Wednesday, July 23, 2008

Island Hopping


Pulau Kerengga (dirakam dari sudut Pulau Belit) akan dijadikan taman rama-rama.
- Gambar AZLAN BAHRUM


HULU TERENGGANU 23 Julai - Tasik Kenyir yang kini lebih dikenali sebagai syurga kaki pancing akan ditambah nilai tarikannya sebagai destinasi percutian keluarga melalui perancangan kerajaan negeri untuk memperkenalkan program Island Hopping tahun depan.Island Hopping akan menjadikan Tasik Kenyir sebagai hab pelancongan di Terengganu kerana ia menyediakan program yang sesuai untuk semua golongan bagi mempopularkan dan memastikan pelancong dari dalam dan luar negara terus datang ke negeri ini.

Menteri Besar, Datuk Ahmad Said berkata, melalui program itu, 10 buah pulau kecil yang terdapat di bahagian utara Tasik Kenyir akan dibangunkan mengikut tema tertentu sebagai tarikan pengunjung.Menurutnya, pembangunan pulau-pulau itu akan dilaksanakan oleh Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (Ketengah) dan antara pembangunan yang dirancang ialah pembinaan Taman Eko-Kenyir seluas 61 hektar di Pulau Selimbar, Pulau Tekak Kecil dan Pulau Kuala Tekak."Selain itu, sebuah taman orkid seluas 2.7 hektar juga akan disediakan di Pulau Hulu Selimbar, Pulau Hilir Selimbar dan Pulau Belit manakala Taman Tropika seluas 5.5 hektar akan dibina di Pulau Tekak Besar," katanya selepas melakukan lawatan ke Tasik Kenyir baru-baru ini.

Beliau memberitahu, tarikan lain adalah pembinaan taman rama-rama seluas 1.4 hektar di Pulau Kerengga Kecil dan Pulau Kerengga serta taman burung seluas 1.7 hektar di Pulau Terengganu Mati.Menurutnya, sebuah jambatan berbentuk separuh rama-rama akan dibina untuk menghubungkan Pulau Kerengga dengan Pulau Kerengga Kecil bagi memudahkan pelancong menjelajah kawasan itu manakala laluan kanopi akan disediakan untuk pengunjung menikmati panorama Taman Tropika dari puncak pepohon.Untuk taman orkid pula jelasnya, antara jenis orkid yang akan ditanam ialah dari hibrid tempatan dan juga luar negara.

Jelasnya, program Island Hopping merupakan fasa pertama program pembangunan Tasik Kenyir dan RM50 juta diperuntukkan untuk tujuan itu tahun depan dan ia akan ditambah mengikut keperluan."Projek ini akan dimulakan dalam tempoh dua hingga tiga bulan lagi dan sebuah syarikat jururunding dilantik untuk setiap tema yang akan dibangunkan," ujarnya.

Katanya, projek berkenaan dijangka siap menjelang Ogos tahun depan dan untuk kemudahan pengunjung, kerajaan negeri telah menempah dua buah bot setiap sebuah bernilai RM700,000 sebagai pengangkutan ke pulau-pulau berkenaan.Menurutnya, kerajaan negeri juga sedang mencari kawasan yang sesuai untuk dibangunkan taman tema air di sekitar pulau-pulau berkenaan sebagai tarikan utama kepada pengunjung.Beliau memberitahu, untuk kemudahan pelancong dari Timur Tengah pula, kerajaan negeri sedang mengenal pasti air terjun yang khusus untuk golongan wanita.Ahmad percaya pembangunan Tasik Kenyir ini dengan sendirinya akan menarik pelabur untuk membuka lebih banyak resort apabila ramai pengunjung melawat tasik ini berikutan tarikan-tarikan yang disediakan.Katanya, berikutan cadangan pembangunan Tasik Kenyir ini, beberapa pelabur dari Britain, Brunei dan Timur Tengah menunjukkan minat untuk melabur di tasik itu dan pemilihan akan dibuat oleh kerajaan negeri berdasarkan kesesuaiannya.Menurutnya, Tasik Kenyir berpotensi besar menarik pengunjung dan sehingga Jun tahun ini seramai 72,000 pelancong telah mengunjungi tasik itu.

"Kita jangka dengan pembangunan tasik ini jumlah pengunjung akan meningkat sehingga empat kali ganda pada masa akan datang," ujarnya.

No comments: