Baju bundle masih cantik dan bergaya
|
Baju hijau daripada baldu lembut dipadankan bersama seluar hijau corak jalur. |
TUGASAN ke sebuah kedai bundle baru-baru ini membuat saya terfikir untuk membuat fesyen bundle kerana walaupun baju-baju yang ada di situ baju lama namun masih terdapat yang cantik.
Bagaimanapun hati berasa was-was kerana mahukah peragawati memakai baju terpakai. Bagi menyedapkan hati, saya beranggapan sebagai seorang peragawati profesional, dia mesti sanggup dan bersedia memakai pakaian yang disediakan.
Ketika sesi fotografi, sehelai demi sehelai baju dipakai oleh peragawati Mazniwati Hashim, saya masih belum memberitahunya mengenai baju tersebut sehinggalah dia bertanya baju-baju tersebut diperoleh dari mana kerana nampak cantik.
Dia agak terkejut apabila diberitahu perkara sebenar kerana dia tidak menyangka baju tersebut adalah baju bundle.
Sebenarnya baju bundle bukan lagi asing kepada masyarakat negara ini. Kedai bundle terdapat di merata-rata tempat di seluruh negara. Peminat-peminat baju bundle terdiri daripada pelbagai golongan, terutama di kalangan mereka yang gemar bergaya.
Di Kuala Lumpur, sememangnya tidak susah hendak mencari kedai bundle kerana anda boleh menemuinya di Jalan Chow Kit, Jalan Raja Laut, Uptown, Gombak, Bukit Bintang atau pasar-pasar malam.Kini baju bundle’bukan sahaja diminati oleh lelaki, malah ramai wanita yang ke kedai bundle mencari baju yang diimport dari Eropah, Jepun, Amerika Syarikat, Hong Kong dan sebagainya.
Selain baju lelaki dan wanita, di kedai bundle juga anda boleh menemui baju kanak-kanak, topi, jeans, kasut, beg tangan, langsir dan cadar.Harga baju yang murah di kedai ‘bundle’ membuatkan ramai yang kini tidak kisah lagi memakai baju terpakai. Tiada salahnya jika anda boleh menjimatkan wang bagi membeli pakaian.
No comments:
Post a Comment