AYAM dijadikan satu foreshadow di dalam filem Susuk! Ayam diinterpretasikan sebagai satu simbol objek 'jahat' dan ilmu hitam di dalam filem ini.Dalam filem arahan pengarah berkaliber Amir Muhammad dan Naeim Ghalili ini, ayam dijadikan binatang 'jahat' yang juga simbolik kepada 'pembunuhan'.Pada setiap babak yang menunjukkan setiap mangsa bunuh si pemakai 'susuk keramat' iaitu Suzana (Ida Nerina), pasti ayam akan muncul. Oleh itu, ia memberi petanda atau foreshadow bahawa selepas ini akan berlaku pembunuhan kejam walaupun tidak ditunjukkan secara terang-terangan.Adegan ngeri ini mengingatkan penulis kepada filem-filem seram dan suspens sebelum ini seperti Psyco, Prom Night dan beberapa buah filem lagi.
Diana Rafar berlakon sebagai seorang pelatih jururawat bernama Soraya yang bercita-cita untuk bergelar artis.
Begitu juga dalam babak ketika Soraya (Diana Rafar) bergurau senda dengan rakan serumahnya (Norkhiriah) dan memukul kepala antara satu sama lain dengan bantal sehingga bantal tersebut terkoyak dan menerbangkan 'bulu ayam' di dalamnya.Motif adegan ini dimasukkan dalam jalan cerita ini hanya sebagai sesuatu peristiwa akan berlaku. Bulu ayam itu mempunyai kaitan dengan 'ayam' yang dijadikan sebagai 'signal' utama dalam filem ini.Ketika di dalam majlis sidang media yang dilakukan, selain wartawan, ada seorang budak kecil di belakang yang bertanya soalan tentang kenapa ayam dipilih sebagai binatang 'jahat' dalam filem ini?Lalu Amir menjawab, "Ayam digunakan kerana mengaitkan ia dengan penggunaan ilmu hitam yang biasanya digunakan oleh bomoh. Jadi, dalam filem ini, ayam selalu muncul kerana secara 'subtle' nya melambangkan kampung. Ia memberi maksud Soraya yang mahu lari dari imej kekampungan."Selain ayam, binatang lain juga digunakan dalam filem ini iaitu ikan pada awal permulaan ceritanya. Tetapi ayam lebih memainkan peranan yang penting dalam filem ini.
Ada beberapa perkara lain yang menarik untuk dikongsi berkaitan dunia artis kita.
Salah satu babak yang memaparkan gelagat artis dalam majlis minum semasa konsert Mona dan Rozana.
Salah satu babak dalam Susuk ketika Soraya masuk ke dalam kelompok artis dan orang-orang kenamaan di majlis minum sebelum menonton konsert penyanyi pujaannya iaitu Mona (Sofia Jane) dan Rozana (Aleeza Kassim).Apa yang diperhatikan, adegan tersebut seolah-olah menyindir artis atau selebriti kita dengan mempamerkan gelagat sebenar mereka yang berada di luar sana. Susuk telah men’stereotaip’kan artis kita sebagai manusia yang suka ‘bermuka-muka’, hipokrit, bongkak dan angkuh dengan kedudukan mereka.Lebih bermakna apabila dialog Soraya yang selamba meminta minuman keras, vodka daripada kekasihnya (Gambit) apabila sampai di majlis tersebut.Penulis harus memuji pelakon-pelakon hebat dalam filem yang telah siap sejak dua tahun lalu ini kerana Sofia Jane, Ida Nerina, Diana Rafar, Aleeza Kassim dan Adlin Aman Ramli sememangnya memberikan lakonan yang cemerlang dan meninggalkan kesan.
Adlin berlakon sebagai Dukun Dewangga.
Tidak perlulah diceritakan secara terperinci tentang lakonan mereka tetapi apa yang pasti gabungan pelakon mantap ini mampu menghasilkan filem yang benar-benar memberikan impak kepada penonton. Tahniah Amir dan Naeim serta semua pihak yang terlibat dalam penerbitan filem Susuk ini!Penulis juga ingin memuji dari segi teknik yang digunakan untuk menimbulkan unsur seram. Sinematografi dan ‘mis-en-scene’ seperti warna, pergerakan kamera, props, mekap, kostum, suntingan, latar set dan semuanya diadun dengan cantik sekali sehingga tidak kurang ada yang menjerit kerana terkejut ketika menontonnya.Melalui teknik suntingan dan graf cerita secara non-linear, Susuk berjaya merahsiakan watak-watak tertentu yang akhirnya penonton mungkin tidak menyangka ceritanya 'begitu' dan 'begini' seusai tirai wayang berakhir.
Susuk turut menunjukkan cara susuk dipakaikan.
Setiap benda yang diciptakan dalam Susuk mesti ada sebab dan maksudnya. Amir sendiri mengatakan yang dia tidak mahu penonton hanya menonton filemnya tanpa berfikir. Jadi, tidak hairanlah jika penonton akan tertanya-tanya di akhir filem itu.Oleh itu, sesiapa yang menggemari filem karya Yasmin Ahmad mungkin akan turut meminati Susuk kerana filem kedua-dua pengarah ini ibarat mempunyai identiti dan pemikiran yang sama. Cuma cara penyampaiannya yang berbeza.Sebelum filem ini dipertontonkan, Amir juga ada menyebut tentang duality yang dipaparkan dalam Susuk. Selepas menontonnya, barulah penulis faham apa maksud Amir tentang duality yang telah disampaikan.Salah satunya adalah dua karektor antara Suzana dan Soraya. Walaupun karektor dan nama mereka berbeza, namun ada persamaan antara kedua-duanya yang menghubungkan mereka iaitu susuk.Susuk mengisahkan Soraya, seorang pelatih jururawat mendambakan kehidupan lebih dari ala kadar. Lantas di kala tawaran jadi bintang mengundang, dia mahu gapai setinggi langit. Langkah mulanya penuh ranjau. Sehinggalah Soraya dipujuk dengan amalan susuk yang sukar diketepikan untuk bergelar diva ternama. Kini dia mesti memilih samada terus di laluan yang benar atau jalan onar yang perlukan pengorbanan..
Kesan susuk yang dipakai Mona lakonan Sofia Jane di dadanya.
Sementara itu, Suzana pula seorang diva terkenal sedang mendaki puncak populariti teratas. Namun terselindung di balik tabir keagungannya, Suzana adalah pengamal ilmu hitam tegar kerana dia pewaris susuk keramat. Tapi ia ada musibahnya. Suzana perlukan korban nyawa manusia setiap kali dia melanggar pantang larang.Susuk menyusuri kisah Soraya dan Suzana dalam lajur cerita yang berbeda namun akan bertembung di akhir cerita. Suatu kesudahan yang akan membongkar rahsia dan misteri ilmu hitam yang tidak tergambar oleh sesiapa!Yang pasti, Susuk juga berupaya memberi mesej supaya “jangan pakai susuk kerana hidup anda dan keluarga anda akan merana” seperti yang dipaparkan dalam filem ini.Penat lelah Amir dan Naeim serta para pelakon lain seperti Ida Nerina yang melakukan kajian mendalam tentang susuk akhirnya membuahkan hasil. Mereka telah berjaya memaparkan cara-cara susuk dipakaikan.Tetapi, filem ini juga berjaya merungkaikan tanggapan sesetengah orang yang menganggap susuk hanya dipelopori oleh kaum wanita. Dalam Susuk, kaum lelaki turut mengaplikasikannya. Jadi, jangan ingat wanita sahaja hendak cantik, lelaki pun mempunyai keinginan yang sama!Jadi, jangan lepaskan peluang menonton Susuk mulai hari ini, 7 Ogos. Tidak rugi rasanya kerana ini adalah sebuah filem Melayu yang hebat.Tahniah buat pengarah Amir Muhammad, Naeim Ghalili, penerbit Grand Brilliance Sdn. Bhd. dan Monsun Pictures serta semua pihak yang terlibat di belakang dan di depan tabir filem Susuk
No comments:
Post a Comment