Sunday, June 29, 2008

Anwar kreatif cipta kontroversi – Khairy

(Sumber Utusan Malaysia) TEMERLOH 29 Jun – Naib Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin menyifatkan Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim seorang ahli politik yang `kreatif’ dalam meraih simpati masyarakat terhadapnya.

Katanya, bekas Timbalan Perdana Menteri itu sanggup melakukan apa sahaja taktik untuk menarik perhatian masyarakat kononnya nyawanya terancam.‘‘Saya sendiri tidak menolak kemungkinan Anwar sendiri yang menyuruh pembantunya itu membuat laporan polis dan ini adalah satu taktik konspirasi beliau untuk meraih simpati orang ramai,” kata Khairy.Beliau berkata demikian kepada pemberita semasa menghadiri perjumpaan dengan ahli-ahli Pemuda UMNO Bahagian Temerloh, di sini hari ini.Beliau mengulas laporan akhbar mengenai tindakan seorang pemuda yang membuat laporan polis mendakwa dia diliwat oleh Anwar di ibu negara.

Pemuda berusia 23 tahun itu dan merupakan pembantu khas kepada Anwar telah membuat laporan di Balai Polis Travers pada pukul 5.45 petang Khamis lalu.‘‘Kononnya nyawa (Anwar) diancam, Anwar kini berlindung di Kedutaan Turki dan taktiknya bersembunyi di kedutaan asing mengiyakan pandangan sesetengah pihak selama ini beliau bersekongkol dan bekerjasama dengan kuasa asing.‘‘Sepatutnya, jika benar nyawanya terancam, Anwar hendaklah membuat laporan polis dan bukannya berselindung di kedutaan asing di negara sendiri,” kata beliau.
Sehubungan itu, beliau meminta orang ramai supaya tidak mudah percaya dengan taktik tersebut dan sebaliknya biarlah polis membuat siasatan mengenai dakwaan tersebut.

Otak-otak Che Wan - Otak-Otak Kemaman

Otak-otak Che Wan dijual hampir 5,000 keping sehari. Kerana kelainan rempah dan isi ikan yang segar, pelanggan datang seawal pukul 12 tengah hari biarpun ia hanya dibuka 2 petang.




PERTAMA kali dibawa ke warung Otak-otak Che Wan di Pantai Teluk Mak Nik, Kemaman, Terengganu, mata membuntang melihat longgokan 'sarung' otak-otak yang ditinggalkan pelanggan di atas meja.Ada kira-kira 20 buah meja di warung ini, tiada satu pun yang kosong. Jam di tangan baru menunjukkan pukul 4.30 petang. Niat hati untuk membeli dan membawa balik otak-otak yang menjadi kegemaran ramai itu juga dikecewakan."Maaflah dik. otak-otak sudah habis. Satar pun dah tak ada. Adik cubalah mi calong kami," pujuk salah seorang pekerja restoran itu.


RESIPI rempah otak-otak Che Wan yang kini menjadi sebutan merupakan inisiatif Tengku Sulong, seorang keturunan kerabat diraja Terengganu.

Alasan datang dari jauh iaitu Kuala Lumpur tidak dapat menyelamatkan keadaan. Bukan tidak mahu menerima cadangan itu, tetapi teringin benar mengetahui punca 'kegilaan' orang ramai terhadapnya.Menjenguk ke gerai otak-otak yang berbaris di sebelah kiri dan kanannya, suasana tidak semeriah restoran ini. Pelanggan datang bertali arus dan tidak pernah putus."Kami bukan tidak mahu menambah stok tetapi menyediakan 5,000 keping otak-otak sehari sungguh memenatkan. Bukan sekadar membakar, tetapi proses pembuatan melibatkan penyediaan rempah, isi ikan dan membungkusnya."Itu belum termasuk menyediakan 3,000 bungkus satar dan memenuhi tempahan daripada luar," jelas pengusaha otak-otak jenama Che Wan, Che Wan Sainah Che Wan Aziz, 47.Mula beroperasi dari pukul 2 petang hingga 7 malam setiap hari, kunjungan krew EKSTRA ke restoran itu bagaimanapun menyaksikan pelanggan datang seawal 12 tengah hari.

CHE WAN SAINAH berharap produknya boleh diedar ke luar negara suatu hari nanti.


"Kalau pelanggan datang terlalu awal, kami juga terpaksa menolak kerana bekalan otak-otak dan satar hanya akan dihantar ke sini pada pukul 2 petang," kata Sainah.Wanita ini menggunakan khidmat orang kampung untuk membungkus otak-otak dan satar di rumah masing-masing.Saya dapat melihat bagaimana sebuah bas yang dipenuhi pelancong asing 'dikecewakan' kerana mereka datang satu jam lebih awal dari waktu operasinya.Menurut Sainah, kelainan otak-otak Che Wan terletak pada rempahnya yang dihasilkan sendiri berbanding kebanyakan peniaga lain yang mendapatkan rempah daripada pengeluar tertentu. Ikan yang digunakan pula ialah ikan tenggiri yang segar dan terpilih."Sebanyak 16 kilogram ikan tenggiri digunakan untuk menyediakan semaksimum 5,000 keping otak-otak sehari. Semua kerja penyediaan dilakukan secara manual termasuk untuk mengasingkan isi ikan daripada tulangnya," jelas Sainah.


ANAK-ANAK berusia seawal 10 tahun tidak melepaskan peluang memeriahkan aktiviti di restoran yang sentiasa sibuk ini.


Malah untuk mengawal kualiti Sainah, memastikan tiada lebihan otak-otak semalam dijual kepada pelanggan pada keesokan harinya.

Katanya, biarlah 35 sen yang dibelanjakan pelanggan untuk setiap keping otak-otak itu berbaloi dan diingati setiap kali berkunjung ke Kemaman.Mendapatkan bekalan ikan daripada dua pembekal tetap, 100 kilogram ikan tenggiri diperlukan untuk memenuhi keperluan pembuatan otak-otak selama empat hari dan 100 kilogram ikan 'satar' untuk keperluan membuat satar sehari."Dengar seperti banyak tetapi daripada 100 kilogram itu, hanya 30 kilogram isi ikan satar yang dapat diperoleh," ujar Sainah.Tatkala daun kelapa yang garing terbakar dikopek, aroma rempahnya menyusup rongga hidung, galak merangsang perembesan jus gaster di dalam perut.


PELANGGAN datang mencari otak-otak dan satar seawal pukul 12 tengah hari.


Keasyikan menikmati isi ikan bersalut rempah ini bagaikan tidak berpenghujung, malah boleh membuatkan seseorang itu ketagihan.Patutlah pengunjung tidak segan untuk menempah hidangan tambahan sehingga berlonggok sarung otak-otak di atas meja!

Terlibat dalam perusahaan ini sejak 28 tahun lalu, Sainah berkongsi perkembangan perniagaan keluarganya ini.Menurut beliau, otak-otak yang dijual ini sebenarnya diperturunkan oleh dua generasi terdahulu.

"Sewaktu zaman mak saya, kami hidup susah. Kami daripada keluarga nelayan walaupun datuk saya, Tengku Sulong, ialah daripada keturunan kerabat diraja Terengganu. Saya pernah menolong mak membakar otak-otak di atas tanah dan menjajanya di Kampung Tengah, Kemaman."Berbekalkan modal RM40, mak dan ayah buka kedai dan berhutang dengan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) untuk menyewa tapak kedai."Hendak buat pinjaman dengan bank, kami tidak ada apa-apa untuk dicagarkan. Keuntungan kami pada waktu itu hanyalah RM15 sehari," kenangnya.Sepanjang membesar, Sainah tidak pernah berhenti membantu ibu dan bapanya mengusahakan kedai mereka. Mempelajari kesusahan itu, keluarganya bagaikan dilatih untuk berjimat cermat sehingga membolehkan mereka menyimpan sebanyak RM300 sebulan.


MI calong buatan Che Wan Nik menambah daya tarikan restoran ini.


"Pada waktu itu kami simpan duit di bawah bantal saja," tambah anak ketiga daripada tujuh adik-beradik ini.Pada tahun 1994, sebidang tanah dibeli di Pantai Teluk Mak Nik pada harga RM26,000. Tidak ada barang kemas di badan, mereka berhabis RM50,000 pula untuk membuka restoran yang pada hari ini menjadi destinasi sesiapa saja yang singgah di Kemaman.Restoran yang berupa seperti sebuah medan selera ini bukan sekadar menjual otak-otak dan satar tetapi turut menghidangkan mi calong, nasi air, sotong celup tepung, pais, dan produk berasaskan ikan yang lain seperti keropok keping dan ikan kering.Menariknya, setiap produk yang ditawarkan dikendalikan oleh individu yang merupakan ahli keluarga Sainah sendiri.

Suami Sainah, Alias Jambol, 50, seorang bekas kakitangan Jabatan Perikanan Kemaman, membantunya menyediakan dan membakar otak-otak. Kakak iparnya, Che Wan Nik Che Wan Long, merupakan pengusaha mi calong, mi kari dan nasi air yang cukup enak dan istimewa kerana menggunakan resipinya sendiri.Sotong dan ikan goreng yang berbalut tepung rangup dan berempah juga menggunakan resipi ciptaan adik angkat Sainah, Sharifah Mazlina Syed Sohor.

Pais, ikan yang dikukus bersama sambal, yang dinikmati bersama pulut daun palas dan merupakan resipi ibu Sainah, Tuan Senong Tuan Hitam, kini dipraktik anak sulungnya, Shamrol Izrat, 29.Kaunter air pula diusahakan Sainah sendiri sementara gerai produk berasaskan ikan merupakan idea adiknya, Che Wan Sujuha.Hanya adiknya yang keempat, Che Wan Salmi berhijrah ke Kuala Lumpur dan mengusahakan Restoran Ulik Mayang yang terletak di Gombak, Selangor.

Monday, June 23, 2008

Asal Usul Nama Terengganu

Setakat ini terdapat beberapa cerita yang dikaitkan dengan negeri Terengganu. Nama Terengganu itu dikaitkan dengan "Terangnya ganu", "Taring anu", dan Terengan nu". Kisah asal nama Terengganu ini melibatkan penduduk luar Terengganu iaitu penduduk Kelantan dan Pahang. "Terengnya ganu" ini dikaitkan pula dengan peristiwa beberapa orang pelayar Kelantan tiba di Kuala yang kini dipanggil Kuala Terengganu melihat pelangi dilangit. Mereka pun menyatakan "Teren sungguh ganu di sini". Apabila pulang ke Kelantan mereka menyatakan di negeri jiran sungguh "terang ganunya". Sementara itu "Taring anu" dikatakan berasal daripada cerita yang dikisahkan oleh Sultan Terengganu yang kesembilan, Baginda Omar ( 1839 - 1876 ). Sebelum wujud nama negeri Terengganu, satu rombongan Pahang datang memburu di kawasan hulu. Apabila mereka tiba di satu tempat ( kini dikenali dengan Sungai Terengganu Mati ), salah seorang daripada rombongan itu berjumpa sebatang taring. Beliau pun bertanya kepada temannya, taring apa? Salah seorang daripadanya menyatakan "taring anu" kerana dia tidak dapat mengingatkan nama taring tersebut. Tidak lama kemudian, diantara mereka dalam rombongan ini dapat memburu seekor rusa. Apabila dibawa pulang ke tempat mereka berkhemah, salah seorang daripada mereka bertanya tempat rusa itu diburu. Mereka yang berkenaan menyatakan berburu di "Taring anu". Begitu juga apabila membawa pulang kayu gaharu dan ditanya tempatnya, mereka menyatakan di"Taring anu". Lama kelamaan dikenali dengan Terengganu. Terdapat dua kisah asal nama Terengganu yang melibatkan penduduk tempatan. Walaupun kisah "Taring anu" tetapi peristiwa ini berlaku di tempat lain ( bukan di hulu ) dan melibatkan penduduk tempatan. Kisah ini menyatakan yang "Taring anu" berasal daripada sebatang taring sebesar gading gajah dijumpai di sebuah pulau ( kini dikenali sebagai Pulau Duyung ) berhampiran Kuala Sungai. Ketua pulau tersebut menyembahkan kepada raja "taring anu tuanku". Dengan itu kuala sungai itu disebut sebagai Kuala Sungai Taring anu. Kemudiannya Kuala Sungai Terengganu. Sebuah kisah lagi berkait dengan salah sebuah sungai yang bernama Sungai Terengan. Dipercayai pada zaman silam sudah ada penduduk di sini. Mereka berulangalik menggunakan kedua-dua sungai ini. Oleh itu jika mereka bertolak dari Kuala Terengan, mereka akan menggunakan sama ada Sungai Terengan atau Sungai Kerbat. Jika ada di antara mereka bertanya hendak ke mana? Mereka akan jawab sama ada ke "Terengan ni" atau "Terengan nu". Dengan itu lama kelamaan muncullah Terengganu.

Bukit Datu (DATU/Beijing), Kg. Tirok

Bukit Datu (DATU/Beijing), Kg. Tirok
mulai tahun 1500 hingga 1700M
Perahu Besar - 1690M

Dalam lingkungan 1500M, keturunan anak kapal Armada Cheng Ho ini berasal dari Kawasan Selatan Negeri Hokkien Cina, berhijrah (Lampiran 0) kemuara Sungai Terengganu, Sungai Telemong dan Sungai Nerus untuk menerokai bidang pertanian. Penempatan awal Orang Hokkien ini dengan membuka kawasan tanaman dan berkampung di Bukit Datu1 (Da-Tu), Losong2 (Lok-Song), Cepoh3 (Kawasan Tanaman Tebu), Pulau Babi/Pulau Bahagia, Kg. Cina Hak4, Kuala Telemong, Kg. Palem, Bt. Tadok, Tirok5 (Tempat Bela Khinzir) dan Sanpokang6 (Sungai Nerus) terutama di Tepoh. (Lampiran P)

Mereka mendirikan sebuah Tokong sebagai memperingati Laksamana Cheng Ho di Jeram, Sungai Nerus (Lampiran Q). Semasa mereka memberi penghormatan kepada Cheng Ho majlis itu tidak mengguna daging khinzir.

Di Bukit Datu, banyak Kubur Cina dengan Batu Nisan pada Zaman Dinasti Ming telah ditemui pada tahun 1968M dan kubur ini telah diratakan dan kawasan ini telah dimajukan menjadi Taman Perumahan. Bagaimanapun terdapat juga sebuah Batu Nisan Kaum Cina yang bertarikh 1743M untuk Keluarga Choo yang bernama Choo Chee Wu. Choo Chee Wu ini telah dilahirkan lebih kurang 1656M dan dianggap sebagai Ketua Pekan Bukit Datu. Beliau mempunyai 8 orang anak lelaki.

Sekitar 300 - 500 tahun dahulu di zaman penempatan awal ini, orang cina belajar memakai kain sarung dan memakan makanan mengikut cara Kaum Melayu dan mereka juga belajar menulis dalam tulisan jawi. Komuniti ini dikategorikan sebagai Peranakan Terengganu. Sebahagian mereka sudah di asimilasikan terutama di Kuala Telemong.

Orang Cina di zaman penempatan awal di Kawasan Kuala Terengganu menjalankan perniagaan dengan pedagang luar terutama pedagang dari Selatan Negara Cina iaitu Negeri Hokkien, Canton dan Pulau Hainan. Mengikut catitan Buku Dinasti Qing "Qing Chao Tong Tain"8 yang ditulis oleh Pegawai Kerajaan dan buku-buku lain juga menjelaskan bahawa Komuditi yang diniagakan adalah hasil tempatan terutama lada yang merupakan hasil yang paling terkenal iaitu emas pasir, kayu cendana, gaharu, kapur barus, hasil laut dan juga sarang burung. Manakala barangan Negara Cina adalah seperti cha, porselin, kain, kertas berwarna dan lain-lain. (Lampiran R)

Mengikut catitan Sejarah Cina Malaysia yang ditulis oleh Choo Zi Cun, padaTahun 1683M, Panglima Cheng Seng Gong10 yang telah mempertahankan kuasa Dinasti Ming telah ditewaskan oleh askar Kerajaan Dinasti Qing. Pada masa itu kuasa Dinasti Qing dipegang oleh Maharaja Sheng Tzou-Kang See11 telah mentadbir selama 61 tahun semenjak 1644M sehingga 1664M. Pengikut-pengikut Cheng ketika itu lebih kurang 3,000 orang. Mereka telah meninggalkan Pulau Taiwan dan lari ke Laut Cina Selatan dengan 9 buah Kapal Perang. Dalam m/s 5, catitan Sejarah Cina Malaysia ini menyebut bahawa 3 buah kapal perang ini sampai ke Melaka. Berdasarkan itu berkemungkinan ada juga yang sampai ke Kuala Terengganu. Sumber ini boleh dilihat dengan adanya Pembinaan Perahu Besar di Terengganu yang serupa dengan Kapal Perang / Kargo Dinasti Ming. Ketika itu kegiatan pembinaan telah bermula di Pulau Duyung dan Bukit Datu.

Pada tahun 1684 M, Kerajaan Qing telah membatalkan sekatan untuk menghadkan rakyat ke luar Negara. Oleh itu bilangan orang Cina yang bertempat di semenanjung bertambah.

Lokasi Penempatan Awal Komuniti Cina Terengganu

Lokasi Penempatan Awal Komuniti Cina Terengganu

A) Sg. Besut
1)Kuala Besut
2)Jerteh
3)Pasir Akar
4) *Kg. Keruak * sudah berkurang atau telah di asimilasikan.
B) Sg. Setiu
5) *Setiu Lama (dipukul ombak)
6)Kg. Fikri
7)Bandar Permausuri (Kg. Buluh)
8) *Kg. Seladang
9) *Penarik, Kg. Mangkok
10)Sg. Tong, * Paloh Cina, * Pengkalan Kiat
C) Sg. Merang
11)Merang
D)12)Batu Rakit
E)13)Telipot
F) Sg. Terengganu, Sg. Nerus(Sanpokang), Sg. Telemong, Sg. Berang
14)Kg. Cina (Lampiran V), Kg. Tiong
15)Kg. Datu, Pengkalan Arang, Losong
16)Kg. Tepoh
17)Kg. Baru Pulai
18) *Kg. Cina Hak
19) *Pulau Bahagia/ (Pulau Babi), Kg. Cepoh
20)Tirok
21) *Kuala Telemong
22)Kg. Pelam (Kg. Hainan / Hailam)
23) *Bt. Tanduk
24) *Kg. Cerang Cina
25)Bukit Payong
26)Kuala Berang / (Fo-Lo-Ann)
27) *Kg. Kuala Por
28) *Kg. Bukit Bieu
G) Sg. Marang
29)Marang
30) *Kg. Telaga Cina
31)Bukit Diman
32)Ajil
33)Wakaf Tapai
H) Sg. Mercang
34)Kg. Mercang
I) Sg. Dungun
35)Kuala Dungun (Kua-Du-Kun)
36)Jerangau, * Ladang Chua Heng Kee, * Kg. Wa
37) *Kuala Jengai, * Kg. Lubuk Nanyang, *Kg. Talung
38) *Pasir Raja
39)Batu Lima
J) Sg. Paka
40)Paka
41) *Satong
42) *Kg. Luit
43) *Bkt. Besi
44) *Kg. Kongsi (Perlombongan Biji Timah)
K) Sg. Kerteh
45)Kerteh
L) Sg. Tumpai
46)Kemasik
47)Kg. Air Jernih (Kg. Hainan/Hailam)
M)48)Kijal
N) Sg. Kemaman, Sg. Tebak, Sg. Dalung, Sg. Burung, Sg.Jabur
49)Kg. Kemaman (Koli)
50)Cukai
51) *Kg. Ibok
52) *Kg. Yak Yah
53)Kg. Kubur Baru
54)Kg. Air Puteh
55) *Kg. Sg. Kuah
56) *Bukit Bandi (Berpuluh Ribu Keuntungan)
57) *Kg. Ban Ho
58)Jabur
59)Kg. Cina, Jabur


Nota :
* Orang Cina di Penempatan Awal ini telah berpindah ke tempat lain, bilangannya sudah berkurang atau telah di asimilasikan.

PENEMPATAN AWAL KOMUNITI CINA DI TERENGGANU

2,000 Tahun Dahulu
Dinasti Han Barat (206SM - 8M)
Negara Du-Kun () Negara Koli () Kua-Du-Kun ()/Kuala Dungun
Artifak Gendang Dong So'n () - 2,500 Tahun

Sebuah catatan Cina, "Han Shu" yang ditulis oleh Bangu ada menyebut pada zaman Dinasti Han Barat menyatakan bahawa Duta Han telah diarah belayar ke Wong Zhi 1 (India) dan pelayarannya bermula daripada Pelabuhan Hup-Pu 2 di Semenanjung Luizhou 3 di Negeri Kanton, Negara Cina. Mereka belayar ke Selatan dan mengambil masa selama 5 bulan untuk sampai kesebuah Negara yang bernama Du-Yuan 4. Selepas pelayaran Duta Han ini, beberapa buah buku lain juga ada mencatatkan mengenainya dengan ejaan yang berdekatan dengan nama ini seperti Du-Kun 5 "Tong Tain" 6 (m/s 188), "Tai Peng Ye Chang" 7 (m/s 888), Kua-Du-Kun 8 "Liang Shu, Fo Nam Chuan" 9 dan Kua-Du-Kan 10 "Nam Chuan Shu. Ling Yi Chuan"11. Ahli sejarah tempatan professor Kho Yuanqiao 12 berpendapat " Kua-Du-Kun" itu adalah Kuala Dungun (Lampiran E) .

Pada zaman Dinasti Song, buku "Tai Peng Ye Chang" yang ditulis oleh Lee Fang 7 ada mengatakan bahawa penduduk di Kua-Du-Kun seramai 2,000 orang yang berhijrah dari Daerah Chu Woo 13 di Negeri "Jenam" 14 (Vietnam) yang pada masa itu Negeri Jenam terletak dibawah jajahan Negara Cina. Mereka adalah petani dan berbangsa Han yang telah lari dari tempat asalnya kerana mereka tidak berpuas hati dengan Pegawai Kerajaan yang ketika itu sentiasa memaksa mereka membayar cukai yang terlalu tinggi dan mereka tidak mampu untuk membayarnya. Artifak Dong So'n 15 (Lampiran F) yang dijumpai di Kampung Batu Buruk dan Jerteh adalah barangan dari Negeri Jenam (Vietnam) yang pertukangannya berasal daripada Yun Nam di Negara Cina.

Pada ketika itu, sebuah Negara bernama Gouli 16 telahpun dicatatkan berkali-kali di dalam buku "Tong Tain" 6 (m/s 188) yang ditulis oleh Toh You pada zaman Dinasti Tang. Nama Koli/Coli seperti ini telah disebut oleh seorang penulis berbangsa Yunani /Greek iaitu Pegawai Perpustakaan di Pelabuhan Besar Alexandria (Iskandariah) di Negara Egpyt lama pada zaman Empayar P'Tolemy. Dalam bukunya "Alam dan Sejarah" yang dicatatkan sekitar abad pertama sebelum Masihi penulis berkenaan telah melakar petanya sekali. Semenanjung Tanah Melayu pada masa itu telah dikesani oleh pengembara Egypt (Mesir) sebagai Semenanjung Emas (Golden Chersonness). Peta tersebut menunjukkan Koli (Kemaman), Polimols (Terengganu) dan Terrha (Kuala Terengganu).

Nota :
(1) General P'Tolemy memerintah Egypt selepas Elexander The Great ( 384 - 323 SM ) meninggal dunia pada 323 SM.
(2) Semenjak 285 SM, P'Tolemy bersama-sama dengan anaknya yang menjajah Egypt seterusnya menubuhkan empayar P' Tolemy dan Ibu Kotanya dipindahkan Kepelabuhan Alexendria (Iskandariah).
(3) Maharaja P'Tolemy II telah mengembangkan perdagangan Negaranya ke Benua yang lebih luas hingga ke Asia Tenggara.
(4) Empayar P'Tolemy dirobohkan semasa Maharaja (Perempuan) Leopatria meninggal dunia pada 31 SM.
(5) Penulis berbangsa Greek (Yunani) ini bertugas di Perpustakaan Pelabuhan Alexandria mencatatkan laporan Pedagang dan Pegawainya yang balik dari Luar Negara. Dia Pernah mencatatkan perihal (Semenanjung Emas) Golden Chersonness.


CATATAN MENGENAI TERENGGANU

Semenanjung Tanah Melayu terletak di Kawasan pelayaran yang dikenali sebagai Laluan Sutera Maritim (Lampiran A) antara Negara Cina dan Timur Tengah dan laluan ini seringkali dilalui oleh kapal-kapal saudagar Cina, Arab, Parsi, dan India. Pada zaman silam, orang Cina belayar dengan berpandukan alat kompas yang telah dicipta pada Zaman Dinasti Qin (Lampiran B) sebelum Masihi. Manakala orang Arab pula belayar dengan berpandukan bintang-bintang di langit untuk mengetahui arah yang hendak ditujuinya. Terdapat beberapa buah catatan oleh penulis Cina ada menyebut mengenai nama dan perihal negeri-negeri lama di dalam buku yang berusia beribu tahun dahulu dan kini masih boleh dibaca dan difahami oleh kami semua. Buku-buku lama ini memberi banyak maklumat yang berharga dalam usaha mengkaji sejarah negara-negara lama di Semenanjung Melayu terutama Negeri Terengganu Darul Iman. (Lampiran C)

Catatan Cina yang paling awal ialah "Han Shu" 1 (Buku Dinasti Han yang ditulis Bangu). Nama tempat dinyatakan pada buku No.28 ialah Kua-Du-Kun (Kuala Dungun). Sebenarnya nama ini ada juga dinyatakan di dalam beberapa buah buku lain pada masa itu seperti "Wu Shi Why Kok Chuan" 2 (Kesan Negara Luar pada zaman Wu) "Fu Nam Yei Whu Chi" 3 (Catatan Barangan yang aneh di Funam), "Swee Chin Chuan" 4 (Kesan Swee Chin), "Pei Tang Shu Chow" 5 dan "Yee Wan Lui Chi" 6.

Pada zaman Dinasti Sui (581M - 618M) dan Dinasti Tang (618M - 907M) Negara lama Chih-Tu (Tanah Merah) di Kelantan, ada tercatat di dalam buku lama mengenai hubungan dengan Negara Cina pada zaman silam. "Chih Tu Kok Chuan" 7 (Hikayat Tanah Merah) mengandungi 1,700 perkataan yang menceritakan Negara Tanah Merah yang berjiran dengan Terengganu di Pantai Timur. Antara maklumatnya ialah mengenai lokasi, jarak pelayaran, masyarakat, sejarah ekonomi, kebudayaan alam sekitar, adat istiadat dan lain-lain dan catatannya agak menyeluruh pada zaman itu.

Buku-buku catatan di Zaman Dinasti Sui dan Dinasti Tang turut menyatakan mengenai Benua Terengganu yang boleh dibuat kajian. Antara buku-buku itu ialah "Sui Shu" 8 (Buku Dinasti Sui), "Tang Shu" 9 (Buku Dinasti Tang), "Tong Tain" 10 dan "Hikayat Tanah Merah" 7.

Pada zaman Dinasti Song dan Dinasti Yuan pula terdapat beberapa orang pengarang yang masyhur memberi maklumat secara lebih terperinci berkenaan dengan Benua Terengganu. Mereka adalah Chao Jukua11, Chau Chufei12, Chao Ganwai13, Tan Yuachan14, Chau Chichong15, Wang Tayuan16 dan lain-lain lagi. Pada masa itu Chao Jukua memegang jawatan penting iaitu Syahbandar Zaytun17 (Chuanchow). Beliau telah mengarang dan mencatatkan semua perkara di dalam bukunya "Chuan Fan Chi" 11 pada tahun 1225M. Penulis Chau Chufei12 mula menghasilkan bukunya yang bertajuk "Ling Wai Tai Ta"12, yang menyebut tentang nama Fo-Lo-Ann23 yang seringkali disebut dalam buku-buku lain (Lampiran D).

Catatan yang paling sempurna telah ditulis oleh Wang Tayuan dalam dua naskah bukunya bernama "Dau Yi Zhi Lue" 16 (Catatan Tentang Pulau-Pulau Lama) dan "Dau Yi Zhi" 16 (Catatan Tambahan Tentang Pulau-Pulau Luar). Pada ketika itu, Wang Tayuan adalah seorang pemuda yang minat mengembara. Beliau telah dua kali pergi keluar Negara selama 18 tahun, dan dia mencatat banyak perkara yang dilihat sepanjang perjalanannya. Negara-negara yang dilawati ialah Semenanjung Melayu, Filipina, Borneo, Jawa, Sumatera, India, Parsi, Laut Merah dan Afrika Timur. Negara-negara yang dia jelajahi pada masa itu adalah lebih daripada 220 buah negara. Antaranya Wu-Zi-Ba18 (Melaka), Tamalin19 (Tembeling), Peng-Heng20 (Pahang), Ci-Lan-Tan21 (Kelantan), Ting-Jia-Lu22 (Terengganu), Fo-Lo-Ann23 (Kuala Berang), Pai-Jia24 (Paka) dan lain-lain.

Di samping itu, Artifak yang telah dijumpai di Terengganu memberi satu bukti yang kukuh sekali mengenai sejauhmana hubungan antara Terengganu dengan Negara Cina.

Justeru itu kertas kerja ini akan mengumpas untuk perbincangan lanjut berhubung maklumat mengenai persejarahan Terengganu berdasarkan catatan yang terdapat pada buku-buku lama Cina dan artifak yang ada.