Friday, July 4, 2008

Cinta Dalam Pandangan ISLAM

"Kebelakangan ini kerap kita mendengar soalan tentang bolehkah sebenarnya bercinta dalam Islam, mungkin dek kerana terpengaruh dengan aluan nasyid nasyid longlai dan fatwa cinta di dalamnya, ramai pula orang ingin merasakan nikmat bercinta . Persoalan ini sebenarnya satu soalan yang agak sukar untuk dirungkai, apa lagi bagi orang yang tak punyai pengalaman .

Cinta boleh menjadi fitnah
Memang benar cinta itu adalah satu fitrah bagi semua manusia normal. Dan fitrah itu sesuatu yang suci. Maknanya cinta itu pada asalnya satu fitrah yang bersih, cuma bila dicemari oleh nafsu dan dicampurkan dengan perkara terlarang yang mendorong ke arah maksiat besar, fitrah
boleh berubah menjadi fitnah pula. Di antara tujuan diciptakan perasaan ini adalah untuk menguji perempuan dan lelaki, sepertimana firman Allah dalam surah Al-Furqan: (( dan kami telah jadikan sebahagian kamu dengan sebahagian yang lain fitnah, adakah kamu
melihatnya? Sesungguhnya Tuhanmu Maha Melihat )).

Seperti yang telah dinyatakan, Allah Taala telah menetapkan jalan yang halal mengikut syara' untuk memenuhi naluri fitrah ini iaitu melalui jalan perkahwinan, dan telah diharamkan segala jalan lain selain perkahwinan supaya manusia tidak terjebak dalam perkara haram
dan kotor yang dimurkai Allah Taala. Ini kerana manusia itu secara semulajadinya memang inginkan kepada keseronokan yang ditimbulkan oleh nafsu, dan syaitan pula akan sentiasa mengambil kesempatan mendorong mereka ke jalan nafsu yang menjadikan manusia hilang akal dan bimbingan diri.

Cinta itu boleh berubah menjadi satu fitnah bilamana ia dicampurkan dengan perkara perkara yang diharamkan oleh Allah Taala. Apabila larangan Allah diperlekehkan,nafsu lantas mengemudi hati, maka hilanglah rasa malu di dalam diri. Dek kerana itu, maka kebelakangan ini sering kita direntet oleh isu yang mengigit sukma lakunya. Antara perilaku sumbang yang semakin sebati dikalangan remaja hari ini.

1. Memandang kepada bukan mahram
Firman Allah di dalam surah an-Nur, ayat 30, mafhumnya: ((Katakanlah pada lelaki yang beriman: "hendaklah mereka menjaga pandangan dan memelihara kemaluan mereka, yang demikian itu adalah lebih suci bagi merekaa€¦).

Apabila pandangan melihat benda yang tidak elok, maka manusia akan terdorong untuk melakukan maksiat seperti zina. Oleh sebab itu, Allah telah mengharamkan memandang kepada wanita yang bukan mahram dengan sengaja, maksudnya dengan shahwat dan tanpa sebab syar'ie, seperti kehakiman, muamalat harian tujuan untuk menikahi perempuan yang dilihat dengan syarat-syarat tertentu. (rujuk bab an-nazru tulisan dari. Abdul Karim Zaidan dalam "Al-mufassal fi ahkam almar'ah wa baitul muslim", jilid 3.) Ini kerana pandangan yang tidak bersebab itu boleh membangkitkan syahwat serta menimbulkan fitnah, juga mungkin akan mengikat hati lelaki pada wanita.

Justeru, pandangan mata perlulah dijaga demi keselamatan hati dan rohani, kerana pandangan juga boleh membawa kepada zina, seperti sabda Rasulullah, "dua mata itu boleh berzina melalui pandangannya"-riwayat Bukhari. Rasulullah pernah berpesan pada Saidina Ali bin Abi Talib Karamullahiwajhah: " Wahai Ali,jangan kamu turuti pandangan pertama (yang tidak disengajakan dengan pandangan seterusnya, sesungguhnya pandangan pertama itu tidak mengapa, tapi yang kedua bukan haqmu.."-riwayat Tarmizi.

2. Berjumpa dan berjalan berdua-duaan
Seorang perempuan tidak dibenarkan bermusafir sendirian, dan bertemu lelaki ajnabi sendirian, seperti sabda Nabi s.a.w: " Tidak bermusafir seorang perempuan kecuali ada bersamanya mahramnya, dan tidak boleh seseorang masuk menemuinya kecuali ada mahramnya."- hadis riwayat Imam Bukhari. Perempuan juga dilarang berjalan bersama sama lelaki, dalam sunan Abi Daud, diriwayatkan bahawa Nabi s.a.w memerintahkan para wanita agar berjalan di tepi laluan jalan, tidak di tengah kerana mengelakkan mereka dari bercampur dengan lelaki. Sedangkan percampuran begini dilarang, apatah lagi berjalan berdua - duaan.

3. Berpegangan tangan
Di dalam Islam, mengikut pendapat jamhur dan rojih, seorang muslim diharamkan bersalaman/bersentuhan dengan semua wanita (iaitu dalam hal biasa, dibolehkan dalam hal darurat seperti perubatan), kecuali dengan mahramnya: ibunya, adik beradiknya,anaknya, ibu mertuanya, ibu saudaranya, anak saudaranya, isterinya dan anak tirinya( anak isteri).

Jika dilihat dari sirah Rasulullah, baginda amat tegas menjauhi persentuhan lelaki perempuan, hatta dalam hal penting sekalipun seperti bye'ah. Bahkan rasulullah akan mengambil bye'ah wanita melalui ikrar sahaja. Daripada Aisyah r.a, katanya: Nabi mengambil bye'ah para wanita dengan ikrar, baginda tidak pernah menyentuh tangan wanita kecuali wanita yang halal baginya.-riwayat Bukhari.

Namun yang demikian, mengapa masih ramai anak anak muda berpasangan berpegangan tangan, sedangkan baginda Rasulullah s.a.w pernah bersabda: "sekiranya seseorang itu mencucuk kepalanya dengan jarum besi, itu adalah lebih baik baginya dari menyentuh perempuan yang tidak halal baginya"- riwayat Tabrani dengan sanad yang soheh. Telah menjadi fitrah pada lelaki dan wanita apabila bersentuhan keduanya maka akan timbul rasa seronok di hati. Ini akan menjadi satu permulaan kepada perkara maksiat. Syaitan pula akan sentiasa mengambil kesempatan menghiasi perkara yang dimurkai Allah agar kelihatan indah.

Bersentuhan sangat berkaitan dengan hawa nafsu, dan hawa nafsu itu adalah buta dan tuli. Apabila nafsu menjadi raja, maka syaitan pun bertepuklah tangan. Bagi wanita pula,malu itu adalah ibarat mahkota yang tidak perlukan singgahsana. Tetapi sekiranya mahkota ini tercabut dari singgahsananya, maka jadilah wanita itu lebih dahsyat daripada 70 ekor syaitan!

4. Berdua-duaan / dating/ khalwah ajnabiyah. Sesungguhnya Rasulullah saw telah bersabda: "Janganlah seorang lelaki berdua-duaan dengan wanita, sesungguhnya yang ketiga di antara mereka berdua adalah syaitan"-(riwayat imam Ahmad). Tidak syak lagi bahawa berdua-duaan satu perkara yang amat besar bahayanya. Nafsu shahwat akan memungkinkan segalanya, ditambah lagi syaitan yang akan berusaha kuat untuk menjerumuskan manusia ke jalan kemaksiatan. Apabila sudah berada di landasan keseronokan nafsu, seseorang baik lelaki mahupun wanita akan lupa kekuasaan Allah, kemurkaan dan azabNya. Mereka juga akan melupakan nilai kesucian diri dan kemuliaan sifat terpuji. Dalam keadaan berdua-duaan amatlah mudah untuk terjatuh ke dalam jenayah yang besar. Bahkan ianya merupakan satu peringkat yang paling menghampirkan diri kepada zina, dan ianya terbukti dengan kes-kes penangkapan khalwat, dan muqaddimah zina serta zina itu sendiri yang berpunca dari berdua-duaan.

Rasulullah saw bersabda: "Jauhilah daripada berdua-duaan dengan perempuan, Demi diriku yang berada dalam tanganNya, tidaklah berkhalwat dua orang lelaki dan perempuan kecuali ada syaitan diantara mereka.. dan jika sekiranya seorang lelaki berhimpit dengan seekor bab* yang berlumuran lumpur dan kotoran itu lebih baik baginya dari berhimpit bersentuhan bahu dengan perempuan yang tidak halal baginya". Hadis di atas jelas mengharamkan khalwat dan duduk berdua bersama, kalau di zaman kita ini termasuklah duduk berdua-duaan bersebelahan di dalam bas, wayang dan sebagainya. Satu alasan yang popular bagi mereka yang ingin berdua-duaan ialah untuk mengulangkaji pelajaran. Menuntut ilmu itu memanglah satu perkara yang dituntut, tapi apakah sudah tidak ada pelajar lain di atas muka bumi ini untuk belajar bersama sama. atau sudah tiada pelajar yang sama jantina yang boleh membantu dalam pelajaran.

Cuba kita renungi kata-kata Imam Hasan al-Basri : "Jangan kamu berdua-duaan dengan perempuan, walaupun kamu berkata. saya mengajarkannya al-Quran". Demikianlah beberapa hujah dari baginda Rasulullah sendiri serta para ulama tentang larangan dan bahaya khalwah atau berdua-duaan dengan orang yang bukan mahram.

PERSOALAN : Telefon dan SMS - boleh atau tidak Seperti yang kita tahu, telefon dan SMS merupakan alat perantaraan komunikasi yang tidak wujud di zaman rasul, sahabat mahupun tabiin. Dalam hal ini saya mengembalikan hukum sesuatu perbuatan itu kepada asalnya, iaitu mengikut kaedah usul fiqh, asal kepada setiap satu itu adalah harus, selagi tidak ada nas yang mengharamkannya. Atau dalam masalah telefon barangkali dapat kita lihat dalam bab mendengar percakapan wanita , satu bab yang ada dalam kitab fiqh. Bercakap dan mendengar percakapan antara lelaki dan perempuan yang bukan mahram/ajnabi, dengan satu hajat atau tujuan yang baik, adalah diharuskan di dalam Islam, selagimana ianya aman dari fitnah, tidak menimbulkan shahwat, dan tidak melalaikan dari mengingati Allah Ta'ala.

Di dalam Soheh Bukhari dan soheh muslim misalnya, terdapat hadis yang menerangkan bagaimana Rasulullah mengambil bye'ah dari para muslimah dengan percakapan. Ibnu Hajar dalam syarah Soheh Bukhari, kitab Fathul Bari menyimpulkan dari hadis ini bahawa, mendengar percakapan perempuan itu adalah harus, dan suara mereka bukanlah aurat. Imam Nawawi pula dalam syarah sahih muslim menyatakan: dalam hadis ini kita dapati bahawa percakapan wanita itu harus untuk kita mendengarnya dengan ada hajat atau tujuan, dan suara mereka bukanlah aurat. (rujuk Mufassal, Abd karim Zaidan, jilid 3, m/s 276/277)

Antara dalil lain yang mengharuskan percakapan antara lelaki dan wanita yang bukan mahram ialah Al-Qur'an memperbolehkan laki-laki bertanya kepada isteri-isteri Nabi saw dari balik tabir. Allah berfirman: "Apabila kamu meminta sesuatu (keperluan) kepada mereka (isteri-isteri Nabi), maka mintalah dari belakang tabir ..."(al-Ahzab: 53) Permintaan atau pertanyaan dari para sahabat itu sudah tentu memerlukan jawapan dari Ummahatul Mukminin. Mereka memberi fatwa kepada orang yang meminta fatwa kepada mereka, dan meriwayatkan hadits-hadits bagi orang yang ingin mengambil hadits mereka. Pernah ada seorang wanita bertanya kepada Nabi saw. dihadapan kaum laki-laki. Ia tidak merasa keberatan melakukan hal itu, dan Nabi pun tidak melarangnya.

Dan pernah ada seorang wanita yang menyangkal pendapat Umar ketika Umar sedang berpidato di atas mimbar. Atas sanggahan itu, Umar tidak mengingkarinya, bahkan ia mengakui kebenaran wanita tersebut dan mengakui kesalahannya sendiri seraya berkata, "Semua orang (bisa) lebih mengerti daripada Umar." Di dalam Al-Quran juga kita dapat mengikuti kisah seorang wanita muda, putri seorang syeikh yang sudah tua (Nabi Syu'aib alaihissalam) yang bercakap dengan Musa, sebagaimana dikisahkan dalam Al-Qur'an: "... Sesungguhnya bapakku memanggil kamu agar ia memberi balasan terhadap (kebaikan)-mu memberi minum (ternak) kami ..." (al-Qashash: 25)
Sebelum itu, wanita tersebut dan saudara perempuannya juga berkata kepada Musa ketika Musa bertanya kepada mereka: "... Apakah maksudmu (dengan berbuat begitu)? Kedua wanita itu menjawab, 'Kami tidak dapat meminumkan (ternak kami), sebelum penggembala-penggembala itu memulangkan (ternaknya), sedangkan bapak kami adalah orang tua yang telah lanjut usianya." (al-Qashash: 23)

Selanjutnya, Al-Qur'an juga menceritakan kepada kita percakapan yang terjadi antara Nabi Sulaiman a.s. dengan Ratu Saba, serta percakapan sang Ratu dengan kaumnya yang laki-laki. Begitu pula peraturan (syariat) bagi nabi-nabi sebelum kita menjadi peraturan kita selama peraturan kita tidak menghapuskannya, sebagaimana pendapat yang terpilih. Yang dilarang bagi wanita ialah melunakkan pembicaraan untuk menarik laki-laki, yang oleh Al-Qur'an diistilahkan dengan al-khudhu bil-qaul (tunduk/lunak/memikat dalam berbicara), sebagaimana disebutkan dalam firman Allah: "Hai isteri-isteri Nabi, kamu sekalian tidaklah seperti wanita yang lain, jika kamu bertakwa. Maka janganlah kamu melunakkan suara dalam berbicara sehingga berkeinginanlah orang yang ada penyakit dalam hatinya, dan ucapkanlah perkataan yang baik." (al-Ahzab: 32)

Allah melarang khudhu, yakni cara bicara yang bias membangkitkan nafsu orang-orang yang hatinya "berpenyakit." Namun, dengan ini bukan bererti Allah melarang semua pembicaraan wanita dengan setiap laki-laki. Perhatikan hujung ayat dari surat di atas: "Dan ucapkanlah perkataan yang baik". Melalui hujah ini, maka harus untuk seseorang bercakap melalui telefon, atau menghantar SMS, dengan hajat dan tujuan yang baik di sisi syara' seperti yang dibawakan dalam contoh-contoh di atas serta aman dari fitnah, syahwat dan tidak melalaikan kita dari mengingati Allah Ta'ala. Semua ini hanya dapat ditentukan oleh diri orang yang menelefon atau memberi sms itu sendiri, samaada percakapannya itu menimbulkan fitnah atau tidak, melalaikan atau
tidak, maka kalau dia berdusta pada dirinya sendiri dan orang lain,maka itu antara dia dan Allah Ta'ala.

Cinta sebagai satu fitrah
Islam menggariskan satu sistem yang syumul yang merangkumi seluruh aspek kehidupan. Oleh kerana Allah sendiri yang mencipta kita, Dia Maha mengetahui segala naluri dan fitrah kita. Kerana itulah Islam meraikan fitrah dan kehendak naluri manusia, dan salah satu daripadanya adalah cinta. Dari Muhammad Muhammad As-sharif, dari Universiti Al-Azhar dalam bukunya " Islah Al-Ummah A'lah Huda As-Sunnah" (islah @ reformasi ummah di atas cahaya sunnah) menyatakan bahawa telah difitrahkan yang seorang lelaki akan mempunyai perasaan terhadap perempuan, dan begitulah sebaliknya.

Ini kerana perempuan itu dijadikan daripada rusuk lelaki, sebab itu lelaki ada perasaan terhadap wanita yang sememangnya dijadikan daripada satu bahagian tubuh dirinya sendiri. Kalau dilihat dari kisah kehidupan awal manusia, seperti diceritakan dalam kitab sirah imam Ibnu Kathir, "al-bidayah wa an-nihayah",dan beberapa kitab lain, bahawa nabi Adam alaihissalam sendiri kesunyian ketika mula diciptakan di dalam syurga, lalu Allah menciptakan Hawa bagi menjadi teman hidup Adam. Tapi Allah tidak membiarkan mereka bercinta begitu saja tanpa ada ikatan, mereka lantas diijabkabulkan. Allah Taala berfirman, maksudnya: "Sesungguhnya pada diri Rasulullah itu ada satu contoh yang amat baik untuk kamu ikuti..". sepanjang rentetan sejarah rasul dan para sahabat, perkataan cinta itu wujud dalam rumahtangga mereka.

Apabila seseorang jatuh cinta dengan perempuan, mahu menjadikannya sebagai serikandi hidup, maka dibenarkan dia melihat perempuan itu mengikut batas syara'. Terdapat hadis hadis dalam bab bolehnya melihat orang yang berkenan untuk dibuat isteri (maknanya melihat kepada yang bukan aurat), contohnya hadis riwayat Imam Tirmizi: daripada Mughirah bin Syu'bah, bahawa dia hendak meminang seorang perempuan, lalu bersabda Rasulullah s.a.w: " Pergilah kamu melihatnya, sesungguhnya ia akan memanjangkan lagi kasih sayang antara kamu berdua nanti.. "Tafsirannya, bila jatuh hati atau berkenan pada seseorang perempuan, tindakan seterusnya adalah mengikat ikatan samaada khitbah atau pertunangan ataupun berkahwin. Selepas itu mereka barulah mereka bercinta sebagai suami isteri.

Maka daripada perkara di atas, Islam menyediakan ruang untuk bercinta, iaitu percintaan untuk perkahwinan. Maknanya di sini Islam meletakkan cinta itu sebagai satu tanggungjawab, bukan satu permainan atau keseronokan semata mata. Jika benar benar mencintai seorang perempuan itu, seorang lelaki hendaklah menunaikan tanggungjawabnya, jika sudah bersedia maka ikatlah dengan ikatan yang sah, jika belum bersedia, banyak-banyaklah berdoa pada Allah dan jangan sekali kali melakukan perkara yang berlanggar dengan syara'yang boleh mencemarkan kesucian cinta sebagai satu fitrah. Justeru, bersamalah kita mengawal fitrah yang indah ini agar tidak terpesong ia menjadi fitnah, InsyaAllah. Hanya cinta Allah yang boleh memimpin kita meniti lembah sunyi menuju firdausi

KHUTBAH TERAKHIR RASULULLAH S.A.W:

Wahai manusia,

Dengarlah baik-baik apa yang hendak kukatakan. Aku tidak mengetahui apakah aku dapat bertemu lagi dengan kamu selepas ini. Oleh itu dengarlah dengan teliti kata-kataku ini dan sampaikan ia kepada orang-orang yang tidak dapat hadir di sini pada hari ini.



(Khutbah ini disampaikan pada 9hb Zul Hijjah.10H di Lembah Uranah, Gunung Arafah)*

Wahai manusia,

Dengarlah baik-baik apa yang hendak kukatakan. Aku tidak mengetahui apakah aku dapat bertemu lagi dengan kamu selepas ini. Oleh itu dengarlah dengan teliti kata-kataku ini dan sampaikan ia kepada orang-orang yang tidak dapat hadir di sini pada hari ini.

Wahai manusia,

Seperti mana kamu menganggap bulan ini dan Kota ini sebagai suci, maka anggaplah jiwa dan harta setiap orang muslim sebagai amanah suci. kembalikan harta yang diamanahkan kepada kamu kepada pemiliknya yang berhak. Janganlah kamu sakiti sesiapapun agar orang lain tidak menyakiti kamu lagi. Ingatlah bahawa sesungguhnya kamu akan menemui Tuhan kamu dan Dia pasti membuat perhitungan di atas segala amalan kamu. Allah telah mengharamkan riba, oleh itu segala urusan yang melibatkan riba adalah dibatalkan mulai sekarang.
Berwaspadalah terhadap syaitan demi keselamatan agama kamu. Dia telah berputus asa untuk menyesatkan kamu dalam perkara-perkara besar, maka berjaga-jagalah supaya kamu tidak mengikutnya dalam perkara-perkara kecil.

Wahai manusia,

Sebagaimana kamu mempunyai hak ke atas isteri kamu mereka juga mempunyai hak di atas kamu. Sekiranya mereka menyempurnakan hak mereka ke atas kamu maka mereka juga berhak untuk diberi makan dan pakaian dalam suasana kasih sayang. Layanilah wanita-wanita kamu dengan baik, berlemah lembutlah terhadap mereka kerana sesungguhnya mereka adalah teman dan pembantu kamu yang setia. Dan hak kamu ke atas mereka ialah mereka sama sekali tidak boleh memasukkan orang yang kamu tidak sukai ke dalam rumah kamu dan dilarang melakukan zina.

Wahai manusia,

Dengarlah kata-kataku ini, sembahlan Allah, dirikanlah sembahyang lima kali sehari, berpuasalah di bulan Ramadhan dan tunaikanlah zakat dari harta kekayaan kamu. Kerjakanlah 'Ibadah haji' sekiranya kamu mampu. Ketahuilah bahawa setiap muslimin adalah saudara kepada muslimin yang lain. Kamu semua adalah sama, tidak seorang pun yang lebih mulia dari yang lain kecuali dalam taqwa dan beramal soleh.

Ingatlah bahawa kamu akan menghadap Allah pada suatu hari nanti untuk dipertanggungjawabkan di atas segala apa yang telah kamu kerjakan. Oleh itu, awasilah agar jangan sekali-kali kamu terkeluar dari landasan kebenaran selepas ketiadaanku.


Wahai manusia,

Tidak ada lagi Nabi atau rasul yang akan datang selepasku dan tidak akan lahir agama baru. Oleh itu wahai manusia, nilailah dengan betul dan fahamilah kata-kataku yang telah aku sampaikan kepada kamu. Sesungguhnya aku tinggalkan kepada kamu dua perkara, yang sekiranya kamu berpegang teguh dan mengikuti kedua-duanya, nescaya kamu tidak akan tersesat selama-lamanya. Itulah Al-Quran dan Sunnahku.

Hendaklah orang-orang yang mendengar ucapanku, menyampaikan pula kepada orang lain. Semoga yang terakhir lebih memahami kata-kataku dari mereka yang terus mendengar dariku. Saksikanlah Ya Allah, bahawasanya telah aku sampaikan risalah Mu kepada hamba-hambaMu...

sumber: "KELEBIHAN BULAN DAN HARI SERTA AMALAN WIRID DAN DOA" oleh Abu Khairy Al-Latifi

Hasad Dengki

Setiap orang yang mempunyai perasaan dan berakal memang mengetahui apa yang dinyatakan sebagai hasad dengki . Malah, kita mungkin pernah mengalami perasaan ini, iaitu satu perasaan irihati terhadap orang lain yang memiliki kebaikan atau kelebihan. Perasaan ini mungkin bersama dengan harapan untuk mendapat kebaikan atau kelebihan yang dimiliki oleh orang tersebut. Dan pada masa yang sama juga mungkin iri hati itu bersama cita-cita untuk melihat kejatuhan orang yang diirihatikan itu. Sebagaimana firman Allah yang berbunyi;


Yang bermaksud: “Jikalau kamu semua mendapatkan kebaikan, maka hal itu tidak menyelesakan hati mereka sedang jikalau kamu semua mendapat kemudaratan, maka merekapun bergembira disebabkan kemudaratan tersebut.” (Surah al-Imran: 120)

Apakah pandangan Islam terhadap perasaan ini? Jika dilihat dari aspek sejarah kehidupan manusia, dengki ini sebenarnya telahpun lahir sejak zaman Nabi Adam a.s. sebagaimana kisah yang terdapat di dalam al-Quran. Allah berfirman;
“Ceritakanlah kepada mereka kisah dua putera Nabi Adam (Habil dan Qabil) menurut yang sebenarnya, ketika keduanya mempersembahkan korban, maka diterima dari salah seorang dari mereka berdua (Habil) dan tidak diterima dari yang lain (Qabil). Dia berkata (Qabil): “Aku pasti membunuhmu!”. Berkata Habil: Sesungguhnya Allah hanya menerima (korban) dari orang-orang yang bertakwa”. (Al-Mai'dah: 27)

Kisah ini mengenai konflik yang berlaku di antara dua orang putera Nabi Adam a.s., yakni Qabil dan Habil. Apabila Allah menurunkan perintah agar mereka ini mempersembahkan korban, maka Habil menerima perintah tersebut dengan lapang dada dan memilih binatang ternakannya yang paling berkualiti untuk dipersembahkan kepada Allah dengan mengharapkan keredaan Allah s.w.t. semata-mata. Sebaliknya pula, Qabil menerima perintah Allah dengan rasa terpaksa. Maka Qabil pun, mempersembahkan hasil pertanian yang paling buruk kepada Allah s.w.t. Dengan dua bentuk korban yang persembahan kedua-duanya amat berbeza, maka tentulah Allah memilih korban yang baik dan dipersembahkan dengan hati yang ikhlas dan penuh pengharapan sebagai seorang hamba. Lantaran itu, Allah s.w.t. pun memerintahkan api untuk memakan korban yang dipersembahkan oleh Habil. Bagaimanapun, Qabil tidak merasa senang dengan keadaan tersebut dan merasa iri hati terhadap Habil. Perasaan iri hati yang meluap-luap, akhirnya menimbulkan rasa dendam di dalam diri Qabil.


Selain Qabil berdendam dengan Habil kerana korbannya yang terpilih, Qabil juga turut mendendami Habil kerana ayahanda mereka menjodohkan Habil dengan saudara kembarnya yang lebih cantik berbanding dengan saudara kembar Habil. Sebaliknya, Qabil pula dijodohkan dengan saudara kembar Habil yang berupa paras lebih sederhana.


Apabila Qabil mempunyai kesempatan untuk melepaskan dendamnya, maka diapun menemui Habil dan menyatakan, “Sesungguhnya aku mahu membunuhmu.” Habil pun bertanya dengan perasaan yang amat hairan, “Mengapa engkau mahu membunuh aku?” Jawab Qabil dengan hasad yang terbuku di dadanya, “Kerana Allah menerima korbanmu dan menolak korbanku, dan engkau akan menikahi saudara perempuanku yang cantik sedangkan aku pula harus menikahi saudara perempuanmu yang hodoh, sehingga orang lain akan berbicara bahawa engkau itu lebih baik daripadaku dan keturunanmu akan berbangga kepada keturunanku.”


Apabila Qabil berjaya membunuh Habil, timbul rasa menyesal dengan apa yang telah dilakukannya. Walau bagaimanapun, penyesalan tersebut hanya sia-sia kerana apabila Nabi Adam mengetahui mengenai peristiwa tersebut, baginda tidak mahu menerima kembali anaknya itu dan diapun dihalau. Dalam keadaan yang terbuang, Qabil telah menerima hasutan dan pengaruh iblis yang akhirnya menjadikan dirinya sesat dan melakukan pelbagai perkara yang keji. Lantaran itu, Allah telah memusnahkan keturunannya ketika zaman Nabi Nuh a.s.


Pengajaran yang boleh dapati berdasarkan kisah dua putera Nabi Adam ini ialah, hasad dengki menyebabkan seseorang boleh bertindak tanpa rasional yang boleh menyebabkan penyesalan yang tiada kesudahan. Hasad dengki juga mendorong seseorang untuk melakukan perkara-perkara yang sesat. Telah dinyatakan bahawa;


“Sesungguhnya orang yang pertama kali berbuat dengki di langit ialah iblis terkutuk, maka berlanjutanlah sifat dengki itu seperti yang ada. Dan orang yang pertama kali melakukan dengki di dunia ialah Qabil pada saat dia berhasad dengki terhadap saudara kandungnya yakni Habil, maka berlanjutanlah sifat dengki seperti yang ada. Maka cukuplah perbuatan keduanya itu sebagai nasihat dan pengajaran bagi mereka yang berfikir.”


Rasulullah s.a.w. bersabda;


Yang bermaksud: “Sesungguhnya pada nikmat Allah ta'ala itu terdapat musuh-musuh. Baginda ditanya: “Siapakah musuh-musuh itu ya Rasulullah? Baginda menjawab, Mereka ialah orang-orang yang berhasad dengki terhadap orang lain atas anugerah yang diberikan oleh Allah.”


Perasaan buruk ini boleh wujud di dalam hati manusia disebabkan manusia itu mempunyai rasa permusuhan dan kebencian. Dalam erti kata yang lain, dia tidak merasa bahawa berbaik-baik sesama manusia dan sayang-menyayang dengan saudara seislam adalah keperluan bagi kekuatan umah, yang menyumbang rasa bahagia bagi jiwa seorang muslim. Orang yang berada dalam lingkungan ini sudah pasti tidak gemar untuk menyumbang kebajikan kepada orang lain ataupun mendengar kebahagiaan yang dimiliki oleh saudaranya (seislam).


Hasad dengki juga lahir disebabkan merasa dirinya berada dalam kedudukan yang lebih tinggi dan mulia berbanding orang lain. Apabila dia melihat keadaan orang lain yang mempunyai kebaikan atau kelebihan yang tidak dimilikinya, dia menjadi rasa tercabar. Perasaan tersebutlah yang dinyatakan sebagai dengki.


Orang yang mudah merasa iri hati terhadap orang lain biasanya amat menyukai kedudukan sebagai pemimpin atau ketua. Dia tidak mahu ada orang lain yang dapat menyainginya. Orang-orang sebegini sudah pasti tidak merasa senang apabila melihat ada orang yang lebih berwibawa dan berpengaruh daripadanya.


Sebagaimana kisah Habil dan Qabil tadi, hasad dengki merupakan sifat yang boleh memberikan kesan buruk kepada diri pengamalnya. Sekurang-kurangnya terdapat lapan kesan buruk yang boleh timbul akibat dari sifat dengki ini;


1) Sifat dengki mengakibatkan terhapusnya amalan baik yang pernah dilakukan oleh seseorang. Apabila seorang muslim melakukan kebaikan, dia akan beroleh pahala. Malangnya, apabila dia mempunyai sifat dengki terhadap orang lain, amalan-amalan kebaikan yang pernah dilakukannya akan terhapus disebabkan perasaan dengki tersebut.


Sabda Rasulullah s.a.w.: “Jauhilah olehmu sekalian akan sifat dengki, kerana sesungguhnya dengki itu menghapuskan kebaikan, sebagaimana api menghanguskan kayu bakar.” Yakni, boleh menyebabkan kufur.

2) Perasaan dengki mendorong diri seseorang untuk membuat kemungkaran dan penderhakaan terhadap Allah dalam bentuk yang lain. Apabila hasad dengki telah bersarang di dalam dada seseorang, maka dia akan meluahkan perasaan itu dalam bentuk umpatan (ghibah), berkata bohong, mencaci dan memburuk-burukkan seseorang. Dengan harapan kelebihan atau kebaikan pada orang yang didengkinya itu akan hilang.


Dari Dhamrah bin Tha'labah, Rasulullah s.a.w. bersabda:


Yang bermaksud: “Manusia itu adalah baik selama mana mereka tidak saling dengki-mendengki.”


3) Sifat dengki akan menyebabkan seseorang itu kehilangan syarat untuk menerima syafa'at pada hari kiamat.


Syafa'at adalah suatu anugerah yang tidak ternilai harganya bagi seseorang yang menerimanya ketika Hari Akhirat. Ini kerana, seseorang yang menerima syafa'at diberi izin untuknya membantu orang-orang lain yang mengalami pelbagai kesusahan dan azab ketika hari perhitungan. Jadi, tentulah amat malang bagi mereka yang mempunyai perasaan hasad dengki dan iri hati ketika hidup kerana perasaan ini berupaya menjadi penghalang yang amat besar baginya untuk menerima manfaat syafa'at pada hari akhirat yang boleh memudahkannya untuk menempuh pelbagai rintangan dan azab pada hari dia dihisab. Sebuah hadis Rasulullah s.a.w. dari Abdullah bin Basyar, Rasulullah bersabda:


Yang bermaksud: “Tidak termasuk golonganku si pendengki, orang mengadu domba, orang yang mempunyai ilmu menilik dan akupun tidak dari golongannya.”


Kemudian baginda membaca ayat al-Qur'an:


Yang maksudnya berbunyi: “Orang-orang yang menyakiti hati orang-orang mukmin laki-laki dan perempuan di atas perkara yang tidak dilakukan, maka sesungguhnya mereka itu telah melakukan dusta dan dosa yang nyata.”



4) Oleh sebab dengki merupakan sifat yang menempah dosa, maka tentulah ia akan menyebabkan pengamalnya akan humbankan ke dalam neraka sekiranya dia tidak bertaubat. Rasulullah s.a.w. bersabda yang antara lain bermaksud;


“Rasulullah telah ditanya mengenai enam golongan yang akan ditempatkan ke dalam neraka. Rasulullah menjawab., Enam golongan orang yang akan dimasukkan ke dalam neraka ialah, pemerintah yang menganiaya, orang Arab dengan sifatnya yang fanatik, penjajah dengan keangkuhan mereka, usahawan dengan perbuatan khianat, orang kampung dengan kebodohan mereka dan para ulama dengan sifat dengki mereka.”


5) Sifat dengki juga akan menyebabkan seseorang itu boleh melakukan perkara yang boleh memudaratkan orang lain. Contoh yang paling mudah adalah dengan melihat kisah Habil dan Qabil pada awal perbincangan tadi. Hasad dengki dan dendam kesumat yang wujud dalam perasaan Qabil telah menyebabkan kematian Habil. Di dalam hal ini, Habil telah menerima kemudaratan yang amat dahsyat disebabkan rasa hasad abang kandungnya sendiri. Apabila seseorang telah melakukan kemudaratan kepada orang lain, tentulah kesan buruknya akan pulang semula kepada dirinya. Selain itu, pengajaran lain yang boleh didapati di sini, kita seharusnya memohon perlindungan dari kejahatan orang yang berhasad dengki. Di dalam hal ini Allah s.w.t. telah menyentuh perkara ini dalam firmannya yang bermaksud;


“…dan dari kejahatan orang yang mendengki.”



6) Memiliki hasad dengki akan hanya menyebabkan kesusahan dan kesulitan kepada pemiliknya. Orang yang memiliki sifat ini tidak pernah merasa selesa dengan keadaan dirinya sendiri. Tidak ada ketenangan dalam dirinya kerana hanya memikirkan kelebihan dan kebaikan orang-orang yang berada di sekelilingnya dan merasakan dirinya juga wajar untuk memiliki kelebihan tersebut.



7) Hasad dengki yang berada di dalam hatinya akan menghalang pintu hatinya daripada memahami secara sebenarnya tentang ilmu-ilmu agama dan perkara-perkara mengenai hukum hakam. Hatinya akan menjadi gelap dan sesungguhnya orang-orang ini akan berada dalam kerugian. Ini kerana orang lain dapat memahami dengan mudah mengenai ilmu-ilmu agama, dan kesannya perhubungannya di antara hamba dengan Pencipta akan menjadi semakin dekat berbanding dengan orang yang mempunyai hasad dengki. Oleh sebab tidak ada keinsafan dalam dirinya, maka perhubungannya dengan Allah s.w.t. menjadi semakin jauh. Kata Sufyan dalam hal ini;


“Jangan engkau menjadi orang yang dengki lagi mudah membuat kesimpulan.”


8) Orang yang mempunyai hasad dengki akan sentiasa terhalang dari mendapat kebaikan dan keuntungan, bahkan dia menguntungkan musuh-musuhnya.Ini kerana, orang-orang yang mempunyai rasa dengki lazimnya akan merasa iri hati pada orang-orang yang baik, yang sewajarnya menjadi orang yang dikasihinya sebagai saudara seagama. Walaupun demikian, disebabkan sikapnya yang buruk itu, musuh-musuh orang yang didengkinya itu akan lebih beruntung. Tugas musuh-musuh ini akan menjadi lebih mudah untuk menjatuh atau memusnahkan orang yang mempunyai kebaikan dan kelebihan tersebut.


Selain itu, sebagaimana yang telah dinyatakan tadi, sikap ini akan merugikan orang yang berhasad dengki. Oleh sebab dia telah menjauhkan dirinya dari orang-orang yang didengkinya dan pada masa yang sama dia juga tidak mendapat manfaat daripada musuh-musuh orang yang didengkinya. Maka, dia sebenarnya telah meminggirkan dirinya dari semua orang. Keadaan ini sesuai dengan satu kata-kata hikmat yang mengatakan;


“Orang yang berhasad itu tidak akan menuai hasil keuntungan.”


Jika dilihat kepada akibat yang bakal diterima oleh mereka yang mempunyai perasaan ini, maka kerugian yang perlu ditanggung amat besar nilainya. Jadi, tentulah amat malang bagi mereka yang tidak melakukan apa-apa untuk menahan daripada perasaan ini wujud. Islam memberi panduan dan pedoman bagi mereka yang mahu menyelamatkan diri dari belenggu dosa ini.


Ilmu dan takwa adalah senjata sebenar yang dapat melawan perasaan yang boleh menjahanamkan manusia ini. Ilmu yang dimiliki oleh manusia dapat memberi amaran tentang akibat-akibat yang bakal diterima sekiranya perasaan ini diamalkan. Peminggiran dari aspek sosial sebenarnya adalah kerugian yang amat besar bagi seseorang manusia yang ingin diterima masyarakat. Melalui ilmu juga, seseorang manusia akan berusaha untuk mencapai darjah ketakwaan.


Ketakwaan seorang hamba pula akan menjadikan seseorang manusia itu menginsafi akan kewujudannya di bumi ini. Di dunia ini, sebagai seorang khalifah dia diperintahkan untuk memakmurkan muka bumi ini, menyayangi sesama umat Islam, berlaku adil, membuat kebaikan dan meninggalkan segala keburukan dan kejahatan. Dia akan sanggup melakukan apa sahaja yang diperintahkan oleh Allah dan meninggalkan segala larangan-Nya semata-mata untuk mendapatkan keredaan Allah. Dia meyakini bahawa sebaik-baik umat manusia adalah yang paling bertakwa kepada Allah.


Kesimpulannya, hasad dengki hanya akan menyebabkan kerugian kepada orang yang memilikinya dan kepada agama Islam sendiri. Bagi individu yang memilikinya, dia akan terpinggir dari hidup bermasyarakat, mempunyai perasaan yang sentiasa tidak aman dan akan menyebabkannya melakukan perkara-perkara yang lebih keji. Apabila dia berada di akhirat, akan menanggung kerugian yang lebih besar, tidak tertanggung dan menempah penyesalan yang tidak terkira kerana tidak layak untuk menerima dan mendapat syafa'at dan tidak ditempatkan dalam tempat yang penuh kebaikan, kemewahan dan keberkataan, yakni syurga. Walaupun kerugian itu ditanggung secara personal oleh pengamalnya, akan tetapi ia juga memberi kesan yang tidak baik kepada ukhuwwah islamiyyah. Umat Islam akan menjadi tidak bersatu dan tidak akan menjadi sebuah umat yang kuat sekiranya sifat ini diamalkan oleh orang-orang Islam. Akhirnya, umat Islam secara keseluruhannya yang akan rugi.


Walaupun demikian, sebenarnya terdapat sedikit ruang atau keringanan dalam perkara dengki. Sebenarnya, tidaklah jatuh haram atau berdosa sekiranya seseorang itu merasa iri hati apabila memandang kelebihan dan kebaikan yang dimiliki oleh orang lain tanpa harapan atau cita-cita untuk melihat kelebihan tersebut hilang dan lenyap dari pemiliknya.


Mudah-mudahan kita sama-sama dapat mengambil iktibar dan pengajaran daripada perbincangan ini.

Nilai Tudung Wanita

Bila wanita menjaga auratnya dari pandangan lelaki bukan muhram, bukan sahaja dia menjaga maruah dirinya, malah maruah wanita mukmin keseluruhannya. Harga diri wanita terlalu mahal. Ini kerana syariat telah menetapkan supaya wanita berpakaian longgar dengan warna yang tidak menarik serta menutup seluruh badannya dari kepala hingga ke kaki.

Kalau dibuat perbandingan dari segi harta dunia seperti intan dan berlian, ianya dibungkus dengan rapi dan disimpan pula di dalam peti besi yang berkunci. Begitu juga diumpamakan dengan wanita, Kerana wanita yang bermaruah tidak akan mempamerkan tubuh badan di khalayak umum. Mereka masih boleh tampil di hadapan masyarakat bersesuaian dengan garisan syarak. Wanita tidak sepatutnya mengorbankan maruah dan dirinya semata-mata untuk mengejar pangkat, darjat, nama, harta dan kemewahan dunia.

Menyentuh berkenaan pakaian wanita, alhamdulillah sekarang telah ramai wanita yang menjaga auratnya, sekurang-kurangnya dengan memakai tudung. Dapat kita saksikan di sana sini wanita mula memakai tudung. Pemakaian tudung penutup aurat sudah melanda dari peringkat bawahan hingga kepada peringkat atasan. Samada dari golongan pelajar-pelajar sekolah hinggalah kepada pekerja-pekerja pejabat-pejabat.

Walaupun pelbagai gaya tudung diperaga dan dipakai, namun pemakaiannya masih tidak lengkap dan sempurna. Masih lagi menampakkan batang leher, dada dan sebagainya. Ada yang memakai tudung, tetapi pada masa yang sama memakai kain belah bawah atau berseluar ketat dan sebagainya. Pelbagai warna dan pelbagai fesyen tudung turut direka untuk wanita-wanita Islam kini.

Ada rekaan tudung yang dipakai dengan songkok di dalamnya, dihias pula dengan kerongsang (broach) yang menarik. Labuci warna-warni dijahit pula di atasnya. Dan berbagai-bagai gaya lagi yang dipaparkan dalam majalah dan suratkhabar fesyen untuk tudung. Rekaan itu kesemuanya bukan bertujuan untuk mengelakkan fitnah, sebaliknya menambahkan fitnah ke atas wanita.

Walhal sepatutnya pakaian bagi seorang wanita mukmin itu adalah bukan sahaja menutup auratnya, malah sekaligus menutup maruahnya sebagai seorang wanita. Iaitu pakaian dan tudung yang tidak menampakkan bentuk tubuh badan wanita, dan tidak berhias-hias yang mana akan menjadikan daya tarikan kepada lelaki bukan muhramnya. Sekaligus pakaian boleh melindungi wanita dari menjadi bahan gangguan lelaki yang tidak bertanggungjawab.

Bilamana wanita bertudung tetapi masih berhias-hias, maka terjadilah pakaian wanita Islam sekarang walaupun bertudung, tetapi semakin membesarkan riak dan bangga dalam diri. Sombong makin bertambah. Jalan mendabik dada. Terasa tudung kitalah yang paling cantik, up-to-date, sofistikated, bergaya, ada kelas dan sebagainya. Bertudung, tapi masih ingin bergaya.

Kesimpulannya, tudung yang kita pakai tidak membuahkan rasa kehambaan. Kita tidak merasakan diri ini hina, banyak berdosa dengan Tuhan mahupun dengan manusia. Kita tidak terasa bahawa menegakkan syariat dengan bertudung ini hanya satu amalan yang kecil yang mampu kita laksanakan. Kenapa hati mesti berbunga dan berbangga bila boleh memakai tudung?

Ada orang bertudung tetapi lalai atau tidak bersembahyang. Ada orang yang bertudung tapi masih lagi berkepit dan keluar dengan teman lelaki . Ada orang bertudung yang masih terlibat dengan pergaulan bebas. Ada orang bertudung yang masih menyentuh tangan-tangan lelaki yang bukan muhramnya. Dan bermacam-macam lagi maksiat yang dibuat oleh orang-orang bertudung termasuk kes-kes besar seperti zina, khalwat dan sebagainya.

Jadi, nilai tudung sudah dicemari oleh orang-orang yang sebegini. Orang Islam lain yang ingin ikut jejak orang-orang bertudung pun tersekat melihat sikap orang-orang yang mencemari hukum Islam. Mereka rasakan bertudung atau menutup aurat sama sahaja dengan tidak bertudung. Lebih baik tidak bertudung. Mereka rasa lebih bebas lagi.

Orang-orang bukan Islam pula tawar hati untuk masuk Islam kerana sikap umat Islam yang tidak menjaga kemuliaan hukum-hakam Islam. Walaupun bertudung, perangai mereka sama sahaja dengan orang-orang bukan Islam. mereka tidak nampak perbezaan agama Islam dengan agama mereka.

Lihatlah betapa besarnya peranan tudung untuk dakwah orang lain. Selama ini kita tidak sedar diri kitalah agen bagi Islam. Kita sebenarnya pendakwah Islam. Dakwah kita bukan seperti pendakwah lain tapi hanya melalui pakaian.

Kalau kita menutup aurat, tetapi tidak terus memperbaiki diri zahir dan batin dari masa ke semasa, kitalah punca gagalnya mesej Islam untuk disampaikan. Jangan lihat orang lain. Islam itu bermula dari diri kita sendiri.

Ini tidak bermakna kalau akhlak belum boleh jadi baik tidak boleh pakai tudung. Aurat, wajib ditutup tapi dalam masa yang sama, perbaikilah kesilapan diri dari masa ke semasa. Tudung di luar tudung di dalam (hati). Buang perangai suka mengumpat, berdengki, berbangga, ego, riak dan lain-lain penyakit hati.

Walau apapun, kewajipan bertudung tidak terlepas dari tanggungjawab setiap wanita Muslim. Samada baik atau tidak akhlak mereka, itu adalah antara mereka dengan Allah. Amat tidak wajar jika kita mengatakan si polanah itu walaupun bertudung, namun tetap berbuat kemungkaran. Berbuat kemungkaran adalah satu dosa, manakala tidak menutup aurat dengan menutup aurat adalah satu dosa lain.

Kalau sudah mula menutup aurat, elak-elaklah diri dari suka bertengkar. Hiasi diri dengan sifat tolak ansur. Sentiasa bermanis muka. Elakkan pergaulan bebas lelaki perempuan. Jangan lagi berjalan ke hulu ke hilir dengan teman lelaki. Serahkan pada Allah tentang jodoh. Memang Allah sudah tetapkan jodoh masing-masing. Yakinlah pada ketentuan qada' dan qadar dari Allah.

Apabila sudah menutup aurat, cuba kita tingkatkan amalan lain. Cuba jangan tinggal sembahyang lagi terutama dalam waktu bekerja. Cuba didik diri menjadi orang yang lemah-lembut. Buang sifat kasar dan sifat suka bercakap dengan suara meninggi. Buang sikap suka mengumpat, suka mengeji dan mengata hal orang lain. jaga tertib sebagai seorang wanita. Jaga diri dan maruah sebagai wanita Islam. Barulah nampak Islam itu indah dan cantik kerana indah dan cantiknya akhlak yang menghiasi peribadi wanita muslimah.

Barulah orang terpikat untuk mengamalkan Islam. Dengan ini, orang bukan Islam akan mula hormat dan mengakui "Islam is really beautiful." Semuanya bila individu Islam itu sudah cantik peribadinya. Oleh itu wahai wanita-wanita Islam sekalian, anda mesti mengorak langkah sekarang sebagai agen pengembang agama melalui pakaian.

Monday, June 30, 2008

Awas perangkap hotel murah - Rakam aksi pengunjung dalam bentuk DVD untuk dijual


SEORANG peniaga menunjukkan kepada seorang pelanggan VCD dan DVD lucah yang dijual di kedainya di Bandar Kuala Rompin, Pahang semalam.



ROMPIN – Perlakuan lucah pasangan muda-mudi tempatan yang dirakam secara curi oleh sindiket tertentu di bilik hotel murahan tertentu kini laris dijual dalam format cakera video digital (DVD) untuk tatapan ‘peminat setianya’.DVD berkenaan dikatakan mendapat permintaan yang tinggi di pasaran gelap kerana mangsa- mangsa rakaman itu terdiri daripada gadis-gadis tempatan cantik yang datang menyewa bersama pasangan masing-masing.Difahamkan, mereka dijadikan sasaran utama dengan diberi bilik tertentu yang telah dilengkapi kamera tersembunyi oleh petugas hotel.

“Tak semua bilik pasang kamera, biasanya satu bilik (khas) saja. Kalau ada lelaki yang datang dengan perempuan cantik, petugas hotel akan bagi bilik yang ada kamera.“Saya pun tak tahu banyak pasal (kegiatan) ini, tapi rasa-rasanya di negeri lain pun ada buat juga macam ini,” dakwa seorang lelaki penjual DVD lucah di sekitar bandar ini kepada wartawan Kosmo! yang menyamar sebagai pembeli.Lelaki tersebut yang hanya dikenali sebagai Chong memberitahu, kegiatan tersebut semakin popular kerana permintaan tinggi daripada para pelanggan terhadap DVD lucah gadis-gadis tempatan

Realiti ketuanan Melayu

KEBELAKANGAN ini suara- suara sumbang yang mempertikaikan ketuanan Melayu dengan mendakwa bahawa konsep berkenaan bersifat perkauman dan tidak relevan dengan realiti Malaysia yang berbilang kaum semakin lantang kedengaran. Terdapat pula sesetengah pihak yang cuba menangguk di air keruh dengan melaga- lagakan konsep ketuanan Melayu dengan ketuanan rakyat.Sebenarnya dalam konteks politik Malaysia faktor sejarah serta realiti demografik menyebabkan konsep ketuanan Melayu dan ketuanan rakyat muncul sebagai konsep yang bukan sahaja saling tidak bertentangan malahan ia merupakan sisi yang berbeza bagi satu syiling yang sama, saling lengkap melengkapi.

Bagi Malaysia konsep ketuanan rakyat dalam bidang politik telah mula tertegak semenjak negara mencapai kemerdekaan daripada penjajahan Inggeris lebih 50 tahun yang lalu. Konsep ketuanan rakyat adalah teras asas bagi mana-mana negara yang mengamalkan sistem demokrasi pelbagai parti yang berwibawa. Ini kerana dalam sebuah demokrasi rakyatlah yang mempunyai kuasa mutlak melalui undi mereka untuk menentukan parti politik atau gabungan parti politik yang akan membentuk kerajaan. Melalui konsep ketuanan rakyat aspirasi golongan majoriti dihormati manakala kepentingan sah kaum minoriti dilindungi berdasarkan prinsip kedaulatan undang-undang.

Kewujudan ketuanan rakyat tanpa kewujudan ketuanan Melayu di Malaysia bermakna penindasan golongan minoriti terhadap kaum majoriti. Jika ini berlaku maka ia tiada beza dengan apa yang pernah berlaku sebelum tahun 1994 di negara Afrika Selatan iaitu yang dinamakan sistem aparteid.Dalam membicarakan konsep ketuanan Melayu perkara pertama yang harus diinsafi oleh semua pihak adalah konsep ini tidak sekali-kali membawa konotasi perhubungan submisif yang wujud antara tuan dan hamba sebagaimana yang lazimnya difahami.Konsep ketuanan Melayu wujud semata-mata hasil manifestasi faktor demografik negara dan kontrak sosial antara kaum yang diijmakkan semasa negara mencapai kemerdekaan.

Ia sebenarnya telah dibayar dengan harga yang cukup mahal oleh orang Melayu apabila mereka terpaksa menerima hakikat bahawa Tanah Melayu akan selama-lamanya berubah dari negara yang bersifat eka kaum kepada pelbagai kaum. Orang Melayu tidak mempunyai pilihan di dalam soal ini. Sudahlah apabila golongan imigran di bawa masuk ke bumi Tanah Melayu orang Melayu tidak dirundingi, untuk memperoleh kemerdekaan mereka terpaksa pula menerima kerakyatan yang diberikan kepada kaum imigran.

Persepsi bahawa wujud pertembungan di antara ketuanan rakyat dan ketuanan Melayu timbul kerana ketidakprihatinan malahan ketidakpedulian sesetengah pihak terhadap dokumen paling asas negara iaitu Perlembagaan Persekutuan yang merupakan undang-undang tertinggi negara.

Sebenarnya kajian yang teliti terhadap dokumen ini akan membawa kita kepada satu kesimpulan yang jelas iaitu konsep ketuanan rakyat (antara lainnya dilambangkan melalui peruntukkan-peruntukkan Perkara 40 (1) & (1A), Perkara 43 (2),(3),(4) & (5), Perkara 46 (1) dan Perkara 159 Perlembagaan Persekutuan).

Ketuanan Melayu adalah konsep- konsep yang sememangnya sudah dimaktubkan oleh undang-undang tertinggi negara.Semenjak merdeka orang Melayu adalah penduduk majoriti negara ini, hari ini orang Melayu membentuk 65 peratus penduduk Malaysia. Disebabkan faktor ini jawatan Perdana Menteri dan majoriti anggota Kabinet serta ahli-ahli Parlimen semenjak merdeka dipegang oleh orang Melayu.

Selain daripada fakta bahawa orang Melayu adalah penduduk majoriti negara ini asas utama yang mengukuhkan lagi konsep ketuanan Melayu di dalam sistem pemerintahan negara adalah Perkara 32 Perlembagaan Persekutuan yang mewujudkan institusi Yang di- Pertuan Agong selaku Ketua Negara bagi Malaysia.Mengikut Perlembagaan Yang di-Pertuan Agong adalah Ketua Cabang Eksekutif (Perkara 39) di mana selaku Ketua Negara pemerintahan Malaysia dijalankan di atas nama baginda.

Baginda juga adalah salah satu elemen yang membentuk cabang legislatif selain Dewan Negara serta Dewan Rakyat.Baginda melantik Tuan Yang Terutama, Yang Dipertua Negeri bagi negeri-negeri yang tidak beraja, melantik Perdana Menteri, Kabinet dan anggota pentadbiran persekutuan yang lain, melantik hakim-hakim persekutuan, dan merupakan Panglima Tertinggi Angkatan Tentera Malaysia.

Konsep ketuanan Melayu termeterai melalui pemegang jawatan ini kerana Yang di-Pertuan Agong dipilih setiap lima tahun sekali oleh Majlis Raja-Raja dari kalangan sembilan orang Raja-Raja Melayu yang sedang bertakhta. Hanya Raja-Raja Melayu yang berhak dilantik menjadi Yang di-Pertuan Agong.

Asas ini diperkukuhkan lagi melalui peruntukan Perkara 3(1), 152 dan 153 Perlembagaan Persekutuan. Perkara 3(1) memperuntukkan Islam sebagai agama rasmi negara, agama yang menjadi asas kemelayuan itu sendiri. Mengikut Perkara 160 tiga kriteria utama untuk seseorang itu diktiraf Melayu adalah individu tersebut mestilah seorang penganut agama Islam, bertutur bahasa Melayu dan menurut adat istiadat Melayu.

Perlembagaan Persekutuan selaku undang-undang tertinggi negara tidak pula menjadikan penganutan agama tertentu sebagai syarat pengiktirafan etnik tertentu bagi seseorang individu mahupun memberikan taraf agama rasmi kepada agama anutan individu terbabit.

Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan pula menjadikan Bahasa Melayu (bukan Bahasa Malaysia) sebagai bahasa kebangsaan tunggal negara, peruntukkan ini diperkukuhkan lagi oleh Akta Bahasa Kebangsaan 1963/67 yang meletakkan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi negara.

Tanggapan banyak pihak bahawa hanya Peruntukan Perkara 153 yang memaktubkan hak-hak istimewa orang Melayu satu-satunya bukti ketuanan Melayu dalam konteks politik adalah tersasar jauh dari realiti yang ada.Pihak-pihak yang menolak konsep ketuanan Melayu sebenarnya menolak Perlembagaan negara yang sedia ada dan rata-ratanya bersifat perkauman.Ini kerana penolakan ketuanan Melayu bermakna mereka sebenarnya menolak legitimasi sistem Raja Berperlembagaan yang sedang kita amalkan hari ini.

Mereka menolak kedudukan Islam sebagai agama rasmi tunggal negara, mereka menolak kedudukan Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi negara serta mereka menolak hak-hak keistimewaan orang- orang Melayu sebagai pribumi asal Tanah Melayu.

Kes liwat: Anwar keluar kedutaan, dakwa cubaan halang beliau bertanding pilihan raya kecil


SELAMAT...Penasihat Parti Keadilan Rakyat, Datuk Seri Anwar Ibrahim, tersenyum gembira sambil melambaikan tangan kepada orang ramai yang menyaksikan beliau keluar meninggalkan Kedutaan Turki petang tadi.Pagi tadi Anwar telah memfailkan saman ke atas pembantu khasnya, Saiful Bukhari Azlan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.Sebelum ini, Saiful telah membuat laporan polis mendakwa mendakwa Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu telah meliwatnya. Anwar menyifatkan dakwaan liwat yang mengaitkan beliau seakan-akan konspirasi politik 1998-99 berulang.


KUALA LUMPUR: Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) Datuk Seri Anwar Ibrahim mendakwa dakwaan liwat terbaru bertujuan menghalang beliau daripada mengumumkan hasrat untuk bertanding dalam satu pilihan raya kecil yang sepatutnya diumumkan minggu ini.Kata Anwar, pengakuan itu juga bertujuan mengagalkan rancangan beliau untuk membuat satu pengumuman rasmi mengenai empat ahli Parlimen Barisan Nasional melompat Pakatan Rakyat.

Beliau berkata, empat ahli Parlimen berkenaan termasuklah dua wakil rakyat daripada Umno.

Anwar sebelum ini pernah berkata 30 ahli Parlimen BN akan menyertai Pakatan Rakyat untuk menubuhkan Kerajaan Persekutuan.Kenyataan tersebut dikeluarkan oleh Anwar selepas beliau keluar dari Kedutaan Turki petang tadi setelah mendapat jaminan atas keselamatannya .Terdahulu, Anwar meninggalkan kediaman duta Turki di Jalan Ampang Hilir, tempat beliau berlindung sejak pagi semalam.Anwar yang diiringi isterinya Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail meninggalkan kediaman duta itu kira-kira pukul 6.45 petang menaiki sebuah kenderaan MPV Mazda berwarna hitam.Turut mengiringi Anwar ialah peguamnya Sakaran Nair, anggota keluarga serta beberapa orang penyokongnya.Terdahulu, Sakaran dilihat tiba di kediaman duta itu kira-kira pukul 6.15 petang diikuti Dr Wan Azizah dan Naib Presiden PKR Azmin Ali kirakira pukul 6.40 petang.

Azmin yang ditemui pemberita berkata Anwar pada awalnya tidak berpuas hati dengan jaminan yang dikeluarkan oleh Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada sidang media di Parlimen hari ini.Bagaimanapun, katanya setelah Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Syed Hamid Albar mengeluarkan kenyataan jaminan keselamatan yang dihantar ke Kedutaan Turki, barulah Anwar dengan rela hati memutuskan untuk keluar dari kediaman duta tersebut.

Sementara itu, penyokong Anwar yang berkumpul di kedutaan Turki diminta berkumpul di ibu pejabat PKR di Tropicana, Petaling malam ini untuk mendengar amanat mantan timbalan perdana menteri itu. Sakaran yang ditemui pemberita di rumah Residen kedutaan Turki petang ini memaklumkan jaminan itu dikeluarkan oleh pejabat keduadua menteri tersebut kepadanya.Berikutan itu katanya, Anwar akan dibawa pulang ke rumahnya di Segambut.
Bagaimanapun katanya sehingga kini Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahnmad Badawi tidak mengeluarkan arahan ataupun memberi sebarang jaminan tentang keselamatan Anwar.

Anwar sebelum meninggalkan kediaman tersebut menemui pemberita yang menunggu sejak pagi tadi di luar perkarangan kediaman itu.Katanya beliau dengan rela hati keluar dari kediaman Kedutaan Turki itu atas beberapa sebab iaitu jaminan keselamatan daripada Menteri Luar Datuk Seri Dr Rais Yatim yang difakskan ke Kedutaan Turki petang tadi.Selain itu, jaminan keselamatan oleh Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Syed Hamid Albar yang disampaikan kepada peguamnya di Parlimen tengah hari tadi serta jaminan longgar yang disampaikan oleh Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak."Saya bimbang, jaminan keselamatan yang longgar oleh TPM ini kerana tahap keselamatan polis yang saya pertikaikan," katanya sambil menambah, kebanyakan polis bertugas secara profesional dan hanya kepimpinan tertinggi polis yang dipertikaikan.

"Sekarang ini kerana adanya muslihat dan saya akan buktikan dan saya akan dedahkan," katanya.Ketika ditanya adakah beliau akan memberikan kerja sama terhadap siasatan polis berhubung dakwaan tersebut, beliau berkata:

"Saya akan beri kerjasama terhadap siasatan polis..tetapi dalam penyiasatan apa? Penyiasatan berniat jahat? Mereka hanya mereka cipta fakta ini, termasuk polis, pendakwa raya."Beliau mendakwa bahawa dakwaan kes tersebut hanyalah pilihan khas yang ingin "menjahanamkan" karier politiknya."Minggu ini (Selasa) saya patut umum keputusan bertanding dalam pilihan raya kecil," katanya.Anwar juga mendakwa empat orang anggota Parlimen BN akan menyertai Pakatan Rakyat termasuk dua dari Umno."Sebab itu mereka bertindak sedemikian (mengaitkan dengan liwat) untuk mengelakkan perkara ini berlaku (daripada menyertai pilihan raya). Sebab inilah perkara ini direka," katanya. BERNAMA

BERITA TERDAHULU

KUALA LUMPUR: Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim difahamkan akan meninggalkan Kedutaan Turki, lewat petang ini setelah mendapat jaminan atas keselamatannya.Terdahulu, Anwar berkata, dia hanya akan meninggalkan kedutaan tersebut sekitar jam 5.30 atau 6 petang hari ini. "Saya masih menunggu. Wan Azizah akan berjumpa PM. Setelah selesai, saya akan keluar dari kedutaan pada jam 5.30 atau 6 petang," ujar Anwar ketika dihubungi Reuters sebelum itu.Menurut Anwar, dakwaan kes liwat tersebut berkemungkinan merupakan satu taktik untuk mengalih tumpuan rakyat terhadap isu-isu berkaitan kenaikan harga petrol dan makanan serta skandal-skandal lain berkaitan kerajaan.

"Ini merupakan satu helah untuk alih perhatian rakyat. Tetapi rakyat tidak boleh dibeli dan disalahertikan oleh media." Anwar bakal mengadakan satu sidang media di pejabat PKR di Petaling Jaya, pada jam 9 malam ini berhubung kes tersebut. REUTERS