Friday, July 4, 2008

KONTEMPORARI TROPIKA DI RUANG MAKAN

KONTEMPORARI TROPIKA DI RUANG MAKAN

Kediaman berkonsepkan kontemporari tropika terserlah melalui pemilihan material yang menyempurnakan ruang menonton dan ruang makan formal ini.

Binaan bongkah kayu vertikal yang dibina sebagai pembahagi ruang makan dan ruang menonton, serta kaunter bar yang membahagikan ruang dapur dan ruang makan nampaknya sengaja diwujudkan untuk memperjelaskan konsep terbuka antara ruang-ruang utamanya.

Ruang makan formal pula nampaknya begitu selesa dengan pemilihan lantai lamina rona krim muda. Gandingan meja makan dengan enam tempat duduk yang berwarna gelap begitu menonjol di ruangan yang berlatar cerah.

Permainan mozek persegi lima rona yang disusun bersama kepingan jubin slate, sengaja dipilih untuk memenuhi dinding utama ruang makan. Selain berperanan sebagai titik tumpu, kewujudan dinding ini memperjelaskan lagi konsep kontemporari tropika yang menjadi idaman mereka.


Dari aspek pencahayaan pula, pemilik memilih pencahayaan kuning untuk membangkitkan mood pada ruang makan ini. Kelihatan lampu halogen suluhan bawah dengan bingkai persegi menjadi pilihan untuk menampilkan cita rasa moden. Penambahan aksesori lain seperti singki, kepala paip, cermin yang berciri moden dan ringkas, ternyata membantu melengkapkan lagi gaya ruangan. Pemilik juga bijak mewujudkan laluan yang sempurna untuk ruangan ini.

Selain menyediakan laluan dari ruang menonton ke ruang makan, pemilik juga tidak lupa mewujudkan laluan dari dapur ke ruang makan. Konsep terbuka ini memberikan keselesaan optimum kepada pemilik dan sesiapa sahaja yang bertandang ke kediaman mereka.


MODEN KONTEMPORARI DI RUANG DAPUR

Dapur milik pasangan ini pasti memukau hati sesiapa sahaja yang sukakan gaya moden dan berani. Rona merah cili yang mendominasi ruang, ternyata membantu menyerlahkan lagi peranan dapur berkeluasan 20 x 17 kaki persegi ini. Berpandukan keluasan yang ada, pasangan ini bersetuju memilih kabinet dapur dengan bentuk L.

Mengisi ruang kabinet adalah dua unit singki keluli tahan karat, kepala pili serta rangkaian peralatan dapur jenama Fagor; tungku dapur, dapur induksi, hud danketuhar gelombang mikro serta ketuhar yang tentu sahaja melancarkan tugas diruangan itu. Kabinet yang menggunakan permukaan material jenis high gloss ini, turut menyediakan pintu kabinet berlubang untuk ruang penstoran tong gas.

Cara ini membolehkan gas yang terperangkap, dapat dibebaskan melalui ruang lubang pada pintu tersebut. Solid surface rona merah jambu susu pula, menurut Fiena bukan kemahuan asalnya. Hasrat awal untuk menggandingkan kabinet merah cili dengan solid surface rona hitam, terpaksa dilupakan atas nasihat kontraktor mereka. Ini kerana menurut kontraktor, rona hitam akan mudah memperlihatkan kecacatan yang jelas terutamanya jika permukaannya tercalar.

Selain permukaan kaunter kabinet, penggunaan solid surface rona sama, turut digunakan pada permukaan kaunter pulau yang terletak di tengah ruang dapur. Kata Fiena, unit kaunter pulau adalah ruang kesayangannya. Oleh itu, dia turut memastikan agar ruang itu benar-benar dapat memberikan keselesaan kepadanya kala di dapur.

Selain mewujudkan ruang simpanan di sisi hadapan dan sisi belakang kaunter, penambahan rak bertingkat di sebelah kiri bahagian hadapan kaunter dapat berfungsi sebagai unit pamer dan peraga. Kewujudan singki satu unit pula menambah peranan kaunter pulau sebagai tempat penyediaan untuk memasak. Kaunter pulau kecil dengan kerusi bar metalik pula menjadikan ruang memasak Fiena dan Nik penuh gaya.

Idea kabinet gantung mengikut ruang tingkap juga satu kelainan. Di samping itu, penggunaan cornice rona hitam menyempurnakan lagi reka bentuk kabinet gantung yang mencecah siling. Kabinet gantung dengan pintu kaca berkabut, turut ditampilkan bagi memperlihatkan ciri moden.

Mozek kaca dengan rona putih, merah, kuning dan oren yang disusun berselang-seli di latar dinding menjadikan ruang tampil mempesona. Jubin persegi kalis air pula sengaja dipilih melatari lantai dan dasar luar kabinet dapur untuk memudahkan kerja-kerja membersihkan lantai.

No comments: