Thursday, August 7, 2008

Satu lagi sejarah - 6hb Ogos 2008 ...

Saat-saat Datuk Seri Anwar Ibrahim muncul di Mahkamah Sesyen Jenayah 1 bagi menghadapi tuduhan seks luar tabii bekas pembantu peribadinya, Mohamad Saiful Anwar pada Jun lepas. Turut serta adalah isterinya, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail.

Wednesday, August 6, 2008

Pejabat menarik rangsang kreativiti pekerja

INDUSTRI komunikasi dan pengiklanan mempunyai misi tersendiri untuk melahirkan individu-individu berfikiran jauh serta berkemampuan mencetuskan idea di luar kotak pemikiran.

Elemen itu penting dalam menyebarkan mesej-mesej kesedaran menyentuh soal kemanusiaan dan nilai-nilai murni yang dapat diselami masyarakat umum menerusi media cetak serta elektronik termasuk televisyen, radio serta internet dengan berkesan.

Malah, kebanyakan agensi pengiklanan cenderung memilih kelompok anak-anak muda yang bersemangat tinggi (selain berbakat besar) bagi memecahkan corak pemikiran lapuk sekali gus mampu menonjolkan kreativiti `berhaluan kiri’ bagi memastikan kehendak klien dipenuhi menerusi idea-idea bernas, unik dan asli.

Sebahagian besar pula mengambil langkah menyediakan persekitaran kondusif di pejabat dengan mencari pakar pereka hiasan dalaman agar pasukan kreatif masing-masing dapat berfungsi jauh lebih baik dan berkesan dalam suasana kerja yang mampu merangsang daya pemikiran kreatif serta berinovatif.

Menurut Timbalan Pengerusi McCann Worldgroup (McCann), Lee Szu Hung, pihaknya mahu memberikan ruang kreatif yang tidak terbatas untuk pereka grafiknya agar mereka bebas berkarya dalam suasana selesa seperti di rumah.

Ini kerana, sebagai kumpulan syarikat pemasaran jenama dan komunikasi global terkemuka, McCann berpegang teguh pada prinsip Truth Well Told atau kebenaran yang disampaikan dengan jelas dengan perspektif segar.

Katanya, konsep itu diperkenalkan sejak lebih 100 tahun lalu oleh pengasas McCann dan kini tenaga kreatif di sebalik kejayaan kumpulan pengiklanan cuba menghidupkannya semula kerana falsafah itu perlu diserapkan dalam menyampaikan kebenaran mengenai produk klien dengan tarikan baru.

“Kita mahu mengembangkan organisasi yang menghargai bakat muda tempatan yang sentiasa mencari kebenaran menerusi persektif baru untuk mempamerkan hasil kerja mereka.

“Falsafah kebenaran yang disampaikan dengan jelas atau betul itu menjadi sumber ilham kepada mereka untuk membuat kajian tentang produk klien melalui nilai maklumat yang dikumpulkan menerusi pemahaman sifat manusia dan kebijaksanaan menyelidik,'' katanya pada majlis rumah terbuka McCann Worldgroup, baru- baru ini.

Sementara itu, Pengarah Kreatif Eksekutif McCann, Hwang Ean Hwa pula menjelaskan, di samping membantu golongan muda yang berbakat dalam bidang seni pihaknya juga mahu mewujudkan suasana yang mampu merangsang minda pasukan kreatifnya agar kakitangan syarikat itu berasa selesa seperti bekerja di rumah sendiri.

Jelas beliau, sesiapa sahaja pasti bersemangat dan tidak mempunyai masalah untuk melahirkan idea-idea bernas apabila dikelilingi pelbagai hasil seni yang unik.

“McCann mempunyai kumpulan anak-anak muda yang bersemangat tinggi oleh itu kami cuba menampilkan hiasan dalaman yang sederhana malah dinding dan lantai juga tidak ‘dirosakkan’ dengan warna-warna terang kerana mahu mengekalkan suasana tenang kerana kakitangan mencetus keseronokan, bukanlah pejabat yang berwarna-warni.

“Oleh itu, hasil lukisan yang tergantung pada dinding dan barang-barang antik diperoleh daripada rakan-rakan kami sendiri. Ia diharap dapat memberikan inspirasi kepada kakitangan seolah-olah berada hampir di padang permainan.

“Tujuannya adalah supaya kakitangan kami boleh bekerja dan bermain dengan bersungguh-sungguh kerana pejabat ini bagaikan rumah buat kami semua untuk mereka cipta idea-idea menarik untuk klien dan kepuasan kami sendiri juga,'' ujarnya sambil tersenyum.

Tambah Ean Hwa, ciri-ciri ruang letak pejabat berkenaan juga mengikut konsep terbuka untuk membuka minda pasukan kreatif McCann agar lebih telus, jujur dan memahami manusia menerusi pemerhatian serta komunikasi.

Baju bundle masih cantik dan bergaya


Baju hijau daripada baldu lembut dipadankan bersama seluar hijau corak jalur.


TUGASAN ke sebuah kedai bundle baru-baru ini membuat saya terfikir untuk membuat fesyen bundle kerana walaupun baju-baju yang ada di situ baju lama namun masih terdapat yang cantik.

Bagaimanapun hati berasa was-was kerana mahukah peragawati memakai baju terpakai. Bagi menyedapkan hati, saya beranggapan sebagai seorang peragawati profesional, dia mesti sanggup dan bersedia memakai pakaian yang disediakan.

Ketika sesi fotografi, sehelai demi sehelai baju dipakai oleh peragawati Mazniwati Hashim, saya masih belum memberitahunya mengenai baju tersebut sehinggalah dia bertanya baju-baju tersebut diperoleh dari mana kerana nampak cantik.

Dia agak terkejut apabila diberitahu perkara sebenar kerana dia tidak menyangka baju tersebut adalah baju bundle.

Sebenarnya baju bundle bukan lagi asing kepada masyarakat negara ini. Kedai bundle terdapat di merata-rata tempat di seluruh negara. Peminat-peminat baju bundle terdiri daripada pelbagai golongan, terutama di kalangan mereka yang gemar bergaya.

Di Kuala Lumpur, sememangnya tidak susah hendak mencari kedai bundle kerana anda boleh menemuinya di Jalan Chow Kit, Jalan Raja Laut, Uptown, Gombak, Bukit Bintang atau pasar-pasar malam.Kini baju bundle’bukan sahaja diminati oleh lelaki, malah ramai wanita yang ke kedai bundle mencari baju yang diimport dari Eropah, Jepun, Amerika Syarikat, Hong Kong dan sebagainya.

Selain baju lelaki dan wanita, di kedai bundle juga anda boleh menemui baju kanak-kanak, topi, jeans, kasut, beg tangan, langsir dan cadar.Harga baju yang murah di kedai ‘bundle’ membuatkan ramai yang kini tidak kisah lagi memakai baju terpakai. Tiada salahnya jika anda boleh menjimatkan wang bagi membeli pakaian.

Inovasi pemprosesan nangka


Nangka yang sampai di tempat pengumpulan akan dikupas dan diambil ulasnya sebelum dibungkus.


RAMAI yang gemar memakan nangka tetapi masalah buahnya yang besar dan kulitnya yang tebal ditambah dengan getahnya yang melekit, kadang kala merencatkan selera penggemar buah tersebut untuk menikmatinya.

Dengan gaya hidup yang ringkas dan pantas, tidak ramai yang akan menghabiskan masa hanya untuk mengupas dan membersihkan buah nangka.

Biasanya perubahan mutu akan berlaku melibatkan warna, bau dan tekstur jika nangka yang telah dibuka tidak disimpan dengan betul.

Ini kerana proses metabolisme masih berlaku pada ulas nangka yang menyebabkan perubahan pada bau, warna dan zat makanan.Pengawalan kadar metabolisme amat penting bagi mengekalkan mutu ulas-ulas nangka semasa penyimpanan.

Justeru Pengawai Penyelidik Prinsipal Kanan, Pusat Penyelidikan Hortikultur, Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI), Latifah Mohd. Nor menjalankan kajian bagi penjualan nangka dalam bentuk ulas yang sedia dimakan.“Kaedah pemprosesan minimum membolehkan kita menikmati nangka dengan mudah tanpa menjejaskan mutu, kesegaran dan paling penting tanpa getahnya.“Kaedah ini akan memudahkan kedua-dua pihak iaitu pembeli dan penjual nangka mengendalikan buah tersebut,” katanya semasa ditemui, baru-baru ini.

Menerusi kaedah pemprosesan minimum, nangka terbaik akan dipilih daripada ladang-ladang seluruh negara.Latifah berkata, buah nangka yang telah matang secara komersial iaitu 70 peratus dituai kerana nangka merupakan buah ‘climatic’ yang masih menjalani proses hidup yang berterusan semasa dibungkus.Buah nangka yang sampai dari ladang ke kilang akan dibersihkan dan dibasuh dengan merendamnya dalam cecair klorin sebanyak 100 bahagian per sejuta (ppm) selama 10 minit bagi membuang segala mikrob yang ada.Selepas itu, gas dimasukkan ke dalam peti sejuk pada suhu 10 darjah Celsius (C) bagi mengurangkan getahnya.“Kemudian buah nangka tadi akan dibelah dan diasingkan ulas-ulas daripada kulit serta jerami.

“Ulas-ulas yang telah diasingkan kemudian dibungkus menggunakan bekas plastik propilena yang boleh dibeli di kedai menjual barangan plastik,” katanya.Bekas propilena digunakan bagi memudahkannya disusun secara bertingkat dan dapat menjimatkan ruang.

Selain bekas propilena, dulang polisterin boleh digunakan dan dibalut dengan filem regang polivinal klorida (PVC).Masalahnya, kata Latifah, dulang polisterin tidak boleh disusun secara bertingkat kerana akan menyebabkan kecederaan kepada ulas nangka.Selain itu, kehilangan berat dan bau boleh berlaku bagi ulas nangka yang dibungkus menggunakan filem regang kerana cirinya yang memudahkan pergerakan gas dan air.“Selepas dibungkus, ulas nangka perlu disimpan dalam kotak penebat yang dilapisi dengan thermal freeze yang berfungsi mengekalkan suhu rendah dalam kotak.

“Perubahan mutu ulas nangka yang disimpan bergantung kepada perubahan suhu thermal freeze,” katanya.Mutu akan berubah lebih cepat jika kotak penebat diletakkan pada suhu tinggi kerana thermal freeze akan cepat cair.Ulas nangka tahan disimpan selama tiga hari pada suhu bilik atau persekitaran biasa dan boleh tahan lebih lama jika disimpan pada suhu rendah misalnya seminggu pada suhu 10 darjah C dan tiga minggu pada 2 darjah C.Latifah berkata, inovasi berkenaan telah dikomersialkan dan digunakan oleh tiga buah syarikat tempatan untuk mengeksport ulas nangka keluar negara iaitu South Fruits (M) Sdn Bhd., SJ Premium Fruits Sdn. Bhd. dan sebuah syarikat milik Victor J. Francis bagi pasaran ke Dubai, Singapura, Hong Kong, Eropah dan Australia.

Malah inovasi pemprosesan nangka secara minimum ini juga berjaya memikat para juri mengondol pingat emas semasa Pameran Innovasi British (Bis2007) di Alexandra Palace di London.Inovasi ini juga merupakan pemenang Anugerah Inovasi Penyelidikan Bersama Antara Sektor Awam Dengan Sektor Swasta 2007 (AIPB 2007).

Baulu tradisional dikomersial


Noris Arizan Ahmad menyusun kuih baulu sambil dibantu oleh pekerja-pekerjanya di kilang Sungai Gadut, Seremban, semalam.


SEREMBAN 5 Ogos - Setiap kali menjelang Aidilfitri, kuih baulu pasti menjadi pilihan ramai untuk dihidangkan kepada tetamu yang berkunjung ke rumah.

Jika dahulu juadah tradisional ini hanya dapat dinikmati sekali dalam setahun, namun kini setelah dikomersialkan, ia boleh dibeli di pasar raya dan gerai-gerai setiap hari.

Malah, selain daripada perisa asli, kuih baulu juga boleh didapati dalam pelbagai perisa lain seperti pandan, cip coklat dan oren.

Dengan kaedah pembuatan yang semakin canggih, pengusaha berupaya menghasilkan kuih baulu dalam kuantiti yang besar sehingga mencecah angka 3,000 hingga 9,000 biji sehari.Noriz Enterprise merupakan salah satu pengusaha yang giat menghasilkan kuih baulu secara komersial di negeri ini sejak tahun 2005.Menurut Pengarah Noriz Enterprise, Noris Arizan Ahmad, 40, penggunaan teknologi moden telah banyak mengubah kaedah penghasilan kuih baulu pada masa kini.

Jelas beliau, penghasilan baulu melalui kaedah tradisional memerlukan banyak tenaga manusia dan masa.''Kini, syarikat saya boleh mengeluarkan sekurang-kurangnya 3,000 biji baulu sehari dengan hanya menggunakan tiga pekerja," ujarnya ketika ditemui di kilangnya di Taman Tuanku Jaafar, Sungai Gadut dekat sini hari ini.

Kata Noris, kerja-kerja mengadun, membakar serta membungkus kuih baulu dijalankan oleh tiga pekerjanya iaitu Anita Mazlan, 36; Aishah Abd. Hamid, 22 dan Mohd. Nazrul Fitri Jamal, 22.Tambah beliau, penggunaan mesin pengadun dan ketuhar banyak menyumbang kepada kecekapan operasi penghasilan baulu di kilangnya.''Contohnya, pembakaran kuih baulu secara tradisional dengan menggunakan sabut kelapa dan dapur arang memerlukan masa yang panjang.

''Namun, dengan penggunaan ketuhar, masa membakar kuih baulu dapat dipendekkan kepada lima hingga tujuh minit sahaja," jelasnya.Noris memberitahu, pada masa ini, syarikatnya menggunakan lima mesin pengadun serta lapan ketuhar yang diperoleh melalui subsidi Jabatan Pertanian negeri.Mengenai pemasaran, ujar beliau, syarikatnya mempunyai tiga kios yang beroperasi di gedung membeli-belah Jusco Seremban 2, Jalan Lobak dan Restoran Star Fresh, Jalan Seremban-Kuala Pilah di sini.''Selain jualan Negeri Sembilan, kuih baulu syarikat kami turut dipasarkan di sekitar Kuala Lumpur, Selangor dan Putra Jaya," katanya.Ujar Noris, syarikatnya turut membekalkan kuih baulu khusus untuk majlis rasmi kerajaan dan swasta serta majlis perkahwinan.

Beliau menambah, antara jenis kuih baulu yang dihasilkan syarikatnya termasuk baulu asli, baulu berperisa vanila, strawberi, oren, pandan, kopi, kapucino serta baulu glamor yang dihias dengan kismis, cip coklat dan biji gajus.Katanya, selain itu, Noriz Enterprise juga menghasilkan baulu ikan, baulu cermai, baulu kemboja, baulu pelangi, baulu perhiasan dan baulu cenderahati.''Keistimewaan kuih baulu keluaran kami terletak pada kandungan gula yang rendah serta tiada bahan pengawet digunakan," ujar Noris.Jelasnya, pemborong atau pelanggan yang ingin membuat tempahan dalam jumlah yang besar boleh datang terus ke kilangnya yang terletak di No. 33, Jalan TTJ S/B, Taman Tuanku Ja'afar, Sungai Gadut di sini bermula dari pukul 9 pagi hingga 6 petang.Di samping itu, beliau juga boleh dihubungi melalui talian 06-6794273 atau 012-6080036 serta melalui e-mel di norizenterprise@gmail.com.

Mewujudkan Melayu minda kelas pertama


MEMPEROLEH peluang belajar di kota London - kota yang dikatakan mempunyai penduduk fikiran kelas pertama - sememangnya merupakan satu peluang keemasan yang dinanti-nantikan. Apabila mula bergaul dengan penduduk setempat, kesempatan pertama yang diambil ialah memerhatikan cara hidup masyarakat London yang begitu dikagumi oleh seluruh pelosok dunia termasuk dari Malaysia.Apakah rahsia mereka? Adakah disebabkan budaya mereka yang suka berparti di pub-pub semasa hujung minggu? Atau aktiviti bertukar-tukar pasangan yang menjadi sebahagian budaya hidup mereka?Daripada pemerhatian penulis, apa yang menyebabkan masyarakat di sini begitu pesat membangun adalah budaya membaca yang sudah tertanam di dalam diri mereka.

Mereka membaca pelbagai jenis bacaan, daripada bahan bacaan picisan yang dijual di tepi-tepi jalan kepada bahan bacaan intelektual yang tinggi. Budaya inilah yang menyebabkan penduduk di kota London khasnya dan penduduk England amnya maju dengan begitu pantas.

PemikiranIlmu berkembang begitu pantas dan pemikiran mereka adalah begitu tajam dan kritis disebabkan oleh sikap mereka yang cintakan membaca. Ini amat jauh dari budaya masyarakat Melayu yang lebih suka melepak di surau-surau, di kedai kopi dan kompleks membeli belah.

Amalan ini seolah-olah merupakan satu budaya yang sudah sebati dengan bangsa Melayu, tidak kira umur, daripada tok lebai yang sering ke masjid, ibu-ibu yang tidak bekerja kepada anak anak remaja yang membuang masa di kompleks membeli belah. Justeru, penulis tidak hairan mengapa kita begitu lambat untuk membangun.Pengalaman yang penulis tidak dapat lupakan adalah apabila melihat penganggur di kota London meminta sedekah sambil membaca buku. Penulis begitu mengagumi sikap mereka. Mereka mengetahui bahawa dengan ilmulah, nasib mereka dapat diubah.

Maka tidak hairanlah jika mereka sering dikaitkan sebagai golongan yang mencipta, dan masyarakat timur hanya dikaitkan dengan golongan yang hanya mampu mengubah atau mengubahsuai bahan yang dicipta dari timur.Sekali lagi penulis ingin menekankan agar masyarakat Melayu mengubah sikap mereka kepada budaya membaca. Ingatlah, apabila kita membuang masa berborak di kedai-kedai kopi dan di kompleks membeli belah, masyarakat lain sedang sibuk untuk menuntut ilmu, mengembang idea dan menggembleng tenaga untuk mengubah nasib mereka. Jika dibiarkan, kita akan jauh ketinggalan. Masa untuk bekerja dan kurangkan bercakap.

Tuesday, August 5, 2008

Berfikiran positif asas kejayaan


Keupayaan untuk sentiasa berfikiran positif bukanlah suatu yang mudah dilakukan, tetapi jika ia dapat dilakukan akan banyak membantu terutama bagi mereka yang dilanda masalah dan cabaran hidup.Itu adalah katakata kunci Dr 'Azman' Ching Eu Boon, yang kini bergelar jutawan dan pakar motivasi.Menurut Dr Ching, berfikiran positif amat penting kerana sifat itu adalah asas untuk seseorang itu berjaya dalam bidang yang diceburi.Beliau sedar, misalnya, kegawatan ekonomi negara sekarang telah memberi impak yang besar kepada ekonomi rakyat khasnya golongan yang berpendapatan rendah.

Bagaimanapun, ia bukan satu alasan untuk orang ramai terus dibelenggu dengan keluhan kekurangan wang dan kos hidup yang semakin meningkat.Dr Ching berkata, setiap kesempitan yang dihadapi perlu dilihat sebagai satu rahmat yang menguji daya kreatif seseorang itu dalam mencari penyelesaian kepada permasalahan yang dihadapi."Semua ini akhirnya tidak akan membawa apaapa kebaikan kepada kita. Kita perlu bijak mencari jalan keluar", katanya kepada Bernama di sini.

Beliau percaya dalam setiap permasalahan dan kesempitan yang dihadapi oleh seseorang individu, akan adanya kesempatan yang boleh diterokai."Apa yang penting ialah kita perlu sentiasa berfikiran positif dalam segala keadaan, sanggup membuka minda dan melihat di mana peluang-peluang ini boleh direbut," katanya.

Rahsia kejayaan

Bagi Dr Ching, 41, seorang usahawan yang kini bergelar jutawan, tidak terdapat sebarang formula rahsia untuk berjaya.Katanya, selain berfikiran positif, seseorang itu perlu memahami dan menerokai kekuatan dan kelemahan yang ada pada diri sendiri."Tetapi kita perlu tahu bagaimana kita boleh menggunakan kelebihan yang ada dan peluang yang tersedia untuk mencapai kejayaan."Adanya kelebihan diri dan adanya peluang, kalau kita sanggup berusaha sedikit, kita akan mendapat lebih banyak peluang untuk terus berjaya," katanya.

Beliau turut menekankan kepentingan "networking" dan golongan belia perlu mengambil usaha untuk memperluaskan networking mereka."Kita perlu bersikap keterbukaan dan menerima setiap persahabatan dengan positif. Ini kerana kita tidak akan tahu bilakah kita mungkin memerlukan bantuan seseorang itu pada masa akan datang."Dan melalui networking, kita mampu menerokai lebih banyak peluang untuk memajukan diri sendiri," katanya.

Dr Ching turut menasihatkan para belia supaya mengambil kesempatan ke atas perkhidmatan pinjaman kewangan dan latihan yang disediakan oleh kerajaan untuk menceburi bidang keusahawanan.

Beliau juga pernah bekerja sebagai setiausaha penganjuran pesta sebelum menceburi diri dalam bidang jualan langsung pada awal tahun 1990an sehingga berjaya mengumpul sejuta ringgit pertamanya pada usia hanya 25 tahun. Sepanjang hampir 15 tahun berkecimpung dalam bidang ini, beliau telah membantu melahirkan 50 jutawan.Beliau kemudian mempelbagaikan bakatnya dalam penulisan sebagai cubaan untuk berkongsi pengalaman dan tip kejayaan dengan audien yang lebih luas.Buku motivasi dirinya yang pertama berbahasa Malaysia diterbitkan pada tahun 1994.Kini beliau telah menerbitkan 10 buah buku dengan lebih 100,000 naskah dijual di rantau ini.Beliau kini bekerjasama dengan pihak Universiti Beijing, China untuk menterjemahkan karya beliau ke dalam Bahasa Mandarin.

Menghadapi dugaan hidup

Dr Ching dilahirkan dalam sebuah keluarga miskin di Pelabuhan Klang dan anak keempat daripada lapan adik beradik.Beliau masih ingat bagaimana semasa kecil dia terpaksa tidur beralaskan kotak kertas di kedai runcit tempat ibunya bekerja.Katanya, kesempitan hidup yang dihadapi juga telah memaksa kakak dan abangnya untuk berhenti sekolah bagi membantu mencari nafkah hidup keluarga."Pada saat itu, walaupun masih kecil, saya sedar saya amat bertuah kerana masih berpeluang bersekolah."Keadaan tersebut menjadikan saya nekad untuk berusaha memajukan diri untuk keluar daripada kesempitan hidup tersebut. Tetapi syukurlah adik-beradik saya juga sekarang telah berjaya dalam kehidupan masing-masing," katanya.

Dr Ching berkelulusan falsafah kedoktoran dalam pengajian Melayu, fasih dalam lapan bahasa selain mahir bertulisan dan berkaligrafi dalam Bahasa Jawi dan Bahasa Mandarin.

Sumbangannya dalam bidang pembangunan diri untuk golongan belia mula diiktiraf apabila menjadi seorang daripada 10 penerima anugerah "The Young Outstanding Malaysian" (TOYM) 2007.

Anugerah tahunan berprestij tersebut diberikan kepada belia terbilang yang bukan sahaja telah mencipta nama untuk diri mereka malahan berbakti dalam menyumbang kepada pembangunan fellow belia yang lain dalam pelbagai bidang misalnya pendidikan, ekonomi, sains, kesenian dan kebudayaan.

Nama Melayu

Mengenai bagaimana beliau mendapat gelaran nama "Azman", Dr Ching berkata nama itu diberikan kepadanya oleh sekumpulan pakcik Melayu yang beliau sering bergaul bersama.

"Pak cik-pak cik tersebut cakap susah nak panggil nama Cina saya, Eu Boon. Jadi seorang pakcik tu pun cakap, saya panggil kamu Azman sahaja."Sejak itu, saya mula dikenali sebagai Azman," katanya.Katanya, walaupun nama tersebut sering kali menimbulkan tanda tanya khasnya kepada orang yang baru dikenali, ia bukan satu masalah."Saya melihat nama tersebut satu keunikan yang telah memberi saya kelebihan. Saya suka katakan yang saya "A to Z Man" (lelaki serba boleh)," kata Dr Ching.