Friday, July 4, 2008

Hasad Dengki

Setiap orang yang mempunyai perasaan dan berakal memang mengetahui apa yang dinyatakan sebagai hasad dengki . Malah, kita mungkin pernah mengalami perasaan ini, iaitu satu perasaan irihati terhadap orang lain yang memiliki kebaikan atau kelebihan. Perasaan ini mungkin bersama dengan harapan untuk mendapat kebaikan atau kelebihan yang dimiliki oleh orang tersebut. Dan pada masa yang sama juga mungkin iri hati itu bersama cita-cita untuk melihat kejatuhan orang yang diirihatikan itu. Sebagaimana firman Allah yang berbunyi;


Yang bermaksud: “Jikalau kamu semua mendapatkan kebaikan, maka hal itu tidak menyelesakan hati mereka sedang jikalau kamu semua mendapat kemudaratan, maka merekapun bergembira disebabkan kemudaratan tersebut.” (Surah al-Imran: 120)

Apakah pandangan Islam terhadap perasaan ini? Jika dilihat dari aspek sejarah kehidupan manusia, dengki ini sebenarnya telahpun lahir sejak zaman Nabi Adam a.s. sebagaimana kisah yang terdapat di dalam al-Quran. Allah berfirman;
“Ceritakanlah kepada mereka kisah dua putera Nabi Adam (Habil dan Qabil) menurut yang sebenarnya, ketika keduanya mempersembahkan korban, maka diterima dari salah seorang dari mereka berdua (Habil) dan tidak diterima dari yang lain (Qabil). Dia berkata (Qabil): “Aku pasti membunuhmu!”. Berkata Habil: Sesungguhnya Allah hanya menerima (korban) dari orang-orang yang bertakwa”. (Al-Mai'dah: 27)

Kisah ini mengenai konflik yang berlaku di antara dua orang putera Nabi Adam a.s., yakni Qabil dan Habil. Apabila Allah menurunkan perintah agar mereka ini mempersembahkan korban, maka Habil menerima perintah tersebut dengan lapang dada dan memilih binatang ternakannya yang paling berkualiti untuk dipersembahkan kepada Allah dengan mengharapkan keredaan Allah s.w.t. semata-mata. Sebaliknya pula, Qabil menerima perintah Allah dengan rasa terpaksa. Maka Qabil pun, mempersembahkan hasil pertanian yang paling buruk kepada Allah s.w.t. Dengan dua bentuk korban yang persembahan kedua-duanya amat berbeza, maka tentulah Allah memilih korban yang baik dan dipersembahkan dengan hati yang ikhlas dan penuh pengharapan sebagai seorang hamba. Lantaran itu, Allah s.w.t. pun memerintahkan api untuk memakan korban yang dipersembahkan oleh Habil. Bagaimanapun, Qabil tidak merasa senang dengan keadaan tersebut dan merasa iri hati terhadap Habil. Perasaan iri hati yang meluap-luap, akhirnya menimbulkan rasa dendam di dalam diri Qabil.


Selain Qabil berdendam dengan Habil kerana korbannya yang terpilih, Qabil juga turut mendendami Habil kerana ayahanda mereka menjodohkan Habil dengan saudara kembarnya yang lebih cantik berbanding dengan saudara kembar Habil. Sebaliknya, Qabil pula dijodohkan dengan saudara kembar Habil yang berupa paras lebih sederhana.


Apabila Qabil mempunyai kesempatan untuk melepaskan dendamnya, maka diapun menemui Habil dan menyatakan, “Sesungguhnya aku mahu membunuhmu.” Habil pun bertanya dengan perasaan yang amat hairan, “Mengapa engkau mahu membunuh aku?” Jawab Qabil dengan hasad yang terbuku di dadanya, “Kerana Allah menerima korbanmu dan menolak korbanku, dan engkau akan menikahi saudara perempuanku yang cantik sedangkan aku pula harus menikahi saudara perempuanmu yang hodoh, sehingga orang lain akan berbicara bahawa engkau itu lebih baik daripadaku dan keturunanmu akan berbangga kepada keturunanku.”


Apabila Qabil berjaya membunuh Habil, timbul rasa menyesal dengan apa yang telah dilakukannya. Walau bagaimanapun, penyesalan tersebut hanya sia-sia kerana apabila Nabi Adam mengetahui mengenai peristiwa tersebut, baginda tidak mahu menerima kembali anaknya itu dan diapun dihalau. Dalam keadaan yang terbuang, Qabil telah menerima hasutan dan pengaruh iblis yang akhirnya menjadikan dirinya sesat dan melakukan pelbagai perkara yang keji. Lantaran itu, Allah telah memusnahkan keturunannya ketika zaman Nabi Nuh a.s.


Pengajaran yang boleh dapati berdasarkan kisah dua putera Nabi Adam ini ialah, hasad dengki menyebabkan seseorang boleh bertindak tanpa rasional yang boleh menyebabkan penyesalan yang tiada kesudahan. Hasad dengki juga mendorong seseorang untuk melakukan perkara-perkara yang sesat. Telah dinyatakan bahawa;


“Sesungguhnya orang yang pertama kali berbuat dengki di langit ialah iblis terkutuk, maka berlanjutanlah sifat dengki itu seperti yang ada. Dan orang yang pertama kali melakukan dengki di dunia ialah Qabil pada saat dia berhasad dengki terhadap saudara kandungnya yakni Habil, maka berlanjutanlah sifat dengki seperti yang ada. Maka cukuplah perbuatan keduanya itu sebagai nasihat dan pengajaran bagi mereka yang berfikir.”


Rasulullah s.a.w. bersabda;


Yang bermaksud: “Sesungguhnya pada nikmat Allah ta'ala itu terdapat musuh-musuh. Baginda ditanya: “Siapakah musuh-musuh itu ya Rasulullah? Baginda menjawab, Mereka ialah orang-orang yang berhasad dengki terhadap orang lain atas anugerah yang diberikan oleh Allah.”


Perasaan buruk ini boleh wujud di dalam hati manusia disebabkan manusia itu mempunyai rasa permusuhan dan kebencian. Dalam erti kata yang lain, dia tidak merasa bahawa berbaik-baik sesama manusia dan sayang-menyayang dengan saudara seislam adalah keperluan bagi kekuatan umah, yang menyumbang rasa bahagia bagi jiwa seorang muslim. Orang yang berada dalam lingkungan ini sudah pasti tidak gemar untuk menyumbang kebajikan kepada orang lain ataupun mendengar kebahagiaan yang dimiliki oleh saudaranya (seislam).


Hasad dengki juga lahir disebabkan merasa dirinya berada dalam kedudukan yang lebih tinggi dan mulia berbanding orang lain. Apabila dia melihat keadaan orang lain yang mempunyai kebaikan atau kelebihan yang tidak dimilikinya, dia menjadi rasa tercabar. Perasaan tersebutlah yang dinyatakan sebagai dengki.


Orang yang mudah merasa iri hati terhadap orang lain biasanya amat menyukai kedudukan sebagai pemimpin atau ketua. Dia tidak mahu ada orang lain yang dapat menyainginya. Orang-orang sebegini sudah pasti tidak merasa senang apabila melihat ada orang yang lebih berwibawa dan berpengaruh daripadanya.


Sebagaimana kisah Habil dan Qabil tadi, hasad dengki merupakan sifat yang boleh memberikan kesan buruk kepada diri pengamalnya. Sekurang-kurangnya terdapat lapan kesan buruk yang boleh timbul akibat dari sifat dengki ini;


1) Sifat dengki mengakibatkan terhapusnya amalan baik yang pernah dilakukan oleh seseorang. Apabila seorang muslim melakukan kebaikan, dia akan beroleh pahala. Malangnya, apabila dia mempunyai sifat dengki terhadap orang lain, amalan-amalan kebaikan yang pernah dilakukannya akan terhapus disebabkan perasaan dengki tersebut.


Sabda Rasulullah s.a.w.: “Jauhilah olehmu sekalian akan sifat dengki, kerana sesungguhnya dengki itu menghapuskan kebaikan, sebagaimana api menghanguskan kayu bakar.” Yakni, boleh menyebabkan kufur.

2) Perasaan dengki mendorong diri seseorang untuk membuat kemungkaran dan penderhakaan terhadap Allah dalam bentuk yang lain. Apabila hasad dengki telah bersarang di dalam dada seseorang, maka dia akan meluahkan perasaan itu dalam bentuk umpatan (ghibah), berkata bohong, mencaci dan memburuk-burukkan seseorang. Dengan harapan kelebihan atau kebaikan pada orang yang didengkinya itu akan hilang.


Dari Dhamrah bin Tha'labah, Rasulullah s.a.w. bersabda:


Yang bermaksud: “Manusia itu adalah baik selama mana mereka tidak saling dengki-mendengki.”


3) Sifat dengki akan menyebabkan seseorang itu kehilangan syarat untuk menerima syafa'at pada hari kiamat.


Syafa'at adalah suatu anugerah yang tidak ternilai harganya bagi seseorang yang menerimanya ketika Hari Akhirat. Ini kerana, seseorang yang menerima syafa'at diberi izin untuknya membantu orang-orang lain yang mengalami pelbagai kesusahan dan azab ketika hari perhitungan. Jadi, tentulah amat malang bagi mereka yang mempunyai perasaan hasad dengki dan iri hati ketika hidup kerana perasaan ini berupaya menjadi penghalang yang amat besar baginya untuk menerima manfaat syafa'at pada hari akhirat yang boleh memudahkannya untuk menempuh pelbagai rintangan dan azab pada hari dia dihisab. Sebuah hadis Rasulullah s.a.w. dari Abdullah bin Basyar, Rasulullah bersabda:


Yang bermaksud: “Tidak termasuk golonganku si pendengki, orang mengadu domba, orang yang mempunyai ilmu menilik dan akupun tidak dari golongannya.”


Kemudian baginda membaca ayat al-Qur'an:


Yang maksudnya berbunyi: “Orang-orang yang menyakiti hati orang-orang mukmin laki-laki dan perempuan di atas perkara yang tidak dilakukan, maka sesungguhnya mereka itu telah melakukan dusta dan dosa yang nyata.”



4) Oleh sebab dengki merupakan sifat yang menempah dosa, maka tentulah ia akan menyebabkan pengamalnya akan humbankan ke dalam neraka sekiranya dia tidak bertaubat. Rasulullah s.a.w. bersabda yang antara lain bermaksud;


“Rasulullah telah ditanya mengenai enam golongan yang akan ditempatkan ke dalam neraka. Rasulullah menjawab., Enam golongan orang yang akan dimasukkan ke dalam neraka ialah, pemerintah yang menganiaya, orang Arab dengan sifatnya yang fanatik, penjajah dengan keangkuhan mereka, usahawan dengan perbuatan khianat, orang kampung dengan kebodohan mereka dan para ulama dengan sifat dengki mereka.”


5) Sifat dengki juga akan menyebabkan seseorang itu boleh melakukan perkara yang boleh memudaratkan orang lain. Contoh yang paling mudah adalah dengan melihat kisah Habil dan Qabil pada awal perbincangan tadi. Hasad dengki dan dendam kesumat yang wujud dalam perasaan Qabil telah menyebabkan kematian Habil. Di dalam hal ini, Habil telah menerima kemudaratan yang amat dahsyat disebabkan rasa hasad abang kandungnya sendiri. Apabila seseorang telah melakukan kemudaratan kepada orang lain, tentulah kesan buruknya akan pulang semula kepada dirinya. Selain itu, pengajaran lain yang boleh didapati di sini, kita seharusnya memohon perlindungan dari kejahatan orang yang berhasad dengki. Di dalam hal ini Allah s.w.t. telah menyentuh perkara ini dalam firmannya yang bermaksud;


“…dan dari kejahatan orang yang mendengki.”



6) Memiliki hasad dengki akan hanya menyebabkan kesusahan dan kesulitan kepada pemiliknya. Orang yang memiliki sifat ini tidak pernah merasa selesa dengan keadaan dirinya sendiri. Tidak ada ketenangan dalam dirinya kerana hanya memikirkan kelebihan dan kebaikan orang-orang yang berada di sekelilingnya dan merasakan dirinya juga wajar untuk memiliki kelebihan tersebut.



7) Hasad dengki yang berada di dalam hatinya akan menghalang pintu hatinya daripada memahami secara sebenarnya tentang ilmu-ilmu agama dan perkara-perkara mengenai hukum hakam. Hatinya akan menjadi gelap dan sesungguhnya orang-orang ini akan berada dalam kerugian. Ini kerana orang lain dapat memahami dengan mudah mengenai ilmu-ilmu agama, dan kesannya perhubungannya di antara hamba dengan Pencipta akan menjadi semakin dekat berbanding dengan orang yang mempunyai hasad dengki. Oleh sebab tidak ada keinsafan dalam dirinya, maka perhubungannya dengan Allah s.w.t. menjadi semakin jauh. Kata Sufyan dalam hal ini;


“Jangan engkau menjadi orang yang dengki lagi mudah membuat kesimpulan.”


8) Orang yang mempunyai hasad dengki akan sentiasa terhalang dari mendapat kebaikan dan keuntungan, bahkan dia menguntungkan musuh-musuhnya.Ini kerana, orang-orang yang mempunyai rasa dengki lazimnya akan merasa iri hati pada orang-orang yang baik, yang sewajarnya menjadi orang yang dikasihinya sebagai saudara seagama. Walaupun demikian, disebabkan sikapnya yang buruk itu, musuh-musuh orang yang didengkinya itu akan lebih beruntung. Tugas musuh-musuh ini akan menjadi lebih mudah untuk menjatuh atau memusnahkan orang yang mempunyai kebaikan dan kelebihan tersebut.


Selain itu, sebagaimana yang telah dinyatakan tadi, sikap ini akan merugikan orang yang berhasad dengki. Oleh sebab dia telah menjauhkan dirinya dari orang-orang yang didengkinya dan pada masa yang sama dia juga tidak mendapat manfaat daripada musuh-musuh orang yang didengkinya. Maka, dia sebenarnya telah meminggirkan dirinya dari semua orang. Keadaan ini sesuai dengan satu kata-kata hikmat yang mengatakan;


“Orang yang berhasad itu tidak akan menuai hasil keuntungan.”


Jika dilihat kepada akibat yang bakal diterima oleh mereka yang mempunyai perasaan ini, maka kerugian yang perlu ditanggung amat besar nilainya. Jadi, tentulah amat malang bagi mereka yang tidak melakukan apa-apa untuk menahan daripada perasaan ini wujud. Islam memberi panduan dan pedoman bagi mereka yang mahu menyelamatkan diri dari belenggu dosa ini.


Ilmu dan takwa adalah senjata sebenar yang dapat melawan perasaan yang boleh menjahanamkan manusia ini. Ilmu yang dimiliki oleh manusia dapat memberi amaran tentang akibat-akibat yang bakal diterima sekiranya perasaan ini diamalkan. Peminggiran dari aspek sosial sebenarnya adalah kerugian yang amat besar bagi seseorang manusia yang ingin diterima masyarakat. Melalui ilmu juga, seseorang manusia akan berusaha untuk mencapai darjah ketakwaan.


Ketakwaan seorang hamba pula akan menjadikan seseorang manusia itu menginsafi akan kewujudannya di bumi ini. Di dunia ini, sebagai seorang khalifah dia diperintahkan untuk memakmurkan muka bumi ini, menyayangi sesama umat Islam, berlaku adil, membuat kebaikan dan meninggalkan segala keburukan dan kejahatan. Dia akan sanggup melakukan apa sahaja yang diperintahkan oleh Allah dan meninggalkan segala larangan-Nya semata-mata untuk mendapatkan keredaan Allah. Dia meyakini bahawa sebaik-baik umat manusia adalah yang paling bertakwa kepada Allah.


Kesimpulannya, hasad dengki hanya akan menyebabkan kerugian kepada orang yang memilikinya dan kepada agama Islam sendiri. Bagi individu yang memilikinya, dia akan terpinggir dari hidup bermasyarakat, mempunyai perasaan yang sentiasa tidak aman dan akan menyebabkannya melakukan perkara-perkara yang lebih keji. Apabila dia berada di akhirat, akan menanggung kerugian yang lebih besar, tidak tertanggung dan menempah penyesalan yang tidak terkira kerana tidak layak untuk menerima dan mendapat syafa'at dan tidak ditempatkan dalam tempat yang penuh kebaikan, kemewahan dan keberkataan, yakni syurga. Walaupun kerugian itu ditanggung secara personal oleh pengamalnya, akan tetapi ia juga memberi kesan yang tidak baik kepada ukhuwwah islamiyyah. Umat Islam akan menjadi tidak bersatu dan tidak akan menjadi sebuah umat yang kuat sekiranya sifat ini diamalkan oleh orang-orang Islam. Akhirnya, umat Islam secara keseluruhannya yang akan rugi.


Walaupun demikian, sebenarnya terdapat sedikit ruang atau keringanan dalam perkara dengki. Sebenarnya, tidaklah jatuh haram atau berdosa sekiranya seseorang itu merasa iri hati apabila memandang kelebihan dan kebaikan yang dimiliki oleh orang lain tanpa harapan atau cita-cita untuk melihat kelebihan tersebut hilang dan lenyap dari pemiliknya.


Mudah-mudahan kita sama-sama dapat mengambil iktibar dan pengajaran daripada perbincangan ini.

Nilai Tudung Wanita

Bila wanita menjaga auratnya dari pandangan lelaki bukan muhram, bukan sahaja dia menjaga maruah dirinya, malah maruah wanita mukmin keseluruhannya. Harga diri wanita terlalu mahal. Ini kerana syariat telah menetapkan supaya wanita berpakaian longgar dengan warna yang tidak menarik serta menutup seluruh badannya dari kepala hingga ke kaki.

Kalau dibuat perbandingan dari segi harta dunia seperti intan dan berlian, ianya dibungkus dengan rapi dan disimpan pula di dalam peti besi yang berkunci. Begitu juga diumpamakan dengan wanita, Kerana wanita yang bermaruah tidak akan mempamerkan tubuh badan di khalayak umum. Mereka masih boleh tampil di hadapan masyarakat bersesuaian dengan garisan syarak. Wanita tidak sepatutnya mengorbankan maruah dan dirinya semata-mata untuk mengejar pangkat, darjat, nama, harta dan kemewahan dunia.

Menyentuh berkenaan pakaian wanita, alhamdulillah sekarang telah ramai wanita yang menjaga auratnya, sekurang-kurangnya dengan memakai tudung. Dapat kita saksikan di sana sini wanita mula memakai tudung. Pemakaian tudung penutup aurat sudah melanda dari peringkat bawahan hingga kepada peringkat atasan. Samada dari golongan pelajar-pelajar sekolah hinggalah kepada pekerja-pekerja pejabat-pejabat.

Walaupun pelbagai gaya tudung diperaga dan dipakai, namun pemakaiannya masih tidak lengkap dan sempurna. Masih lagi menampakkan batang leher, dada dan sebagainya. Ada yang memakai tudung, tetapi pada masa yang sama memakai kain belah bawah atau berseluar ketat dan sebagainya. Pelbagai warna dan pelbagai fesyen tudung turut direka untuk wanita-wanita Islam kini.

Ada rekaan tudung yang dipakai dengan songkok di dalamnya, dihias pula dengan kerongsang (broach) yang menarik. Labuci warna-warni dijahit pula di atasnya. Dan berbagai-bagai gaya lagi yang dipaparkan dalam majalah dan suratkhabar fesyen untuk tudung. Rekaan itu kesemuanya bukan bertujuan untuk mengelakkan fitnah, sebaliknya menambahkan fitnah ke atas wanita.

Walhal sepatutnya pakaian bagi seorang wanita mukmin itu adalah bukan sahaja menutup auratnya, malah sekaligus menutup maruahnya sebagai seorang wanita. Iaitu pakaian dan tudung yang tidak menampakkan bentuk tubuh badan wanita, dan tidak berhias-hias yang mana akan menjadikan daya tarikan kepada lelaki bukan muhramnya. Sekaligus pakaian boleh melindungi wanita dari menjadi bahan gangguan lelaki yang tidak bertanggungjawab.

Bilamana wanita bertudung tetapi masih berhias-hias, maka terjadilah pakaian wanita Islam sekarang walaupun bertudung, tetapi semakin membesarkan riak dan bangga dalam diri. Sombong makin bertambah. Jalan mendabik dada. Terasa tudung kitalah yang paling cantik, up-to-date, sofistikated, bergaya, ada kelas dan sebagainya. Bertudung, tapi masih ingin bergaya.

Kesimpulannya, tudung yang kita pakai tidak membuahkan rasa kehambaan. Kita tidak merasakan diri ini hina, banyak berdosa dengan Tuhan mahupun dengan manusia. Kita tidak terasa bahawa menegakkan syariat dengan bertudung ini hanya satu amalan yang kecil yang mampu kita laksanakan. Kenapa hati mesti berbunga dan berbangga bila boleh memakai tudung?

Ada orang bertudung tetapi lalai atau tidak bersembahyang. Ada orang yang bertudung tapi masih lagi berkepit dan keluar dengan teman lelaki . Ada orang bertudung yang masih terlibat dengan pergaulan bebas. Ada orang bertudung yang masih menyentuh tangan-tangan lelaki yang bukan muhramnya. Dan bermacam-macam lagi maksiat yang dibuat oleh orang-orang bertudung termasuk kes-kes besar seperti zina, khalwat dan sebagainya.

Jadi, nilai tudung sudah dicemari oleh orang-orang yang sebegini. Orang Islam lain yang ingin ikut jejak orang-orang bertudung pun tersekat melihat sikap orang-orang yang mencemari hukum Islam. Mereka rasakan bertudung atau menutup aurat sama sahaja dengan tidak bertudung. Lebih baik tidak bertudung. Mereka rasa lebih bebas lagi.

Orang-orang bukan Islam pula tawar hati untuk masuk Islam kerana sikap umat Islam yang tidak menjaga kemuliaan hukum-hakam Islam. Walaupun bertudung, perangai mereka sama sahaja dengan orang-orang bukan Islam. mereka tidak nampak perbezaan agama Islam dengan agama mereka.

Lihatlah betapa besarnya peranan tudung untuk dakwah orang lain. Selama ini kita tidak sedar diri kitalah agen bagi Islam. Kita sebenarnya pendakwah Islam. Dakwah kita bukan seperti pendakwah lain tapi hanya melalui pakaian.

Kalau kita menutup aurat, tetapi tidak terus memperbaiki diri zahir dan batin dari masa ke semasa, kitalah punca gagalnya mesej Islam untuk disampaikan. Jangan lihat orang lain. Islam itu bermula dari diri kita sendiri.

Ini tidak bermakna kalau akhlak belum boleh jadi baik tidak boleh pakai tudung. Aurat, wajib ditutup tapi dalam masa yang sama, perbaikilah kesilapan diri dari masa ke semasa. Tudung di luar tudung di dalam (hati). Buang perangai suka mengumpat, berdengki, berbangga, ego, riak dan lain-lain penyakit hati.

Walau apapun, kewajipan bertudung tidak terlepas dari tanggungjawab setiap wanita Muslim. Samada baik atau tidak akhlak mereka, itu adalah antara mereka dengan Allah. Amat tidak wajar jika kita mengatakan si polanah itu walaupun bertudung, namun tetap berbuat kemungkaran. Berbuat kemungkaran adalah satu dosa, manakala tidak menutup aurat dengan menutup aurat adalah satu dosa lain.

Kalau sudah mula menutup aurat, elak-elaklah diri dari suka bertengkar. Hiasi diri dengan sifat tolak ansur. Sentiasa bermanis muka. Elakkan pergaulan bebas lelaki perempuan. Jangan lagi berjalan ke hulu ke hilir dengan teman lelaki. Serahkan pada Allah tentang jodoh. Memang Allah sudah tetapkan jodoh masing-masing. Yakinlah pada ketentuan qada' dan qadar dari Allah.

Apabila sudah menutup aurat, cuba kita tingkatkan amalan lain. Cuba jangan tinggal sembahyang lagi terutama dalam waktu bekerja. Cuba didik diri menjadi orang yang lemah-lembut. Buang sifat kasar dan sifat suka bercakap dengan suara meninggi. Buang sikap suka mengumpat, suka mengeji dan mengata hal orang lain. jaga tertib sebagai seorang wanita. Jaga diri dan maruah sebagai wanita Islam. Barulah nampak Islam itu indah dan cantik kerana indah dan cantiknya akhlak yang menghiasi peribadi wanita muslimah.

Barulah orang terpikat untuk mengamalkan Islam. Dengan ini, orang bukan Islam akan mula hormat dan mengakui "Islam is really beautiful." Semuanya bila individu Islam itu sudah cantik peribadinya. Oleh itu wahai wanita-wanita Islam sekalian, anda mesti mengorak langkah sekarang sebagai agen pengembang agama melalui pakaian.

Monday, June 30, 2008

Awas perangkap hotel murah - Rakam aksi pengunjung dalam bentuk DVD untuk dijual


SEORANG peniaga menunjukkan kepada seorang pelanggan VCD dan DVD lucah yang dijual di kedainya di Bandar Kuala Rompin, Pahang semalam.



ROMPIN – Perlakuan lucah pasangan muda-mudi tempatan yang dirakam secara curi oleh sindiket tertentu di bilik hotel murahan tertentu kini laris dijual dalam format cakera video digital (DVD) untuk tatapan ‘peminat setianya’.DVD berkenaan dikatakan mendapat permintaan yang tinggi di pasaran gelap kerana mangsa- mangsa rakaman itu terdiri daripada gadis-gadis tempatan cantik yang datang menyewa bersama pasangan masing-masing.Difahamkan, mereka dijadikan sasaran utama dengan diberi bilik tertentu yang telah dilengkapi kamera tersembunyi oleh petugas hotel.

“Tak semua bilik pasang kamera, biasanya satu bilik (khas) saja. Kalau ada lelaki yang datang dengan perempuan cantik, petugas hotel akan bagi bilik yang ada kamera.“Saya pun tak tahu banyak pasal (kegiatan) ini, tapi rasa-rasanya di negeri lain pun ada buat juga macam ini,” dakwa seorang lelaki penjual DVD lucah di sekitar bandar ini kepada wartawan Kosmo! yang menyamar sebagai pembeli.Lelaki tersebut yang hanya dikenali sebagai Chong memberitahu, kegiatan tersebut semakin popular kerana permintaan tinggi daripada para pelanggan terhadap DVD lucah gadis-gadis tempatan

Realiti ketuanan Melayu

KEBELAKANGAN ini suara- suara sumbang yang mempertikaikan ketuanan Melayu dengan mendakwa bahawa konsep berkenaan bersifat perkauman dan tidak relevan dengan realiti Malaysia yang berbilang kaum semakin lantang kedengaran. Terdapat pula sesetengah pihak yang cuba menangguk di air keruh dengan melaga- lagakan konsep ketuanan Melayu dengan ketuanan rakyat.Sebenarnya dalam konteks politik Malaysia faktor sejarah serta realiti demografik menyebabkan konsep ketuanan Melayu dan ketuanan rakyat muncul sebagai konsep yang bukan sahaja saling tidak bertentangan malahan ia merupakan sisi yang berbeza bagi satu syiling yang sama, saling lengkap melengkapi.

Bagi Malaysia konsep ketuanan rakyat dalam bidang politik telah mula tertegak semenjak negara mencapai kemerdekaan daripada penjajahan Inggeris lebih 50 tahun yang lalu. Konsep ketuanan rakyat adalah teras asas bagi mana-mana negara yang mengamalkan sistem demokrasi pelbagai parti yang berwibawa. Ini kerana dalam sebuah demokrasi rakyatlah yang mempunyai kuasa mutlak melalui undi mereka untuk menentukan parti politik atau gabungan parti politik yang akan membentuk kerajaan. Melalui konsep ketuanan rakyat aspirasi golongan majoriti dihormati manakala kepentingan sah kaum minoriti dilindungi berdasarkan prinsip kedaulatan undang-undang.

Kewujudan ketuanan rakyat tanpa kewujudan ketuanan Melayu di Malaysia bermakna penindasan golongan minoriti terhadap kaum majoriti. Jika ini berlaku maka ia tiada beza dengan apa yang pernah berlaku sebelum tahun 1994 di negara Afrika Selatan iaitu yang dinamakan sistem aparteid.Dalam membicarakan konsep ketuanan Melayu perkara pertama yang harus diinsafi oleh semua pihak adalah konsep ini tidak sekali-kali membawa konotasi perhubungan submisif yang wujud antara tuan dan hamba sebagaimana yang lazimnya difahami.Konsep ketuanan Melayu wujud semata-mata hasil manifestasi faktor demografik negara dan kontrak sosial antara kaum yang diijmakkan semasa negara mencapai kemerdekaan.

Ia sebenarnya telah dibayar dengan harga yang cukup mahal oleh orang Melayu apabila mereka terpaksa menerima hakikat bahawa Tanah Melayu akan selama-lamanya berubah dari negara yang bersifat eka kaum kepada pelbagai kaum. Orang Melayu tidak mempunyai pilihan di dalam soal ini. Sudahlah apabila golongan imigran di bawa masuk ke bumi Tanah Melayu orang Melayu tidak dirundingi, untuk memperoleh kemerdekaan mereka terpaksa pula menerima kerakyatan yang diberikan kepada kaum imigran.

Persepsi bahawa wujud pertembungan di antara ketuanan rakyat dan ketuanan Melayu timbul kerana ketidakprihatinan malahan ketidakpedulian sesetengah pihak terhadap dokumen paling asas negara iaitu Perlembagaan Persekutuan yang merupakan undang-undang tertinggi negara.

Sebenarnya kajian yang teliti terhadap dokumen ini akan membawa kita kepada satu kesimpulan yang jelas iaitu konsep ketuanan rakyat (antara lainnya dilambangkan melalui peruntukkan-peruntukkan Perkara 40 (1) & (1A), Perkara 43 (2),(3),(4) & (5), Perkara 46 (1) dan Perkara 159 Perlembagaan Persekutuan).

Ketuanan Melayu adalah konsep- konsep yang sememangnya sudah dimaktubkan oleh undang-undang tertinggi negara.Semenjak merdeka orang Melayu adalah penduduk majoriti negara ini, hari ini orang Melayu membentuk 65 peratus penduduk Malaysia. Disebabkan faktor ini jawatan Perdana Menteri dan majoriti anggota Kabinet serta ahli-ahli Parlimen semenjak merdeka dipegang oleh orang Melayu.

Selain daripada fakta bahawa orang Melayu adalah penduduk majoriti negara ini asas utama yang mengukuhkan lagi konsep ketuanan Melayu di dalam sistem pemerintahan negara adalah Perkara 32 Perlembagaan Persekutuan yang mewujudkan institusi Yang di- Pertuan Agong selaku Ketua Negara bagi Malaysia.Mengikut Perlembagaan Yang di-Pertuan Agong adalah Ketua Cabang Eksekutif (Perkara 39) di mana selaku Ketua Negara pemerintahan Malaysia dijalankan di atas nama baginda.

Baginda juga adalah salah satu elemen yang membentuk cabang legislatif selain Dewan Negara serta Dewan Rakyat.Baginda melantik Tuan Yang Terutama, Yang Dipertua Negeri bagi negeri-negeri yang tidak beraja, melantik Perdana Menteri, Kabinet dan anggota pentadbiran persekutuan yang lain, melantik hakim-hakim persekutuan, dan merupakan Panglima Tertinggi Angkatan Tentera Malaysia.

Konsep ketuanan Melayu termeterai melalui pemegang jawatan ini kerana Yang di-Pertuan Agong dipilih setiap lima tahun sekali oleh Majlis Raja-Raja dari kalangan sembilan orang Raja-Raja Melayu yang sedang bertakhta. Hanya Raja-Raja Melayu yang berhak dilantik menjadi Yang di-Pertuan Agong.

Asas ini diperkukuhkan lagi melalui peruntukan Perkara 3(1), 152 dan 153 Perlembagaan Persekutuan. Perkara 3(1) memperuntukkan Islam sebagai agama rasmi negara, agama yang menjadi asas kemelayuan itu sendiri. Mengikut Perkara 160 tiga kriteria utama untuk seseorang itu diktiraf Melayu adalah individu tersebut mestilah seorang penganut agama Islam, bertutur bahasa Melayu dan menurut adat istiadat Melayu.

Perlembagaan Persekutuan selaku undang-undang tertinggi negara tidak pula menjadikan penganutan agama tertentu sebagai syarat pengiktirafan etnik tertentu bagi seseorang individu mahupun memberikan taraf agama rasmi kepada agama anutan individu terbabit.

Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan pula menjadikan Bahasa Melayu (bukan Bahasa Malaysia) sebagai bahasa kebangsaan tunggal negara, peruntukkan ini diperkukuhkan lagi oleh Akta Bahasa Kebangsaan 1963/67 yang meletakkan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi negara.

Tanggapan banyak pihak bahawa hanya Peruntukan Perkara 153 yang memaktubkan hak-hak istimewa orang Melayu satu-satunya bukti ketuanan Melayu dalam konteks politik adalah tersasar jauh dari realiti yang ada.Pihak-pihak yang menolak konsep ketuanan Melayu sebenarnya menolak Perlembagaan negara yang sedia ada dan rata-ratanya bersifat perkauman.Ini kerana penolakan ketuanan Melayu bermakna mereka sebenarnya menolak legitimasi sistem Raja Berperlembagaan yang sedang kita amalkan hari ini.

Mereka menolak kedudukan Islam sebagai agama rasmi tunggal negara, mereka menolak kedudukan Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi negara serta mereka menolak hak-hak keistimewaan orang- orang Melayu sebagai pribumi asal Tanah Melayu.

Kes liwat: Anwar keluar kedutaan, dakwa cubaan halang beliau bertanding pilihan raya kecil


SELAMAT...Penasihat Parti Keadilan Rakyat, Datuk Seri Anwar Ibrahim, tersenyum gembira sambil melambaikan tangan kepada orang ramai yang menyaksikan beliau keluar meninggalkan Kedutaan Turki petang tadi.Pagi tadi Anwar telah memfailkan saman ke atas pembantu khasnya, Saiful Bukhari Azlan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.Sebelum ini, Saiful telah membuat laporan polis mendakwa mendakwa Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu telah meliwatnya. Anwar menyifatkan dakwaan liwat yang mengaitkan beliau seakan-akan konspirasi politik 1998-99 berulang.


KUALA LUMPUR: Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) Datuk Seri Anwar Ibrahim mendakwa dakwaan liwat terbaru bertujuan menghalang beliau daripada mengumumkan hasrat untuk bertanding dalam satu pilihan raya kecil yang sepatutnya diumumkan minggu ini.Kata Anwar, pengakuan itu juga bertujuan mengagalkan rancangan beliau untuk membuat satu pengumuman rasmi mengenai empat ahli Parlimen Barisan Nasional melompat Pakatan Rakyat.

Beliau berkata, empat ahli Parlimen berkenaan termasuklah dua wakil rakyat daripada Umno.

Anwar sebelum ini pernah berkata 30 ahli Parlimen BN akan menyertai Pakatan Rakyat untuk menubuhkan Kerajaan Persekutuan.Kenyataan tersebut dikeluarkan oleh Anwar selepas beliau keluar dari Kedutaan Turki petang tadi setelah mendapat jaminan atas keselamatannya .Terdahulu, Anwar meninggalkan kediaman duta Turki di Jalan Ampang Hilir, tempat beliau berlindung sejak pagi semalam.Anwar yang diiringi isterinya Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail meninggalkan kediaman duta itu kira-kira pukul 6.45 petang menaiki sebuah kenderaan MPV Mazda berwarna hitam.Turut mengiringi Anwar ialah peguamnya Sakaran Nair, anggota keluarga serta beberapa orang penyokongnya.Terdahulu, Sakaran dilihat tiba di kediaman duta itu kira-kira pukul 6.15 petang diikuti Dr Wan Azizah dan Naib Presiden PKR Azmin Ali kirakira pukul 6.40 petang.

Azmin yang ditemui pemberita berkata Anwar pada awalnya tidak berpuas hati dengan jaminan yang dikeluarkan oleh Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada sidang media di Parlimen hari ini.Bagaimanapun, katanya setelah Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Syed Hamid Albar mengeluarkan kenyataan jaminan keselamatan yang dihantar ke Kedutaan Turki, barulah Anwar dengan rela hati memutuskan untuk keluar dari kediaman duta tersebut.

Sementara itu, penyokong Anwar yang berkumpul di kedutaan Turki diminta berkumpul di ibu pejabat PKR di Tropicana, Petaling malam ini untuk mendengar amanat mantan timbalan perdana menteri itu. Sakaran yang ditemui pemberita di rumah Residen kedutaan Turki petang ini memaklumkan jaminan itu dikeluarkan oleh pejabat keduadua menteri tersebut kepadanya.Berikutan itu katanya, Anwar akan dibawa pulang ke rumahnya di Segambut.
Bagaimanapun katanya sehingga kini Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahnmad Badawi tidak mengeluarkan arahan ataupun memberi sebarang jaminan tentang keselamatan Anwar.

Anwar sebelum meninggalkan kediaman tersebut menemui pemberita yang menunggu sejak pagi tadi di luar perkarangan kediaman itu.Katanya beliau dengan rela hati keluar dari kediaman Kedutaan Turki itu atas beberapa sebab iaitu jaminan keselamatan daripada Menteri Luar Datuk Seri Dr Rais Yatim yang difakskan ke Kedutaan Turki petang tadi.Selain itu, jaminan keselamatan oleh Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Syed Hamid Albar yang disampaikan kepada peguamnya di Parlimen tengah hari tadi serta jaminan longgar yang disampaikan oleh Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak."Saya bimbang, jaminan keselamatan yang longgar oleh TPM ini kerana tahap keselamatan polis yang saya pertikaikan," katanya sambil menambah, kebanyakan polis bertugas secara profesional dan hanya kepimpinan tertinggi polis yang dipertikaikan.

"Sekarang ini kerana adanya muslihat dan saya akan buktikan dan saya akan dedahkan," katanya.Ketika ditanya adakah beliau akan memberikan kerja sama terhadap siasatan polis berhubung dakwaan tersebut, beliau berkata:

"Saya akan beri kerjasama terhadap siasatan polis..tetapi dalam penyiasatan apa? Penyiasatan berniat jahat? Mereka hanya mereka cipta fakta ini, termasuk polis, pendakwa raya."Beliau mendakwa bahawa dakwaan kes tersebut hanyalah pilihan khas yang ingin "menjahanamkan" karier politiknya."Minggu ini (Selasa) saya patut umum keputusan bertanding dalam pilihan raya kecil," katanya.Anwar juga mendakwa empat orang anggota Parlimen BN akan menyertai Pakatan Rakyat termasuk dua dari Umno."Sebab itu mereka bertindak sedemikian (mengaitkan dengan liwat) untuk mengelakkan perkara ini berlaku (daripada menyertai pilihan raya). Sebab inilah perkara ini direka," katanya. BERNAMA

BERITA TERDAHULU

KUALA LUMPUR: Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim difahamkan akan meninggalkan Kedutaan Turki, lewat petang ini setelah mendapat jaminan atas keselamatannya.Terdahulu, Anwar berkata, dia hanya akan meninggalkan kedutaan tersebut sekitar jam 5.30 atau 6 petang hari ini. "Saya masih menunggu. Wan Azizah akan berjumpa PM. Setelah selesai, saya akan keluar dari kedutaan pada jam 5.30 atau 6 petang," ujar Anwar ketika dihubungi Reuters sebelum itu.Menurut Anwar, dakwaan kes liwat tersebut berkemungkinan merupakan satu taktik untuk mengalih tumpuan rakyat terhadap isu-isu berkaitan kenaikan harga petrol dan makanan serta skandal-skandal lain berkaitan kerajaan.

"Ini merupakan satu helah untuk alih perhatian rakyat. Tetapi rakyat tidak boleh dibeli dan disalahertikan oleh media." Anwar bakal mengadakan satu sidang media di pejabat PKR di Petaling Jaya, pada jam 9 malam ini berhubung kes tersebut. REUTERS


Sunday, June 29, 2008

Anwar kreatif cipta kontroversi – Khairy

(Sumber Utusan Malaysia) TEMERLOH 29 Jun – Naib Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin menyifatkan Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim seorang ahli politik yang `kreatif’ dalam meraih simpati masyarakat terhadapnya.

Katanya, bekas Timbalan Perdana Menteri itu sanggup melakukan apa sahaja taktik untuk menarik perhatian masyarakat kononnya nyawanya terancam.‘‘Saya sendiri tidak menolak kemungkinan Anwar sendiri yang menyuruh pembantunya itu membuat laporan polis dan ini adalah satu taktik konspirasi beliau untuk meraih simpati orang ramai,” kata Khairy.Beliau berkata demikian kepada pemberita semasa menghadiri perjumpaan dengan ahli-ahli Pemuda UMNO Bahagian Temerloh, di sini hari ini.Beliau mengulas laporan akhbar mengenai tindakan seorang pemuda yang membuat laporan polis mendakwa dia diliwat oleh Anwar di ibu negara.

Pemuda berusia 23 tahun itu dan merupakan pembantu khas kepada Anwar telah membuat laporan di Balai Polis Travers pada pukul 5.45 petang Khamis lalu.‘‘Kononnya nyawa (Anwar) diancam, Anwar kini berlindung di Kedutaan Turki dan taktiknya bersembunyi di kedutaan asing mengiyakan pandangan sesetengah pihak selama ini beliau bersekongkol dan bekerjasama dengan kuasa asing.‘‘Sepatutnya, jika benar nyawanya terancam, Anwar hendaklah membuat laporan polis dan bukannya berselindung di kedutaan asing di negara sendiri,” kata beliau.
Sehubungan itu, beliau meminta orang ramai supaya tidak mudah percaya dengan taktik tersebut dan sebaliknya biarlah polis membuat siasatan mengenai dakwaan tersebut.

Otak-otak Che Wan - Otak-Otak Kemaman

Otak-otak Che Wan dijual hampir 5,000 keping sehari. Kerana kelainan rempah dan isi ikan yang segar, pelanggan datang seawal pukul 12 tengah hari biarpun ia hanya dibuka 2 petang.




PERTAMA kali dibawa ke warung Otak-otak Che Wan di Pantai Teluk Mak Nik, Kemaman, Terengganu, mata membuntang melihat longgokan 'sarung' otak-otak yang ditinggalkan pelanggan di atas meja.Ada kira-kira 20 buah meja di warung ini, tiada satu pun yang kosong. Jam di tangan baru menunjukkan pukul 4.30 petang. Niat hati untuk membeli dan membawa balik otak-otak yang menjadi kegemaran ramai itu juga dikecewakan."Maaflah dik. otak-otak sudah habis. Satar pun dah tak ada. Adik cubalah mi calong kami," pujuk salah seorang pekerja restoran itu.


RESIPI rempah otak-otak Che Wan yang kini menjadi sebutan merupakan inisiatif Tengku Sulong, seorang keturunan kerabat diraja Terengganu.

Alasan datang dari jauh iaitu Kuala Lumpur tidak dapat menyelamatkan keadaan. Bukan tidak mahu menerima cadangan itu, tetapi teringin benar mengetahui punca 'kegilaan' orang ramai terhadapnya.Menjenguk ke gerai otak-otak yang berbaris di sebelah kiri dan kanannya, suasana tidak semeriah restoran ini. Pelanggan datang bertali arus dan tidak pernah putus."Kami bukan tidak mahu menambah stok tetapi menyediakan 5,000 keping otak-otak sehari sungguh memenatkan. Bukan sekadar membakar, tetapi proses pembuatan melibatkan penyediaan rempah, isi ikan dan membungkusnya."Itu belum termasuk menyediakan 3,000 bungkus satar dan memenuhi tempahan daripada luar," jelas pengusaha otak-otak jenama Che Wan, Che Wan Sainah Che Wan Aziz, 47.Mula beroperasi dari pukul 2 petang hingga 7 malam setiap hari, kunjungan krew EKSTRA ke restoran itu bagaimanapun menyaksikan pelanggan datang seawal 12 tengah hari.

CHE WAN SAINAH berharap produknya boleh diedar ke luar negara suatu hari nanti.


"Kalau pelanggan datang terlalu awal, kami juga terpaksa menolak kerana bekalan otak-otak dan satar hanya akan dihantar ke sini pada pukul 2 petang," kata Sainah.Wanita ini menggunakan khidmat orang kampung untuk membungkus otak-otak dan satar di rumah masing-masing.Saya dapat melihat bagaimana sebuah bas yang dipenuhi pelancong asing 'dikecewakan' kerana mereka datang satu jam lebih awal dari waktu operasinya.Menurut Sainah, kelainan otak-otak Che Wan terletak pada rempahnya yang dihasilkan sendiri berbanding kebanyakan peniaga lain yang mendapatkan rempah daripada pengeluar tertentu. Ikan yang digunakan pula ialah ikan tenggiri yang segar dan terpilih."Sebanyak 16 kilogram ikan tenggiri digunakan untuk menyediakan semaksimum 5,000 keping otak-otak sehari. Semua kerja penyediaan dilakukan secara manual termasuk untuk mengasingkan isi ikan daripada tulangnya," jelas Sainah.


ANAK-ANAK berusia seawal 10 tahun tidak melepaskan peluang memeriahkan aktiviti di restoran yang sentiasa sibuk ini.


Malah untuk mengawal kualiti Sainah, memastikan tiada lebihan otak-otak semalam dijual kepada pelanggan pada keesokan harinya.

Katanya, biarlah 35 sen yang dibelanjakan pelanggan untuk setiap keping otak-otak itu berbaloi dan diingati setiap kali berkunjung ke Kemaman.Mendapatkan bekalan ikan daripada dua pembekal tetap, 100 kilogram ikan tenggiri diperlukan untuk memenuhi keperluan pembuatan otak-otak selama empat hari dan 100 kilogram ikan 'satar' untuk keperluan membuat satar sehari."Dengar seperti banyak tetapi daripada 100 kilogram itu, hanya 30 kilogram isi ikan satar yang dapat diperoleh," ujar Sainah.Tatkala daun kelapa yang garing terbakar dikopek, aroma rempahnya menyusup rongga hidung, galak merangsang perembesan jus gaster di dalam perut.


PELANGGAN datang mencari otak-otak dan satar seawal pukul 12 tengah hari.


Keasyikan menikmati isi ikan bersalut rempah ini bagaikan tidak berpenghujung, malah boleh membuatkan seseorang itu ketagihan.Patutlah pengunjung tidak segan untuk menempah hidangan tambahan sehingga berlonggok sarung otak-otak di atas meja!

Terlibat dalam perusahaan ini sejak 28 tahun lalu, Sainah berkongsi perkembangan perniagaan keluarganya ini.Menurut beliau, otak-otak yang dijual ini sebenarnya diperturunkan oleh dua generasi terdahulu.

"Sewaktu zaman mak saya, kami hidup susah. Kami daripada keluarga nelayan walaupun datuk saya, Tengku Sulong, ialah daripada keturunan kerabat diraja Terengganu. Saya pernah menolong mak membakar otak-otak di atas tanah dan menjajanya di Kampung Tengah, Kemaman."Berbekalkan modal RM40, mak dan ayah buka kedai dan berhutang dengan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) untuk menyewa tapak kedai."Hendak buat pinjaman dengan bank, kami tidak ada apa-apa untuk dicagarkan. Keuntungan kami pada waktu itu hanyalah RM15 sehari," kenangnya.Sepanjang membesar, Sainah tidak pernah berhenti membantu ibu dan bapanya mengusahakan kedai mereka. Mempelajari kesusahan itu, keluarganya bagaikan dilatih untuk berjimat cermat sehingga membolehkan mereka menyimpan sebanyak RM300 sebulan.


MI calong buatan Che Wan Nik menambah daya tarikan restoran ini.


"Pada waktu itu kami simpan duit di bawah bantal saja," tambah anak ketiga daripada tujuh adik-beradik ini.Pada tahun 1994, sebidang tanah dibeli di Pantai Teluk Mak Nik pada harga RM26,000. Tidak ada barang kemas di badan, mereka berhabis RM50,000 pula untuk membuka restoran yang pada hari ini menjadi destinasi sesiapa saja yang singgah di Kemaman.Restoran yang berupa seperti sebuah medan selera ini bukan sekadar menjual otak-otak dan satar tetapi turut menghidangkan mi calong, nasi air, sotong celup tepung, pais, dan produk berasaskan ikan yang lain seperti keropok keping dan ikan kering.Menariknya, setiap produk yang ditawarkan dikendalikan oleh individu yang merupakan ahli keluarga Sainah sendiri.

Suami Sainah, Alias Jambol, 50, seorang bekas kakitangan Jabatan Perikanan Kemaman, membantunya menyediakan dan membakar otak-otak. Kakak iparnya, Che Wan Nik Che Wan Long, merupakan pengusaha mi calong, mi kari dan nasi air yang cukup enak dan istimewa kerana menggunakan resipinya sendiri.Sotong dan ikan goreng yang berbalut tepung rangup dan berempah juga menggunakan resipi ciptaan adik angkat Sainah, Sharifah Mazlina Syed Sohor.

Pais, ikan yang dikukus bersama sambal, yang dinikmati bersama pulut daun palas dan merupakan resipi ibu Sainah, Tuan Senong Tuan Hitam, kini dipraktik anak sulungnya, Shamrol Izrat, 29.Kaunter air pula diusahakan Sainah sendiri sementara gerai produk berasaskan ikan merupakan idea adiknya, Che Wan Sujuha.Hanya adiknya yang keempat, Che Wan Salmi berhijrah ke Kuala Lumpur dan mengusahakan Restoran Ulik Mayang yang terletak di Gombak, Selangor.