Iktibar daripada perceraian
Nazrey kecapi bahagia bersama Liyana
Isteri cerdik yang solehah
Penyejuk mata penawar hati
Penajam fikiran
Di rumah dia isteri
Di jalanan dia kawan
Di waktu kita buntu
Dia penunjuk jalan
Pandangan kita diperteguhkan
Menjadikan kita tetap pendirian
Ilmu yang diberikan dapat disimpan
Kita lupa dia mengingatkan
Nasihat kita dijadikan pakaian
Silap kita dia betulkan
Penghibur diwaktu kesunyian
Terasa ramai bila bersamanya
Dia umpama tongkat si buta bila tiada kita kehilangan
Dia ibarat simpanan ilmu sentiasa kekal untuk diwariskan
Lagu: Nazrey Johani
Lirik: Nazrey Johani dan Azahari Ahmad
JIKA sang penasyid terkemuka Nazrey Johani merakamkan isteri dalam hidupnya sebagai penunjuk ke jalan yang terang, penawar dan penghibur hati menerusi lagu yang dinyanyikan, bagi si isteri Rosliyana Mohd Yusuf pula, suara lunak yang sering membingkiskan ungkapan-ungkapan pujian menerusi lagu Isteri Solehah ini adalah ubat paling mujarab yang menyejukkan amarahnya.
Lirik ini bukan sekadar lagu yang disiulkan, tapi ternyata ia puisi manis daripada suami tercinta yang menjadi azimat buatnya.
"Lagu itulah yang selalu dinyanyikan abang Nazrey kalau saya marah atau tengah 'panas' pada sesuatu perkara. Dengar dia nyanyi sahaja terus rasa sejuk, tak jadi nak marah. Macam itulah cara dia pujuk saya," ungkap isteri yang membahasakan dirinya Liyana ini penuh canda.
Tidak seperti dibayangkan ketika kediaman penceramah bebas dan bekas penyanyi utama kumpulan Raihan ini hendak dijejaki, Liyana bukanlah ustazah atau wanita berpurdah seperti yang disangkakan.
Dia wanita biasa, berbaju kurung hijau dan bertudung sederhana sesuai dengan imejnya, wanita dan ibu kepada dua cahayamata berbintikan Nazrey Johani.
"Semasa sebelum mengenali dan selepas membuat keputusan untuk mengahwini dia (Nazrey), saya seorang yang agak lasak, tidak bertudung dan ramai kenalan lelaki.
"Tetapi sehari sebelum akad nikah, saya nekad untuk menjadi isteri yang bertudung tapi bukan kerana paksaan Nazrey. Dia cuma kata 'menutup aurat itu wajib bagi muslimah', itu sahaja," ungkap Liyana ramah.
Bersuamikan Nazrey, Liyana cepat menjadi matang dan rasional dengan tanggungjawabnya sebagai isteri kepada nama popular.
Baik dari segi menjaga personaliti dan imej suami sebagai penyanyi nasyid, penceramah motivasi dan pendakwah bebas, Liyana juga kenal erti sabar dan perjuangan sebenar yang didokong sang suami.
"Dulu semasa dia bersama Raihan, saya tak begitu faham dan menghargai pengorbanan dia. Saya hanya tahu minta duit sahaja. Masa mula-mula kahwin, pernah juga saya merungut dan berendam air mata kerana sering ditinggalkan.
"Tapi sekarang saya dapat lihat sendiri susah-payah yang dia lalui. Baru saya tahu siapa Nazrey Johani di hati masyarakat," ucap wanita ini bersyukur atas kebahagiaan yang dikongsi bersama Nazrey sejak lapan tahun lalu.
Ralit memainkan alat muzik perkusi sambil menyanyi-nyanyi kecil, Nazrey hanya tersenyum mendengar cerita daripada insan yang disanjung sebagai isteri ini.
Bercerai, berkahwin senyap-senyap
|
|
Mengajak Nazrey berbicara tentang isteri yang melengkapkan kelelakiannya, pemilik suara lunak ini ada sejarah perit tersimpan kemas di lubuk jiwanya.
Daripada pengalaman hidupnya, Nazrey boleh disifatkan 'masak' dan melalui laluan yang paling ditakuti oleh setiap pasangan bernama suami isteri iaitu perceraian.
Cerai, satu istilah yang bukan luar biasa dalam kamus kehidupan tetapi besar impaknya bagi setiap individu yang sudah melepasi garis penentuan itu.
Sebagai manusia biasa yang tidak pernah sempurna sifatnya, Nazrey juga tidak terkecuali.
Walaupun secara luaran dan setiap patah perkataannya sentiasa menyeru ke arah kebaikan tetapi demi untuk satu kebaikan dari satu aspek yang difahami hanya oleh mereka, jodoh Nazrey pada perkahwinan pertama dahulu tidak dapat bertahan lama.
"Dalam rumah tangga ini, bercerai dan jodoh tidak panjang adalah satu pengalaman yang sangat berharga buat saya.
"Saya semakin memahami, orang paling kuat dalam sesebuah rumah tangga adalah isteri.
"Isteri haruslah orang yang besar sifat sabarnya kerana kalau ada krisis, perempuan yang akan minta cerai dulu, bukan suami," jelas Nazrey sambil menghela nafasnya dalam-dalam.
Bicaranya bersambung lagi: "Dalam rumah tangga juga, tempoh 10 tahun pertama adalah tempoh yang sangat banyak didatangi ujian Tuhan.
"Sebab itulah, suami isteri kena banyak bersabar. Hanya dengan bersabar, kita semua terhindar dari kemungkaran.
"Tetapi perceraian tetap berlaku dalam hubungan saya dahulu. Masa itu Tuhan mahu menguji sejauh mana saya dapat menunaikan tanggungjawab membesar dan memberi kasih sayang terhadap anak-anak.
"Bercerai macam mana sekalipun, jangan saling memburukkan satu sama lain. Anak-anak harus dijaga itu amanah Allah."
Berbanding orang popular yang lain, bekas anggota kumpulan Raihan ini sangat bersyukur kerana musibah yang pernah menimpanya dahulu tidak digempar-gemburkan media.
"Tak baik hebahkan perkara negatif, saya bercerai pun senyap, berkahwin pun senyaplah," kata Nazrey selamba.
Bukan ibu tiri filem Melayu
Dalam soal anak-anak, mujurlah Liyana bukan ibu tiri seperti yang sering ditonjolkan dalam filem atau drama-drama Melayu.
Anak tiri atau anak sendiri, semua itu bukan masalah atau perkara yang membezakan hubungannya dengan anak-anak mahupun anak Nazrey bersama bekas isteri.
"Sebelum berkahwin lagi, saya tiada masalah mahu bersuamikan lelaki beranak tiga seperti abang Nazrey. Saya sendiri ada pengalaman beribukan ibu tiri dan saya tak mahu anak-anak saya (anak-anak Nazrey) mendapat pengalaman yang sama.
"Kami tak pernah keluar bercuti tanpa mereka (anak tiri), mereka juga panggil saya dengan panggilan umi," beritahu Liyana yang sedang hamil anak ketiga ini panjang lebar.
Sesuatu yang istimewa juga, Insya-Allah, bayi yang dalam kandungan Liyana ini akan lahir pada 23 November nanti, dua hari sebelum pasangan ini meraikan ulang tahun kelapan perkahwinan mereka.
Ramadan yang bahagia
Alang-alang berkunjung ke teratak Nazrey dan Liyana ketika baru dua hari umat Islam di Malaysia meneguk keindahan Ramadan yang baru tiba, kami berbicara pula tentang erti Ramadan tahun ini.
Sebelum bersuara, Liyana berpaling ke arah Nazrey yang leka melayani kerenah si kecil bernama Syahirah yang baru pandai bertatih.
"Seingat saya inilah kali pertama kami sekeluarga menyambut awal Ramadan bersama, tahun lepas abang Nazrey di Sabah, sebelum-sebelum ini pula dia sibuk dengan aktiviti nasyid.
"Tapi ini baru minggu pertama masuk minggu kedua nanti tak tahulah," ucap anak bongsu daripada enam beradik ini reda bersuamikan lelaki terkenal bernama Nazrey Johani.
Tentang makanan, Nazrey di mata isterinya bukanlah seorang cerewet. Asalkan ada kurma dan sup sayur atau ayam, sudah cukup untuk Nazrey menyempurnakan lapar dan dahaga sesudah seharian berpuasa.
"Kami ajar diri supaya bersederhana, tak membazir. Kalau pergi bazar Ramadan pun tak beli banyak lauk, dua tiga lauk cukuplah. Kalau beli lebih, pasti membazir," beritahu Nazrey yang lebih selesa segala persiapan hari raya nanti ditentukan oleh isteri.
Walaupun tanpa tiga lagi anak-anak kerana berada di bawah jagaan bekas isteri, Nazrey dan Liyana tidak kesunyian kerana selain Nur Syafika Raihani Al-Balqis (7) dan Nur Nazlah Syahirah (11 bulan).
Keluarga ini diserikan dengan kehadiran anak saudara Nazrey, Siti Fairuz, 17, cukup untuk menggamatkan suasana kediaman mereka.
No comments:
Post a Comment