Tuesday, September 9, 2008

Tembaga makin memukau


Rumah Minangkabau merupakan salah satu produk tembaga yang dihasilkan oleh SIRIM.


KUALA TERENGGANU 8 Sept - Demi memartabatkan anugerah warisan, barangan tembaga yang telah ditelan dek masa, kini dihidupkan kembali di negeri Terengganu.

Dengan pelbagai ciptaan dan reka bentuk yang dicetus berkat daya kreativiti yang tinggi dan unik sekali gus mampu memukau pelancong dalam negeri dan luar negeri untuk menjadikannya sebagai pilihan tepat bagi koleksi peribadi dan cenderahati korporat.

Kesenian tembaga yang merupakan antara seni kraf tangan yang paling awal dan paling lama wujud di negara ini, dipercayai berusia kira-kira 500 tahun.

Barangan tembaga yang dihasilkan rakyat Terengganu amat berbeza dengan yang dihasilkan oleh orang Iran, Thai dan India.

Secara tradisi, barangan tembaganya dihasilkan dengan menggunakan acuan lilin dan tanah liat.

Bagaimanapun, SIRIM Berhad negeri Terengganu telah memantapkan lagi proses penghasilan barangan tembaga dengan menggunakan kaedah loss wax atau investment casting.

Pengurusnya, Zulkifli Pesol berkata, barangan diperbuat dengan hanya menggunakan bahan tembaga bermutu tinggi dan dicampur dengan aloi tertentu bagi menghasilkan permukaan yang licin yang boleh melindungi atau melambatkan proses pengoksidaan terhadap barang-barang tersebut.

Katanya, produk tembaga juga terkenal kerana kehalusan buatannya dan juga kerana kilauan permukaannya yang licin.

Kebanyakan barangan tembaga ini disadur sepenuhnya atau sebahagian sahaja bagi mewujudkan keanggunan serta sifat eksklusif bagi pemilik atau penerima barangan ini, lantas menjadikan barangan tembaga suatu pilihan yang tepat sebagai koleksi peribadi bagi menghiasi kediaman atau ruang pejabat anda ataupun sebagai cenderahati korporat.

Salah satu produk barangan dihasilkan SIRIM ialah gamelan iaitu alat muzik yang mengeluarkan bunyi apabila alat pemukul digunakan untuk memukul enam biji objek tembaga berbentuk bulat yang disusun sebelah-menyebelah di atas bekas pemegang.

Gamelan yang dicipta secara inovatif ini merupakan suatu karya agung yang telah digilap dengan sempurna bagi memperlihatkan ketinggian mutunya.

Selain gamelan, peralatan muzik lain ialah Gong Berukir yang dihasilkan pada asasnya berbentuk bulat.

Alat muzik ini mempunyai bonjol di tengah-tengah permukaannya dan setiap gong dilengkapkan dengan kayu drum yang digunakan untuk memukul bonjol itu bagi mengeluarkan bunyi.

Gong adalah sebahagian daripada peralatan penting dalam persembahan kebudayaan dan tradisi tempatan, seperti wayang kulit, dikir barat dan silat.

Barang tembaga ini diindahkan lagi dengan kehalusan buatannya serta kilauan ukiran dan corak yang terdapat di atasnya lantas mengatasi kesederhanaan alat muzik ini.

Lain-lain barangan yang turut dihasilkan termasuklah replika tempayan berukir, Menara Berkembar Petronas, golf, kereta F1 dan bekas bara.

No comments: