Sunday, September 28, 2008

Kreativiti YB Ramli ADUN Tepuh - Pertandingan Pelita.


pelita daripada barangan terpakai ciptaan Mohd. Syukri Abdullah bersama rakannya, Roslim Ismail berbentuk pelita Masjid Kristal, Menara Kuala Lumpur dan Ferris Wheel menjadi tarikan di Kampung Padang Hangus, kelmarin.
- Gambar AZLAN BAHRUM


KUALA TERENGGANU 28 Sept. - Kedatangan Syawal tidak lama lagi sememangnya ditunggu oleh umat Islam yang menjalani ibadah berpuasa terutama kanak-kanak.Pelbagai cara digunakan untuk memeriahkan sambutan hari raya dan sudah menjadi tradisi di sesetengah tempat, pertandingan memasang pelita masih diteruskan dengan niat untuk mengembalikan nostalgia Ramadan semasa ketiadaan elektrik suatu masa dahulu.

Pertandingan pasang pelita sama sahaja seperti memasang lampu berwarna-warni serta membuat biskut iaitu untuk mewujudkan suasana ceria dan gembira perayaan yang datang hanya setahun sekali.Itulah yang dilakukan masyarakat Kampung Padang Hangus di Tepuh apabila pada 10 malam terakhir Ramadan setiap penduduk akan bergotong royong menyiapkan pelita menggunakan bahan-bahan terpakai.Menurut Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Padang Hangus, Sidek Salleh, 57, ketibaan 10 malam terakhir Ramadan sememangnya dinantikan penduduk kampung dan mereka awal-awal lagi mencari buluh dan tin kosong untuk dijadikan pelita yang akan dihias di sekeliling kawasan rumah masing-masing.

Kreativiti

Menurutnya, penduduk akan bergotong-royong menyiapkan pelita-pelita berkenaan dalam pelbagai bentuk mengikut kreativiti masing-masing termasuk yang paling popular menyerupai bentuk Menara Berkembar Petronas.''Bahkan golongan muda merupakan golongan yang paling banyak terlibat bergotong-royong menyiapkan pelita menggunakan minyak tanah untuk dipasang di sekeliling kampung," ujarnya.Sidek memberitahu, sebagai tanda sokongan JKKK turut menyumbang minyak tanah sebagai memberi semangat kepada penduduk yang menyertai pertandingan tersebut.Ujarnya setiap penyertaan perlulah menggunakan sekurang-kurang 50 buah pelita pelbagai rekaan untuk dipasang di keliling rumah bagi memeriahkan kawasan.

Tambahnya, setiap penduduk bebas menggunakan kreativiti masing-masing untuk mereka bentuk pelita.Menurutnya, pertandingan pasang pelita itu menawarkan hadiah lumayan kepada penduduk kampung.''Pada tahun ini kita menyediakan hadiah berupa barangan elektrik kepada pemenang dan hamper makanan kepada pemenang saguhati, ini semua sebagai tanda penghargaan kepada penduduk yang menyertai pertandingan ini," katanya.

No comments: