Thursday, September 4, 2008

Heroin Republikan difitnah lagi


PALIN memberi ucapan pertama di Konvensyen Kebangsaan Parti Republikan di St. Paul kelmarin.


WASHINGTON - Tidak cukup dengan kontroversi seorang anak perempuannya, Bristol hamil ketika berusia 17 tahun, calon Naib Presiden Amerika Syarikat (AS) mewakili Parti Republikan, Sarah Palin sekali lagi terpaksa menepis laporan negatif media, kali ini mengenai dirinya.

Semuanya bermula semalam apabila akhbar tabloid National Enquirer memaparkan pada muka depan dakwaan bahawa Palin pernah menjalin hubungan sulit dengan salah seorang rakan perniagaan suaminya.

Akhbar itu turut membuat beberapa dakwaan lain termasuk sebelum pencalonannya diumumkan, Palin cuba mengaturkan supaya Bristol berkahwin dengan lelaki yang menghamilkan anak perempuannya itu, Levi Johnston, 18.

Wanita tersebut mahu perkahwinan mereka diadakan sebaik sahaja konvensyen Parti Republikan tamat dan menurut National Enquirer, desakan itu ditolak oleh anak perempuan dan suaminya.

Selepas berita tersebut tersiar, pasukan peguam calon Presiden AS daripada Parti Republikan, John McCain, memberi amaran mereka akan mengambil tindakan undang-undang.

"Percubaan pihak media dan tabloid untuk memusnahkan rekod cemerlang kakitangan kerajaan adalah sesuatu yang memalukan. Rakyat AS akan menolaknya," kata penasihat kanan McCain, Steve Schmidt.

Berdepan dengan pelbagai kecaman sejak pemilihannya, Palin cuba menepis semua kritikan itu ketika beliau pertama kali berucap di Konvensyen Kebangsaan Republikan kelmarin.

"Keluarga kami seperti keluarga-keluarga lain terpaksa melalui saat gembira dan duka, cabaran dan kegembiraan yang dirasai adalah sama.

"Anak lelaki kami, Track kini berusia 19 tahun. Dan seminggu lagi iaitu pada 11 September ini, dia akan dikerahkan ke Iraq untuk berkhidmat kepada negara," katanya sambil disambut dengan tepukan gemuruh para penyokong Republikan.

Palin yang mengenakan sut imej konservatif iaitu jaket berwarna perak dipadankan dengan skirt hitam dan seutas rantai mutiara sebagai aksesori, merendah diri apabila menyatakan bahawa dia seorang ibu dari sebuah bandar kecil.




Wanita itu berkata, dia menyahut cabaran untuk menjadi calon Naib Presiden AS dan akan berada ke White House bukan kerana mahukan restu media tetapi untuk berkhidmat kepada rakyat.

"Saya bersedia menyahut cabaran dan pertarungan sengit dalam pilihan raya ini (pilihan raya Presiden AS) terhadap lawan yang memiliki penuh keyakinan," katanya.

Berdasarkan ucapan yang menyentuh perasaan itu, penganalisis-penganalisis politik di AS memberitahu, Palin berjaya menghadapi ujian pertamanya dengan cemerlang.

Menurut mereka, para pemimpin Demokrat perlu duduk berbincang dan memberi perhatian bahawa wanita itu boleh menggugat kempen mereka bagi menawan Washington.

Palin bersama McCain akan menghadapi tentangan sengit daripada calon Presiden AS daripada Parti Demokrat, Senator Barack Obama dan regunya, Senator Joe Biden dalam pilihan raya pada 4 November depan. - Agensi

No comments: