Oleh: ROSLI MANAH Foto: ZAKARIA IDRIS
Kemampuan penyanyi versatil Khadijah Ibrahim tak perlu dinafikan lagi. Malah sudah banyak persembahan berprofil tinggi yang disertainya dalam tempoh 30 tahun bergelar penyanyi.
Kini keunggulannya diangkat lagi apabila diberi kepercayaan mengadakan persembahan di Dewan Filharmonik Petronas (DFP) pada 17 dan 18 November 2008. Bukan calang-calang penyanyi dapat persetujuan pengurusan dewan persembahan bertaraf antarabangsa itu.Khadijah atau Khaty memang layak dan tak perlu dipertikaikan. Kalau orang luar pernah menghargai Khaty, masakan di negara sendiri beliau gagal masuk ke dewan itu. Penerimaan pihak pengurusan untuk Khaty mengadakan persembahan yang dinamakan Khadijah Ibrahim The Pearl Anniversary Concert itu menunjukkan mereka membuka pintu kepada artis tempatan.
Mungkin DFP memilih penyanyi yang seiring dengan prestij yang ingin mereka jaga. Sebelum ini Tan Sri S. M. Salim dan Sheila Majid pernah mengadakan persembahan di dewan itu. Khaty memang layak.Persembahan Khaty dibawakan oleh Impress Creative & Editorial Sdn. Bhd. Khaty mengundang dua artis yang sinonim dengan perjalan seninya iaitu komposer Datuk Ahmad Nawab dan penyanyi rock Ramli Sarip yang juga rakan duet sinonim dengan Khaty.
"Undangan Khaty untuk bersama-sama mengadakan persembahan di DFP ini sesuatu yang tak patut saya tolak," kata Ramli.Ahmad Nawab juga melahirkan rasa bangga kerana penyanyi yang dibawanya ke dunia seni pada usia 18 tahun itu, kini bertaraf superstar. Bukan sahaja di Malaysia, tapi terkenal di negara luar."Saya masih ingat lagi... dulu saya ada nasihatkan Khaty. Saya kata kalau nak jadi artis yang baik kena ada disiplin. Khaty memang seorang yang berdisiplin sebab itulah dia berjaya sehingga sekarang dan boleh digelar superstar," kata Ahmad Nawab.
Popularkan lagu lama
Khaty dan artis undangan juga macam tak sabar memulakan latihan kerana sudah nampak bakal berasa seronok mengadakan persembahan yang sangat istimewa dalam kerjaya seninya itu."Saya janjikan persembahan terbaik dan saya jamin penonton akan pulang dengan memori indah yang tak akan dilupakan selepas menonton konsert," kata Khaty dalam majlis memperkenalkan artis jemputannya di restoran miliknya, Khadijah's Kitchen di Petaling jaya, Selangor baru-baru ini.Khaty akan menyanyikan lagu-lagu yang dihasilkan sejak awal pembabitannya sehinggalah ke hari ini. Persembahan itu semacam satu cerita perjalanan seninya termasuk jatuh bangun beliau sebagai seorang artis. Ramli dan Ahmad Nawab juga akan mengadakan persembahan solo.
"Semestinya saya bangga dapat mengadakan persembahan di situ dan saya harap banyak lagi artis lain yang turut diberi peluang," kata Khaty.Khaty semestinya menyanyikan lagu berhantunya Kusangka Siang Kiranya Malam, Kupendam Sebuah Dula, Kugembira Di Sampingmu dan lain-lain. Beliau juga akan menyaikan lagu Perjalanan Hidup yang dipopularkan oleh Ramli Sarip."Sebenarnya lagu itu saya dulu yang nyanyikan dalam satu pertandingan dan ia jadi juara. Tapi Ramli ingin rakamkannya kerana berasakan lagu itu lebih sesuai dengannya. Jadi, malam itu saya akan balas dendam dengan menyanyikannya. "Ada juga lagu duet saya yang tidak sempat popular dulu kerana digam daripada siaran kerana isu artis lelaki berambut panjang. Misalnya lagu Ehsan Mulia, jadi kami akan nyanyikannya dan berharap ia akan popular semula," kata Khaty.
Tiket laris
Jualan tiket baru bermula dan apabila kaunter dibuka tempahannya sangat menggalakkan. Khaty harap peminatnya tidak lepaskan peluang kerana beliau jarang mengadakan show untuk publik sebaliknya banyak undangan show tertutup."Pada usia saya ini rasanya tak sesuai dah nak muncul dalam show pentas terbuka. Kalau bersama penyanyi baru yang ada di antara mereka yang saya tak kenal, rasa janggal pula."Saya anggap show ini khas untuk peminat saya dan merekalah yang telah membeli tiket yang mula dijual," kata Khaty.
Tiket-tiket berharga RM120, RM100, RM80 dan RM50 mula dijual kepada umum. Untuk tempahan boleh hubungi box office di talian 03-20517009.
No comments:
Post a Comment