Friday, July 11, 2008

Mesej pakaian dalam


SEBANYAK 67,000 pakaian dalam digantung di kawasan lapang.

BIASANYA, pakaian dalam berperanan sebagai satu produk yang melindungi anggota tubuh wanita. Sejajar peredaran zaman, pakaian dalam telah dipelbagaikan reka cipta, pilihan warna dan corak yang sekali gus memberi nilai tambah kepadanya. Ia juga boleh menjadi lambang kepada kesedaran orang ramai terhadap penyakit kanser. Justeru, muncul aktiviti yang menggunakan produk ini untuk mengumpul derma.

SEORANG pelancong merakamkan foto pakaian dalam yang pelbagai.


Inisiatif aneh sebuah stesen radio yang berpangkalan di Kanada ini boleh menjadi contoh dalam membangkitkan kesedaran orang ramai terhadap penyakit kanser. Ia dianjurkan oleh Pertubuhan Kanser Payu Dara Quebec.


INISIATIF aneh ini sempena memberi kesedaran kanser payu dara.

Stesen ini telah mengumpul kira-kira 67,000 baju dalam dan menggantungnya di sebuah kawasan lapang yang terletak berhampiran dengan Pelabuhan Montreal, Kanada.Koleksi baju dalam ini adalah sumbangan masyarakat setempat dan selebriti terkenal bagi merealisasikan misi pertubuhan tersebut dalam membawa kesedaran tentang kanser payu dara dalam kalangan wanita tempatan. - JEGATHESWARY NARAYANAN

Kunci Kejayaan Duniawi dan Ukhrawi

Assalamualaikum dan salam sejahtera.

Dalam tips motivasi kali ini saya akan berkongsi dengan Anda 10 kunci kejayaan di dunia dan akhirat. Kata lain, faktor yang menentukan kejayaan kita. Tips ini sudah lama dalam simpanan saya, kini tibalah masanya untuk dikongsikan bersama Anda.Kekadang dalam mengejar kecemerlangan, ramai di antara kita terperangkap dalam 'kepompong' diri, maksudnya tidak tahu cara untuk melepasi self-limits atau batasan diri yang tak ternampak oleh kita, namun dinampak oleh orang lain seperti kawan rapat kita, ahli keluarga, pensyarah, guru ataupun sahabat kita.Orang-orang yang mampu melintasi self limits atau batasan diri ini sebenarnya mengetahui kunci-kunci untuk membuka pintu kejayaan dunia dan akhirat.

Dr Fadzilah Kamsah memangggil apa yang saya tulis ni sebagai "Menerobos Sempadan Diri". Buku motivasi tulisan Dr Fadzilah Kamsah dengan tajuk tersebut dah habis saya baca dan saya juga telah mempraktikkan beberapa tips motivasi yang diajarkan oleh Dr Fadzilah Kamsah bagi meransang kecemerlangan diri saya.

Di bawah ini adalah senarai 10 kunci kejayaan dunia dan akhirat :

1. Kunci ilmu ialah bertanya dan mendengar
2. Kunci kemenangan ialah sabar
3. Kunci tambahnya nikmat ialah perasaan bersyukur
4. Kunci keselamatan dunia dan akhirat ialah takwa
5. Kunci untuk termakbulnya permintaan adalah doa

6. Kunci maksiat adalah kesombongan
7. Kunci solat ialah taharah
8. Kunci ibadah haji adalah ihram
9. Kunci kebaikan adalah berpegang kepada yang benar
10. Kunci syurga adalah tauhid.

Gunakan 10 kunci ini untuk merasang perubahan diri ke arah kecemerlangan !

Tips Motivasi Paling Asas Dari Al Quran

Tips motivasi dari Al Quran adalah salah satu siri tips motivasi yang saya tulis di blog ini.

Firman Allah yang bermakud :

"Wahai orang-orang yang beriman, rukuklah, sujudlah dan abdikanlah dirimu kepada Tuhan kamu dan kerjakanlah kebaikan semoga kamu mencapai kejayaan." (surah Al Hajj ayat 77).

Allah memberitahu kita bahawa petua kejayaan yang paling efektif, paling berkesan dan yang paling ampuh adalah dengan taat mematuhi segala perintahnya. Kita amat dianjurkan agar rajin mengerjakan pelbagai ibadah yang membuat perhatian Allah tertumpu pada diri kita.Dengan mendekatkan diri dengan Allah, rajin menjaga sembahyang dan istiqamah dalam ibadah-ibadah lain dapat membuka kunci kepada pintu-pintu kejayaan sama ada dalam pelajaran, kerjaya mahupun perniagaan.

Allah pemilik rezeki, rahmat dan limpahan nikmat. Untuk membolehkan Anda berubah menjadi cemerlang, dekatkan diri kepadanya, sedekat yang mungkin agar limpahan rezeki, rahmat dan nikmat tu mengalir ke dalam hidup Anda.Setelah itu, rajin-rajin berdoa agar Anda sentiasa dibukakan pintu kemurahan rezeki serta diberikan petunjuk menuju kejayaan. Insya Allah, bila istiqmah berdoa, kesannya akan nampak.Untuk tips motivasi kali ini, dalam apa jua yang Anda lakukan, mulakan dengan bacaan Bismillah dan niatkan sebagai ibadah agar apa yang Anda usahakan berhasil dan apa jua yang Anda targetkan dapat dicapai, secemerlang yang mungkin.Anda akan perasan munculnya semangat dan inspirasi dari dalam diri.

Lebih ngammm lagi bila ditambah dengan rasa bersyukur dan lafaz istighfar sebanyak yang mungkin!Bagi saya pula, setiap kali saya menulis blog, saya disiplinkan diri supaya berwuduk dan membaca Bismillah terlebih dahulu. Sejak dari sekolah menengah, petua ini diajarkan oleh bapa saya supaya ia dapat membersihkan hati lalu membuat idea datang mencurah-curah.

Petua tu selalu saya pakai tiap kali menjawap periksa atau time study.Doa saya untuk Anda, moga Anda sentiasa dilimpahi rahmat dari Allah dan moga Anda beroleh kecemerlangan dalam akademik, kerjaya, keluarga dan kewangan.Ubah mindset Anda, tekadkan usaha, fokus untuk menjadi cemerlang hari ini juga!.

Motivasi Ada Di Mana-mana

Moga memulakan hari dengan penuh bersemangat dan penuh motivasi. Saya sungguh bersemangat hari ini.

Ramai dari kita asyik turun naik motivasinya. Tapi, tahukah Anda, motivasi ada di mana-mana? Ia ada di depan mata, cuma Anda yang tak nampak.

Motivasi tak naik-naik sebab Anda tidak ada sesuatu yang boleh menjadi penyuntik motivasi. Kita perlu bijak menafsirkan sekeliling lalu mencari motivasi tersirat di dalamnya.

Bagi saya, di waktu pagi saya menjadikan kerajinan orang lain yang saya lihat sebagai penyuntik motivasi. Mereka terdiri dari golongan rendah, yang menjadi tukang sapu, tukang potong rumput, drebar bas, pemandu lori dan penjual kuih. Saya benar-benar kagum dengan kerajinan mereka kerana mereka bangun bekerja di awal subuh semata-mata nak mencari rezeki.

Di waktu tengahari, saya menjadikan orang-orang professional dan yang berjaya sebagai penyuntik inspirasi. Setiap kali melihat mereka berpakaian kemas, segak dan berjalan dengan penuh yakin, saya jadi cukup bersemangat bekerja!.

Sebelum tidur, mengingat Anda sebagai pembaca blog ini membuat saya tak kering dengan curahan idea, terutama di kala sunyinya malam. Terus terang, tiap kali mengingat Anda dan bila timbul keinginan nak buat orang jadi bersemangat, idea mengalir deras!

Mulai saat ini, Anda perlu berubah. Cari apa yang dapat memotivasikan Anda dan apa yang dapat menjadikan Anda kekal termotivasi.

Ia mungkin benda, perkara, sesuatu, orang, situasi atau peristiwa. Cari saja, Anda akan jumpa.

Motivasi ada di mana-mana, ada pentunjuknya, cuma Yang Maha Esa mahu kita berfikir dahulu, baru dapat menggali motivasi tersirat yang banyak tersimpan di alam semesta ciptaannya. Bila kita mengingat kejayaan-kejayaan orang lain yang pernah kita lihat, baca atau ternampak, ia juga boleh membuat kita bermotivasi.

Pilih salah satu cara dan sesuaikan dengan diri Anda.

Hidup perlu ada motivasi, baru ada prestasi!!

Bagaimana Nak Berjaya Walau Banyak Cabaran

Salam, apa khabar Anda hari ni? Untuk entry post motivasi, saya berkata tentang bagaimana kita nak berjaya walau terlalu banyak cabaran, halangan, dugaan dan kegagalan. Satu topik yang paling saya suka ialah kegagalan, sebab dari pengalaman sendiri, saya banyak berdepan kegagalan. Terus terang saya katakan, bangkit dari kegagalan bukan senang.

Untuk mencapai kejayaan walaupun menempuh beribu dugaan, pertama sekali Anda perlu tahu apa yang Anda nak capai. Untuk ke arah itu, Anda perlu ada impian dan matlamat yang nak dituju. Tanya diri apa makna kejayaan pada diri Anda? Adakah nak berjaya sebagai seorang pelajar cemerlang, usahawan muda cemerlang, eksekutif muda cemerlang atau blogger bermotivasi yang cemerlang?

Kedua, persiapkan diri, bersedia untuk berdepan dengan cabaran dan sanggup bangkit dari kegagalan. Anda kena kentalkan hati dan bulatkan tekad. Selagi matlamat Anda tak tercapai, selagi tu Anda kena rajin berusaha, serajin yang mungkin, bekerja sekuat yang mungkin. Lakukan apa saja cara halal untuk membuat matlamat Anda tercapai.

Ketiga, kurangkan mengkritik diri sendiri bahkan elak dari buat begitu. Sebaliknya, beri kata-kata semangat pada diri sendiri. Jangan membandingkan diri Anda dengan orang lain tapi cabar potensi diri untuk menjadi maju, semakin maju dan terus maju dari yang sebelumnya. Kalau dilukis graf, biar ia naik menceracak ke atas.

Bila bangun pagi, letak azam mahu jadikan hari ini lebih baik dari yang kemarin.

Bila nak masuk tidur, set dalam minda yang Anda mahu jadikan esok lebih baik dari yang hari ni. Cara sebegini berkesan pada diri saya. Hasilnya, setiap pagi saya bangun dengan azam yang membara!.

Ubah A.S.K. Ke Arah Kecemerlangan

Tahukah Anda, untuk mencetus perubahan diri ke arah kecemerlangan, terlebih dahulu Anda perlu merubah A.S.K.Ia bermaksud merubah Attitude, Skill, Knowledge. Ubah attitude Anda kepada yang lebih positif, lebih baik dan lebih cemerlang.Ubah skill Anda. Sekarang ni skill Anda mungkin biasa-biasa saja. Untuk berubah menjadi cemerlang, Anda kena pelajari lagi skill baru, kemahiran-kemahiran baru lalu mempraktikkannya.Selepas itu, Anda juga kena ubah knowledge Anda, kasi 'upgrade'. Maksudnya, menambah pengetahuan yang sedia ada.

Orang-orang yang cemerlang, jarang berpuas hati dengan pengetahuan yang mereka ada sekarang ni, tapi menjadi orang yang dahagakan ilmu, cintakan ilmu dan suka mencari ilmu pengetahuan.Bak kata orang, knowledge is power! Anda akan jadi lebih power bila Anda mempraktikkan apa yang Anda tahu.Mulai hari ini, muhasabah diri Anda. Nilai diri, adakah attitude Anda sudah positif sepenuhnya, adakah skill Anda sudah mantap dan semakin mahir serta tanya diri Anda, adakah Anda sudah banyak pengetahuan tentang bidang yang Anda ceburi.Setelah menilai, cetus perubahan dengan merubah attitude (pemikiran), skill (kemahiran) dan knowledge (pengetahuan) ke arah yang lebih baik.

Moga Anda menjadi insan cemerlang, secemerlang yang mungkin, mencapai kejayaan sejauh yang mungkin, setinggi yang mungkin!.

Mendidik Anak Cara Rasulullah

Apa khabar anda hari ini? Moga-moga anda sentiasa dalam keadaan yang terbaik untuk terus menjalankan tanggungjawab sebagai ibu bapa yang terhebat. Jika anda belum berumahtangga elok juga mula mempersiapkan diri dengan pelbagai ilmu untuk menjadi ibu bapa mithali tidak lama lagi.

Untuk menjadi ibu bapa yang hebat memerlukan kita mempunyai ilmu. Biasakan kita dengar orang berkata... "alangkah baiknya kalau setiap anak yang lahir itu keluar bersama-sama manual bagaimana untuk mendidiknya... yealah macam buku panduan mengendalikan TV atau komputer tu...". Kalau lah macam tu tentu mudah, bukan? Tetapi realitinya tidak begitu.

Rasulullah s.a.w pernah bersabda yang kira-kira maksudnya... setiap anak itu dilahirkan seumpama kain putih. Ibu bapalah yang bertanggungjawab mencorakkannya. Malah seorang pakar psikologi kanak-kanak (saya lupa nama dia... nanti kena buka balik buku suami saya "Children Physcology") ada mengeluarkan kenyataan yang selari dengan sabda Rasulullah. Kata beliau... "berikan kepada saya 10 orang bayi yang sihat... dan saya akan jadikan mereka Peguam, Doktor, Pencuri atau Peminta Sedekah".

Moralnya di sini kanak-kanak mampu dibentuk menjadi apa sahaja... dan kita sebagai ibu bapa bertanggung jawab membentuknya. Jika si anak berjaya menjadi insan cemerlang, ibu bapalah yang menjadi pengaruh besar kepada kejayaannya. Dan jika si anak berperangai "tidak serupa orang" maka ibu bapa jugalah yang pertama sekali perlu dipertanggungjawabkan.

Kenapa saya katakan begitu? Sebab mengikut kajian para ulama dan pakar mendapati lebih 70% keperibadian anak-anak sebenarnya dipengaruhi daripada apa yang dia lihat dan belajar dari ibu bapanya. Selebihnya barulah kesan dari pengaruh-pengaruh lain di sekitarnya. Cuba rujuk buku "21 Kaedah Mendidik Anak Cemerlang" dan "Menangai Anak Bermasalah" tulisan Dato' Dr. Mohd Fadzilah Kamsah untuk rujukan lanjut.

Bila berbicara tentang peranan kita sebagai ibu bapa... ramai mempunyai pandangan dan pendapat sendiri. Ada yang berpendapat kita perlu sangat tegas kepada anak sehingga dengan "menjegilkan" mata pun sudah cukup membuat anak "menikus". Ada pula yang merasakan pendekatan secara lembut dan "reasoning" lebih berkesan. Apa pun pendapat yang diberikan saya lebih suka berpandukan langkah yang digariskan oleh Rasulullah s.a.w yang menyatakan ada empat tahap mendidik anak iaitu:

  • TAHAP PERTAMA - Anak yang baru lahir sehingga mumayyiz (~6 tahun). Hendaklah kita banyak bergurau dan membelai mereka dengan penuh kasih sayang.
  • TAHAP KEDUA - Anak berumur 7 tahun sehingga baligh (~14 tahun). Hendaklah kita mendidik mereka dengan arahan, displin dan beri tanggungjawab.
  • TAHAP KETIGA - Anak berusia 15 tahun hingga dewasa (~21 tahun). Hendaklah dididik dengan cara berkawan, bertukar pendapat dan hormati pendapat mereka selagi tidak bertentangan dengan syariat.
  • TAHAP KEEMPAT - Anak berusia lebih daripada 21 tahun. Hendaklah para ibu bapa memberi mereka kebebasan bertindak selagi tidak bertentangan dengan syariat. Ibu bapa hanya perlu bertindak sebagai penasihat agar segala tindakan mereka terkawal.

Begitulah pendekatan yang digunakan oleh junjungan besar kita. Malah kita semua sedia maklum bahawa Rasulullah s.a.w merupakan seorang insan yang sangat-sangat kasihkan kanak-kanak.

Kesimpulannya... lengkapkan diri kita dengan ilmu untuk menjadi ibu bapa yang terbaik untuk "amanah Allah" yang telah dikurniakan kepada kita. Ia boleh ditimba melalui buku-buku, kursus keibu bapaan, belajar dari pengalaman orang terdahulu dan pelbagai sumber lain. Peningkatan ilmu ini perlu sebagai pelaburan anda untuk melindungi dan menyuburkan aset paling berharga... iaitu anak anda.

Yakin dan percayalah... anak yang cemerlang lahir dari ibu bapa yang cemerlang juga, insyaAllah.