MPV lagi! Kenderaan segmen begini sudah makin mendapat tempat dan perhatian masyarakat Malaysia. Mungkin selain pelbagai guna, saiz dan ruang yang luas menjadi pilihan untuk mereka yang sudah berkeluarga.
Namun Honda Stream Baru ini bukan sahaja sesuai untuk yang sudah berkeluarga, malah untuk mereka yang berdua sahaja pun boleh… tetap nampak anggun. Kesempatan yang diberi Honda Malaysia untuk menguji Stream generasi kedua ini, digunakan sebaik-baiknya.
Stream generasi pertama mula diperkenalkan pada tahun 2000. Kali ini saya benar-benar menguji kepelbagaian penggunaan saiz dan ruang ini. Kebetulan pula ada majlis kenduri di kampung, waktu yang tepat saya menguji samada kenderaan ini benar-benar pelbagai guna atau sekadar hebat hanya di dalam iklan sahaja.
Luaran yang sporty mantap
Bentuk dan ketinggian Stream sudah berubah dan nampak lebih sporty dan mantap. Rekaannya ada irasiras ‘abangnya’ iaitu Odyssey dan bahagian tepi cermin belakangnya seperti CRV baru. Namun apa yang pasti, Honda tetap mengekalkan kesempurnaan reka bentuknya. Sukar mencari kelemahan rekaan. Lampu berbentuk tirus, namun amat terang. Begitu juga dengan lampu belakang. Rim sport 15 inci menampakkan kenderaan ini tidak terlalu tinggi dan umpama sebuah kenderaan sedan biasa. Secara keseluruhannya, menarik dan mantap.
Kepuasan ruang dalaman
Ini merupakan perkara yang paling utama untuk Stream. Ruang dalaman yang luas dan selesa. Dengan dua baris tempat duduk di belakang boleh dilipat, maka akan memaksimumkan penggunaan ruang. Dengan menurunkan baris tempat duduk ketiga, di ruang itu, saya sumbat dengan barang-barang untuk dibawa pulang ke kampung.
Ditambah pula dengan barang-barang bayi, seperti tab mandi, rocking chair, beg-beg, bakul dan bermacam lagi kelengkapan. Semuanya muat!
Pemanduan lancar bertenaga
Dengan enjin 1.8 SOHC i-VTEC, ianya memang lancar dan bertenaga. Tiada masalah memandu kenderaan ini. Malah anda tidak terasa yang kelajuan anda sudah melebihi had laju kerana bunyi-bunyian asing dari luar amat kurang sekali selain kelancaran enjinnya yang tetap hebat di pelbagai permukaan jalan. Dengan gear transmisi elektronik automatik 5 kelajuan, pengendaliannya seperti sebuah kereta walaupun ianya MPV!
Keseluruhan
Faktor keselamatan tiada kompromi buat Stream dengan teknologi Kawalan G-Force di mana jika berlaku kemalangan, Stream menerima dan menyuraikan remukan sambil mengekalkan zon selamat untuk penumpang. Terdapat empat pilihan warna dan harga atas jalan RM149,800 adalah harga yang agak munasabah. Penggunaan petrol juga menjimatkan dan mampu bergerak sejauh 500 km dengan satu isian penuh pada pelbagai kelajuan, membawa barang atau penumpang. Pendapat saya, inilah kenderaan yang dicari-cari jika saya mampu memilikinya satu hari nanti… wait for me Stream!
Spesifikasi
Model: Stream 1.8L i-VTEC
Enjin: 1799 Kuasa: (140ps) kuasa kuda pada 6300rpm
Tork: 174 (Nm) / 4300 rpm
Transmisi: 5 kelajuan automatik
Kapasiti minyak: 55 liter
Harga: RM149, 800 (tanpa insurans)
No comments:
Post a Comment