Sunday, October 12, 2008
Raya ke 5 ..
Himpunan Keluarga 2 Syawal
Setiap 2 tahun sekali mulai tahun ini, himpunan keluarga akan dilaksanakan. Perkara ini telah diputuskan pada 2 syawal lalu dan dimaklumkan oleh Ayahanda Dato' Dr.Tengku Mahmud pada ucapan beliau. Himpunan 1429H kali kali berjaya kerana telah dihadiri oleh lebih kurang 380 ahli keluarga. Himpuan bermula jam 9.30am pada pagi 2 syawal bertempat di Suria Merang Resort begitu meriah dan padat dengan pelbagai acara.
Wednesday, October 8, 2008
Beraya dirumah YAB MB Terengganu.
Orang ramai tidak mahu ketinggalan bersalaman dengan Menteri Besar dan isteri pada rumah terbuka Aidilfitri pada 1 Syawal di Kediaman Seri Iman.
Pada hari raya pertama, Menteri Besar, Dato’ Ahmad mengiringi Yang Teramat Mulia, Yang Dipertua Majlis Penasihat Pemangku Raja (MPPR), Tengku Sri Penglima Raja, Tengku Baderulzaman menunaikan solat sunat sunat Aidilfitri bersama rakyat jelata di Masjid Abidin (Masjid Putih), di Kuala Terengganu.
Lebih 10,000 hadir pada rumah terbuka Menteri Besar di Kediaman Seri Iman, Batu Buruk.
Pada hari kedua, Dato’ Ahmad bersama isteri meluangkan masa menghadiri perjumpaan dengan lebih 1,000 perantau anak Terengganu yang pulang berhari raya, bertempat di Primula Beach Resort, Kuala Terengganu.
Tidak mengira bangsa dan kira kaum turut menyerikan rumah terbuka Aidilfitri Menteri Besar di Kemaman.
YAB Dato’ Ahmad juga dijangka menghadiri perjumpaan dan majlis hari raya pegawai dan kakitangan kerajaan di Wisma Darul Iman pada 8 Syawal nanti.
Dato' Ahmad Said membakar sendiri sate untuk tetamu.
Turut mengadakan rumah terbuka aidilfitri ialah Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan, Ahli-Ahli Parlimen dan Ahli-Ahli Dewan Undangan Negeri di kawasan masing-masing dengan mendapat sambutan luar biasa dari segi kunjungan rakyat.
Sesungguhnya kepimpinan negeri kini yang berteraskan keutamaan untuk rakyat kini menjadi terlalu dekat di hati rakyat.
Selamat Tinggal Paklah
[DIKEMAS KINI] KUALA LUMPUR: Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi mengesahkan tidak akan mempertahankan kerusi Presiden Umno Mac depan, sekali gus dijangka membuka luas gelanggang persaingan pemilihan parti kali ini.
Abdullah akan melepaskan kedua-dua jawatan Perdana Menteri dan Presiden Umno pada Mac depan.
Dengan keputusan Abdullah, Datuk Seri Mohd. Najib Tun Razak sudah pasti akan dicalonkan merebut jawatan Presiden.
Malam tadi, bekas Naib Presiden Umno dan Ketua Umno Bahagian Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah memberitahu wartawan di Kuantan bahawa beliau bersedia untuk bertanding jawatan Presiden jika dicalonkan.
Persidangan perwakilan bahagian Umno bermula esok dan akan membuat pencalonan untuk jawatan-jawatan induk parti.
Pendirian Abdullah itu selari dengan pelan peralihan kuasa antara beliau dengan timbalannya.
Abdullah membuat pengumuman itu selepas mempengerusikan mesyuarat Dewan Tertinggi Barisan Nasional (BN) di Menara Dato' Onn petang tadi.
Dalam pada itu, Naib Presiden Umno Tan Sri Muhyiddin Yassin pula akan membuat pengumuman lusa sama ada bertanding jawatan Timbalan Presiden.
Sebelum ini, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi dan Naib Presiden Datuk Seri Ali Rustam yang juga Ketua Menteri Melaka sudah mengumumkan hasrat bertanding jawatan Timbalan Presiden.
Juga termasuk dalam senarai mereka yang berminat ialah Ketua Umno Pulai, Datuk Nur Jazlan Mohamed.
Bekas Naib Presiden Tan Sri Muhammad Muhd. Taib akan mengadakan sidang akhbar esok untuk menyatakan pendirian beliau manakala seorang lagi bekas Naib Presiden, Tan Sri Mohamad Isa Abdul Samad mahu melihat keadaan sebelum menyatakan pendiriannya.
Abdullah mengetuai Umno sejak Oktobet 2003 selepas Tun Dr. Mahathir Mohamad melepaskan jawatan Perdana Menteri.
Beliau, Presiden Umno yang keenam menang tanpa dicabar pada pemilihan 2004.
Abdullah merupakan Perdana Menteri kelima Malaysia.
Ketika membacakan teks kenyataan pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat BN, Abdullah berkata:
"Sepanjang tempoh perkhidmatan saya, saya sentiasa mengutamakan kepentingan negara dan rakyat.
"Oleh itu, saya tidak akan mempertahankan jawatan Presiden Umno dalam Perhimpunan Agung yang akan datang. Saya tidak mahu melihat Umno dan Barisan Nasional berpecah belah.
"Umno dan Barisan Nasional perlu bersatu dan kukuh bagi menangani cabaran-cabaran global, agar kita berjaya menjadi sebuah negara yang maju – sebuah negara yang menjamin kesejahteraan dan keadilan untuk semua."Jelas Abdullah, beliau mempunyai beberapa inisiatif yang perlu dilaksanakan sebelum berundur Mac depan.Terdahulu, Menara Dato' Onn yang menempatkan Ibu Pejabat Umno menjadi tumpuan dengan kawasan pekarangan premis itu sudah sesak dengan orang ramai yang menanti pendirian Abdullah.Mesyuarat Dewan Tertinggi BN bermula pukul 3.45 petang dan berlangsung lebih sejam.Penyokong-penyokong Abdullah berkumpul di pekarangan Menara Dato' Onn dengan membawa sepanduk tertera mesej "Hormati Peralihan Kuasa, Elakkan Perpecahan Lagi" sambil melaungkan "Hidup Pak Lah".Najib tiba pukul 3.25 petang.Abdullah tiba 10 minit kemudian untuk mempengerusikan mesyuarat Dewan Tertinggi BN, yang disusuli dengan laungan "Hidup Pak Lah" dan "Pak Lah Presiden, Najib Timbalan".
















