Beliau seterusnya berkata, masyarakat lain perlu mempunyai sikap tolong-menolong jika kedai di sebelah tidak mempunyai barang yang diperlukan pelanggan ketika itu kerana ia sebenarnya membantu memajukan bangsa mereka sendiri serta merapatkan perhubungan. Masalah lain yang menyebabkan pelanggan tidak lagi pergi ke sesebuah premis ialah sikap peniaga itu sendiri yang tidak menyimpan wang tukaran jika pelanggan membayar dengan wang besar.

Bukan saja di kedai Cina, malah kedai mamak adalah contoh terbaik kedai yang akan menyediakan tukaran wang secukupnya dan tidak merungut jika pelanggan membayar menggunakan wang besar untuk jumlah barang yang sedikit. Amalan sedemikian perlu kerana ia akan mewujudkan keyakinan dan keselesaan pelanggan kepada kedai dan menambahkan bilangan pelanggan. Apa yang sering berlaku ialah peniaga membelanjakan keuntungan hari itu untuk membeli barang keperluan harian sehingga tidak mempunyai wang tukaran keesokannya.

Bagi peniaga Cina, mereka bijak menguruskan wang dengan membuat kira-kira keuntungan setiap hari dan menyediakan wang tukar secukupnya untuk berniaga keesokan harinya. Peniaga juga mesti rajin berniaga dan tidak ambil kisah jika tidak mempunyai masa yang banyak untuk rehat. Selain itu, katanya, setiap individu yang menceburi bidang perniagaan perlu mengikis sikap malu kerana jika keterlaluan, ia bukan saja gagal melariskan jualan, malah perniagaan mereka tidak akan maju. Graduan Universiti Malaya yang memeluk agama Islam pada 1996 ketika berusia 28 tahun itu berkata, beliau kini giat mengadakan ceramah motivasi terutama mengenai bidang perniagaan. “Sesetengah peniaga kurang menyedari kesilapan mereka dalam perniagaan. Mereka hanya tahu menyalahkan pihak lain tanpa menuding jari kepada diri sendiri jika gagal dalam perniagaan,” katanya. Beliau berharap ceramah motivasi dan buku yang diterbitkannya dapat membantu peniaga terutama masyarakat Islam mencapai kejayaan dalam perniagaan ke arah meningkatkan ekonomi diri dan keluarga, seterusnya memartabatkan bangsa.

Bila Jenama Menjadi Ukuran


Kiri kanan kita pusing, pasti ada saja barangan berjenama berharga mahal yang menemui pandangan kita. Dan yang menjadi trend sekarang adalah kelihatan lebih ramai anak muda yang membawa beg dan memakai pakaian yang dianggap berjenama tinggi. Adakah ini mencerminkan bertambahnya kemewahan masyarakat Singapura, atau sekadar nilai-nilai diri yang lebih materialistik?

Saya rasa rata-rata ia adalah untuk memuaskan diri sendiri kerana barangan yang berjenama itu dianggap lebih bermutu atau lebih terkenal dari segi imejnya.

Sekali imbas, senarai hasrat yang tertera di diari-diari maya di internet, ramai anak muda yang menyenaraikan beg, sepatu dan aksesori berjenama tinggi sebagai pilihan atau hasrat utama mereka. Dari segi penjualan pula, melalui khidmat rangkaian sosial seperti Multiply dan Friendster, ada yang menawarkan barangan berjenama dengan harga yang lebih murah, untuk memenuhi permintaan daripada para pembeli muda ini. Tinjauan Maaf Cakap ke atas beberapa diari maya tersebut menunjukkan, bahawa kebanyakan para penulisnya masih dalam lingkungan usia awal hingga lewat 20-an tahun. Malah, ada yang baru mula bekerja, merasakan gaji buat kali pertama. Ada pula masih bersekolah dan mengharapkan biaya daripada ibu bapa mereka. Timbul pula persoalan, adakah barangan berjenama ini satu keperluan? Atau dianggap sebagai simbol kedudukan atau status? Apa kurangnya dengan barangan harga biasa?

sedikit sebanyak ia menunjukkan status seseorang itu. jika kita dilihat membawa beg berjenama bernilai ratusan atau ribuan dolar, mungkin orang akan ingat kita ada wang tapi pada hakikatnya kita tidak, ia datangnya dari sumber lain, mungkin ibu bapa yang membelikan barangan itu. pada masa yang sama juga barang berjenama itu tidak meningkatkan status kita di mata masyarakat kalau perangai kita sendiri yang kurang elok dipandang orang, tak kira banyak mana barang berjenama yang kita bawa bersama pun, ia tidak akan menunjukkan yang kita orang yang berstatus tinggi atau lebih gah dari orang lain.

Dalam satu tinjauan terbaru oleh Citigroup Asia Pacific, kira-kira setengah warga Singapura dilaporkan menjimat sebahagian gaji mereka, namun kurang berdisiplin apabila menentukan dan mengikut bajet yang ditetapkan. Kebanyakan golongan ini terdiri daripada mereka yang berusia antara 18 dengan 29 tahun. Dan memandangkan taraf hidup di Singapura yang kian mewah, boleh dikatakan ramai di antara kita yang inginkan barangan yang mencerminkan kemewahan itu. Namun, adakah ini sekadar inginkan sesuatu serupa dengan yang dimiliki oleh teman-teman lain? Mungkinkah ini sebab mereka kurang berjimat?

Menurut Mardiana Mohd Noor, berusia 23 tahun. "pada pendapat saya, mereka lebih cenderung membeli apa yang mereka nampak kerana mereka baru memulakan kerjaya dan mendapat gaji. jadi because of that mereka ingat ada income yang tetap jadi diorang beli tanpa fikirkan. mungkin disebabkan pergaulan mereka, jadi bila mereka lihat kawan-kawan mereka ada, selalunya bila benda tu branded, mereka akan kata lawa. pada mereka lawa tu datangnya dengan jenamanya sekali. jadi bila nampak kawan mereka ada, mereka akan cari barang yang sedemikian. pada saya ia sesuatu yang kurang matang kerana benda yang murah mungkin ada fungsi yang sama dengan yang berjenama tu" .

Kata orang, pendapatan keluarga pada hari ini lebih besar berbanding dengan zaman nenek moyang kita, dan ibu bapa mampu membelikan barangan yang berjenama untuk anak-anak mereka. Hmm, tapi tidakkah ini menjejas nilai-nilai diri yang dipupuk dalam naluri si anak kecil atau menimbulkan imej diri yang berlainan dari yang sebenarnya?

Kembali Nurul Jannah Md Ridzwan - beliau berkata
"saya rasa sebagai ibu bapa, mereka tidak seharusnya tunduk kepada permintaan anak-anak mereka kerana kita memberi mereka isyarat yang salah. jika kita memberi mereka barangan berjenama sejak usia yang begitu muda sekali, mereka akan tidak mahu settle for second best. kerana mereka tahu mereka mampu yang mahal saja. S: adakah ini menyemai cara pemikiran yang lebih sombong? kemungkinan mereka kan bersikap demikian kerana mereka merasa diri mereka itu begitu cool, dan status mereka tinggi dengan memiliki barang-barang ini. sikap mereka juga mungkin berubah dengan menjadi orang yang lebih megah diri dan sombong kerana mereka rasa mereka telah mempunyai apa yang hanya dapat diimpikan orang lain, dan tidak dapat memilikinya. sedikit sebanyak mereka akan menjadi materialistik."

Bagi Mardiana Mohd Noor, berusia 23 tahun, sikap terlalu mementingkan diri inilah yang mungkin menjejas pembangunan moral dan sosial seseorang itu, jika matlamat mereka membeli barangan berjenama yang mahal adalah sekadar untuk menunjuk-nunjuk.

pasal kalau kita nak class pasal mahal, itu setakat untuk menunjuk-nunjuk aje jadi saya rasa itu betul-betul tak perlu lah. jadi kalau benda tu sama, saya lebih suka beli benda yang 20 dolar kerana kalau kita bawak kat luar pun, orang tak tau unless kalau kita show off lah tu macam kita betul-betul bangga kerana beli barang berjenama

Ukur baju di badan sendiri. Banyak kali sudah kita dengar nasihat itu dari orang tua-tua. Namun sejauh manakah kita patuhi nasihat ini? Adakah barangan berjenama itu satu-satunya kayu pengukur kemajuan dan kemewahan? Perlukah kita terasa kesusahan kewangan yang amat sangar sebelum menyedari bahawa kita perlu lebih berwaspada berbelanja?

Bila Teknologi kuasai Kita ?

kalau satu hari pun saya tak gunakan teknologi biarpun internet atau telefon bimbit saya rasa amat janggal lah. saya sanggup datang balik rumah untuk ambil balik telefon sebelum keluar balik

Bagi Nor Malissa Saukrat Ali, guru pelatih berusia 24 tahun.
"Satu scenario yang boleh ramai di antara kita fahami. Tetapi begitulah saudara, kehidupan seharian kita kini dimonopoli oleh penggunaan teknologi. Dan ini bukan saja terhad kepada golongan muda saja, tetapi juga yang lebih matang. Adakah kita sudah ketagihan teknologi, sehingga kita tidak lagi hiraukan hubungan kemanusiaan? "

Di mana-mana saja anda pergi, pasti ada saja bunyi telefon bimbit yang berdering atau televisyen di dalam bas, menyatakan dengan kuat sekali maklumat yang mungkin tidak kita perlukan. Tetapi begitulah saudara, boleh dikatakan kehidupan bukan saja di Singapura malah di merata dunia, di mana teknologi telah mencakup segala aspek kehidupan seharian.

Dalam bukunya Virtual Addiction hampir 10 tahun lalu, Dr Dave Greenfield, yang mengendalikan Pusat bagi Kelakuan Internet di Amerika Syarikat berkata 1 hingga 10 peratus penduduk negara itu menggunakan teknologi dalam cara yang memberi kesan negatif terhadap kehidupan, hubungan, kesihatan dan pekerjaan mereka.

Dengan Malaysia yang kini ingin menjadi negara yang ‘wired’ atau dalam talian, kian ramai yang ke sana sini dengan telefon bimbit dan komputer riba, agar tidak ketinggalan dalam mengejar maklumat. Tapi adakah kita tidak lagi meraih kenikmatan dari hubungan sesama manusia kerana kita asyik menekan butang menghantar sms atau membeli-belah secara online?

kerana saya tidak berapa berminat dalam membuat aktiviti lain, sebab tu lah saya berada di internet. saya boleh menceburi aktiviti lain atau hobi lain seperti shopping atau membaca buku tetapi sya sendiri yang membuat pilihan untuk berada di internet untuk menggunakan msn untuk berbual dengan rakan saya. pada saya itulah aktiviti lebih saya suka

Di Amerika, satu gerakan yang dikenali sebagai ‘Unplugged Day’ atau sehari tanpa menggunakan gadget teknologi seperti telefon bimbit, komputer malah televisyen, bakal diadakan bulan depan demi mengurangkan apa yang disifatkan sebagai ketagihan manusia terhadap teknologi. Maaf cakap saudara, kalau dah biasa dengan sms dan emel, bolehkah kita ni tak gunakan teknologi walaupun untuk sehari? Nor Malissa Saukrat Ali

boleh tu boleh tapi saya rasa akan amat janggal kerana saya tidak dapat berkomunikasi dengan orang lain, terpaksa berbual dengan orang yang ada dalm rumah saya saja dan mungkin ada hari yang saya sorang di rumah. dengan ada internetlah saya boleh mengeratkan relationship

Namun, adakah nilai terhadap hubungan kekeluargaan, atau bersama teman-teman kian terhakis kerana kita lebih sering menggunakan teknologi sebagai pengantara? Nasri Najib, jurutera sofwe berusia 26 tahun.

apabila tak ada telefon bimbit dan emel tu, rasanya bebas takda orang boleh contact awak. kalau ada tu semua, awak nak rehat, nak holiday, kan diganggu. bila saya pergi ke amerika selama tiga bulan, saya work adn tarvel, saya bawa tapi tak beli sim cardnya sebab saya rasa tidak perlu. kalau keluarga tahu, kawan tahu saya selamat dah cukuplah. kalau perlu, emel saja dalam masa tiga bulan tu rasanya bebas!

Yelah, kalau tak ada teknologi ke manalah kita ni? Tapi dengan ’ketagihan’ yang dikatakan melanda manusia hari ini, adakah teknologi satu hari nanti akan mengambil alih interaksi bersemuka? Kembali Nasri Najib, jurutera sofwe berusia 26 tahun.

nasib baik bukan semua keluarga saya tahu gunakan teknologi jadi perbincangan masih banyak face to face. kawan pun kuranglah mutunya, kerana bila saya msn dengan kawan kalau compare dengan bertemu mereka untuk lunch, bertemu mereka lebih tinggi internet messaging kerana ada banyak bonding dan awak banyak focus lagi tu kita dapat lihat diorang punya expression. teknologi takkan gantikan hubungan manusia kerana tak ada human touch atau personal touch.

Saudara, memang teknologi memainkan peranan besar dalam kemajuan kita sebagai sebuah masyarakat. Tetapi tidakkah kita sendiri harus mempunyai kuasa untuk memnetukan yang kita tidak dikawal seluruhnya oleh kemajuan ini?