Mohd Zabidi Raja Pecut Sukma XII Terengganu
Oleh : Zulkipli Putra. Atlet tuan rumah, Mohd Zabidi Ghazali, 18,dari Terengganu dinobatkan sebagai Raja Pecut Sukan Malaysia (SUKMA) ke-XII 2008 selepas memenangi pingat emas acara 100m lelaki yang diadakan di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Kompleks Sukan Negeri Gong Badak, malam tadi. (5 Jun). Mohd Zabidi mencatat masa 10.57s menewaskan juara bertahan, Mohd Latif Nyat dari Johor yang mencatat masa 10.64s untuk pingat perak. Manakala pingat gangsa dimenangi Daniel Azwan Amar Nand dari Perlis dengan catatan masa 10.82s. Ketika ditemui, Mohd Zabidi agak terkilan kerana tidak berjaya menyamai rekod kejohanan iaitu 10.33s yang masih dipegang Watson Nyambek sejak 12 tahun lalu. “Ini pingat emas untuk Terengganu. Saya rasa bangga kerana berjaya membuat kejutan kali ini walaupun agak jauh masa catatan rekod kejohanan. Apa yang penting, saya perlu berlatih lebih gigih lagi untuk terus mencapai kejayaan,” katanya ringkas. Sementara itu, Menteri Besar, Dato’ Ahmad Said yakin Terengganu bakal menjadi kuasa baru dalam temasya sukan dwi tahunan itu pada masa akan datang berdasarkan pencapaian membanggakan atlet Terengganu dalam Sukma XII 2008. Katanya, semangat juang ditunjukkan atlet Terengganu pada Sukma kali ini, meletakkan kontinjen Terengganu dalam kelompok teratas pungutan pingat, malah berjaya mengatasi Selangor yang merupakan juara keseluruhan pada beberapa temasya itu sebelum ini. "Terengganu semakin hampir untuk mencapai sasaran 35 pingat emas. Pencapaian kali ini jauh lebih baik daripada pungutan pingat pada Sukma lepas di Alor Setar apabila kita meraih 15 pingat emas,” katanya. Unit Komunikasi Negeri.
No comments:
Post a Comment