Sampai ke Disneyland
DUA hari sebelum majlis penutupan Pertandingan Bunga Api Antarabangsa 2008 (MIFC), segala persiapan berjalan dengan lancar. Meskipun dilaporkan kesuntukan masa dan cuaca tidak begitu mengizinkan, namun juara pertandingan MIFC 2007, Australia, tangkas menyusun dan memeriksa keadaan tempurung bunga api dan mortar di tapak pelancaran.
Terletak di bawah Jambatan Seri Gemilang, Putrajaya, ahli pasukan dari Australia iaitu Stuart Bensley, JustineDukes dan Rusty Johnson sibuk memunggah hampir 4,000 unit bahan bunga api. Turut menghulurkan bantuan ialah rakan kerjasama dari Global 2000 selaku penganjur rasmi MIFC 2008.
|
|
Dengan pengawasan keselamatan yang ketat, kerja-kerja penambakan pasir di sekitar mortar dilakukan dengan rapi agar tidak meletup atau 'terbang' semasa dilancarkan nanti. Bahagian mulut mortar yang bersaiz tiga, empat, lima, enam dan lapan inci juga ditutup rapat dengan kertas aluminium supaya tidak dimasuki air.
"Alat pelancar ini perlu diawasi dan dipastikan berada dalam keadaan selamat. Kita tidak boleh mengambil risiko termasuk sebarang gangguan atau masalah teknikal semasa pelancaran bunga api," kata Joe Ghazzal, penerbit dan Ketua Pegawai Eksekutif Global 2000 ketika ditemui Kosmo!.
|
PASUKAN Australia tidak mempertahankan kejuaraan tetapi hadir bagi memeriahkan persembahan penutup. |
Bagi pasukan Australia yang bernaung di bawah syarikat Howard and Sons Pyrotechnics Pty. Ltd., pengalaman luas dalam bidang penghasilan bunga api boleh dijejaki sehingga awal tahun 1922. Moyang Howard terkenal dengan kepakaran membina dan menghasilkan bunga api seperti Roman Candles, Mines, Fountain dan Aerial Shells.
"Rekaan dan pembuatan kami menerima permintaan yang tinggi dan pernah dipertontonkan pada pembukaan Sydney Harbour Bridge pada tahun 1932, lawatan keluarga Diraja di Australia dan New Zealand dan perayaan Australia yang lain," ujar Bensley yang menambah mereka gemar menggunakan warna-warna pelangi.
Bergantung sepenuhnya kepada sistem pelancaran pengkomputeran Fireone Digital Firing, Howard and Sons Pyrotechnics berbangga dengan keunikan kemahiran yang diperturunkan dari satu generasi ke satu generasi. Ini dapat disaksikan pada rekaan dan pembuatan piroteknik yang menggabungkan sistem pelancaran pengkomputeran berintegrasi sinaran laser, skrin air, bunyi dan projeksi.
"Di samping memenuhi jemputan persembahan dan acara di negara-negara luar, penubuhan kilang pembuatan bunga api yang berkualiti di Sydney pada tahun 1960-an melayakkan syarikat kami diberi kontrak membekalkan stok kepada Disneyland dan Disneyworld di Amerika Syarikat."
"Dalam erti kata lain, mereka adalah pengguna harian bunga api terbesar di dunia," sambungnya.
Beliau turut menyenaraikan penglibatannya dalam Visit Malaysia Year Watersky Spectacular 2007, Sukan Komanwel Melbourne 2006, perayaan Bunga Api Macau dan Shanghai, Piala Dunia Ragbi dan banyak lagi.
Pada tahun lalu, syarikat ini yang mewakili Australia memenangi trofi Emas Merdeka MIFC 2007 dengan persembahan tema bunga api Aurora Australie.
Tahun ini, pasukan Australia tidak mempertahankan kejuaraan, tetapi tetap hadir sebagai pasukan untuk memeriahkan persembahan penutup.
Sebagaimana setiap penglibatannya melahirkan pengalaman yang berinspirasi, MIFC 2008 dilihat sebagai sebuah platform terbaik bagi memperkukuhkan reputasinya. Tambahan pula, perkongsian 'pentas udara' dengan syarikat tempatan, Global 2000 membuka ruang bagi penyediaan gubahan bunga api yang lebih kreatif.
|
|
Hasilnya, satu permuafakatan dicapai dengan menggalas tema yang bertajuk 'Warna-Warni Malaysia'. Gaya hidup penduduk Malaysia digambarkan dengan menyelusuri bangunan pencakar langit terkemuka, Menara Berkembar Petronas diikuti dengan suasana di pasar malam, pantai berpasir putih dan kekayaan hutan hujan tropika yang mengembalikan sifat semula jadi.
Dari musim tengkujuh kepada kesunyian langit pada waktu malam, dari matahari terbit hinggalah kelahiran sebuah hari yang indah, Joe berkata, persembahan bunga api yang penuh sensasi ini tidak menghampakan sesiapa, tidak kira tua atau muda.
Selama lebih dua minggu, para peserta MIFC 2008 menggegarkan dan menerangi langit Putrajaya dengan persembahan bunga api yang indah. Sebelum melabuhkan tirai mengakhiri pesta gilang-gemilang ini, pasukan Australia telah diberi penghormatan untuk menampilkan kehebatannya bersama Global2000.
Justeru itu, pada malam 29 Ogos yang lalu, langit Putrajaya bermandikan percikan bunga api yang menarik selama 25 minit tanpa henti. Skil kedua-dua pihak dinilai dan dihargai dengan iringan sorakan dan tepukan gemuruh para hadirin.
Program kemuncak yang dinanti-nantikan itu dimeriahkan dengan kepelbagaian dendangan muzik atau dikenali sebagai penyelarasan piro muzik. Dipopularkan pada abad ke-18, piro muzik pada majlis penutupan MIFC 2008 mendengarkan alunan muzik dari latar lagu Inggeris dan tempatan.
Seleksi tempatan ialah 'Mentara Semerah Padi' dendangan M.Nasir, 'Hati Kama' daripada Siti Nurhaliza dan Norazlina Idris dan 'Cindai' oleh Siti Nurhaliza. Ia membuatkan pengunjung terpukau dan terpegun mendongak kepala merenungi hiasan bunga api yang artistik memercik di ruang udara.
"Tanggungjawab ini bukanlah mudah kerana ia harus menampilkan ciri-ciri dan identiti Malaysia dan rakyatnya. Sudah tentu kami berusaha bersungguh-sungguh untuk memberi sesuatu yang akan bersemadi di ingatan mereka," ujar Joe yang menambah pelancaran bunga api dikawal seperti seorang konduktor orkestra dari atas jambatan menggunakan sistem pengkomputeran.
No comments:
Post a Comment