Friday, July 4, 2008

Amal 'Pelaris' Nak Cepat Kaya -Pelaris Makan Tuan

GARA-gara ingin memperolehi keuntungan besar, kaya dan hidup senang, akhirnya seorang peniaga wanita tertipu oleh bomoh apabila pelaris perniagaan yang diamalkan menarik sebahagian keuntungan yang diperolehi. Wanita yang menjual makanan dan minuman menemui seorang bomoh di Klang dengan harapan bomoh itu dapat membantunya dalam melariskan lagi perniagaan yang diusahakannya.

Bomoh itu memberikan sebaris ayat untuk diamalkan dan ternyata perniagaan semakin mendapat kunjungan pelanggan. Namun, apa yang menghairankan peniaga itu adalah keuntungan yang diperolehi itu hanya tinggal separuh sahaja daripada anggaran keuntungan yang sebenar. Berasa sangsi dengan apa yang berlaku itu, peniaga wanita itu bertemu dengan pengamal perubatan Islam, Hamdan Haji Abdul Ghani dan menceritakan kejadian pelik yang berlaku padanya.

“Dia sudah lama berniaga. Namun, dia merasakan perniagaannya perlu ada pelaris lalu dia mengambil keputusan untuk bertemu bomoh di Klang. Bomoh itu memberikan dia sepotong ayat yang berbunyi seperti ayat Al-Quran. “Ayat yang diselewengkan itu memberikan keyakinan kepada peniaga itu bahawa bomoh itu menjalankan perubatan tradisional secara Islam.

Apabila diamalkan setiap hari, perniagaan juga semakin hari semakin maju. “Namun peniaga itu berasa pelik kerana keuntungan yang sepatutnya besar hanya tinggal separuh sahaja. Kalau dia menolak kos, keuntungan yang sepatutnya mencapai RM3,000 hanya tinggal RM1,500 sahaja,” cerita Hamdan.

Wanita itu juga memberitahu bahawa dia tidak boleh melupakan ayat yang diberikan bomoh berkenaan dan semasa diberikan ayat itu, dia begitu mudah untuk menghafalnya.

No comments: